Pengikut dan Ex-smgrian
Friday, February 28, 2014
Ketagih bahan lucah punca sakit mental
Mereka yang menghadapi masalah ketagihan untuk menonton video lucah atau bahan pornografi tergolong sebagai pesakit mental yang kronik, sekali gus menyebabkan mereka memiliki dua personaliti berbeza.
Menurut Pensyarah Kanan Psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Mohd. Awang Idris, ketagihan tersebut diklasifikasikan sebagai satu penyakit psikologikal yang baharu.
Ketagihan untuk menonton bahan tersebut menjadikan seseorang itu murung.
Tabiat itu juga menyebabkan mereka berasa serba tidak kena dalam kehidupan.
Penagih pornografi ini tidak dapat melupakan perasaan imaginasi seksual dan akhirnya mereka ini menjadi murung kerana gagal mendapatkan kepuasan seks yang merupakan khayalan semata-mata.
Terdapat kecenderungan penagih pornografi mencipta dua watak yang berbeza dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Golongan tersebut berlakon sebagai manusia bermoral di hadapan khalayak tetapi menjadi manusia yang taksub kepada seks apabila bersendirian.
Keadaan ini cukup bahaya kerana ia boleh menjejaskan kehidupan sosial dan keluarga mereka kerana memburu kenikmatan yang tidak pernah wujud.
Keinginan untuk menonton semakin membuak-buak apabila mereka bersendirian dan kadangkala tidak dapat memberikan tumpuan ketika sedang bekerja.
Penagih pornografi tegar ini tidak boleh bersendirian kerana bahan-bahan itu akan selalu membayangi mereka.
Penagih pornografi perlu mendapatkan kaunseling atau pakar psikologi kerana ia boleh menjejaskan kehidupan mereka.
Satu kaedah untuk melawan ketagihan ialah dengan menyibukkan diri dengan aktiviti yang boleh menyibukkan mereka dengan perbuatan ini dan elakkan bersendirian.
Menurut Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar pula, menonton video lucah adalah haram di sisi Islam.
Menggambarkan perlakuan tidak senonoh di dalam fikiran juga adalah dilarang kerana ia boleh menyebabkan hati dan jiwa seseorang menjadi gelap dan susah menerima hidayah.
Perbuatan itu juga mendorong individu terbabit melakukan perbuatan jahat seperti mancabul atau merogol.
Garis panduan yang telah ditetapkan dalam agama ialah berpuasa bagi mereka yang tidak mampu untuk berkahwin.
sumber: Artikel Ketagih bahan lucah punca sakit mental oleh Junhairi Alyasa, Kosmo! 29 Oktober 2012.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment