Anak-anak kita kembali ke alam persekolahan setelah mereka bercuti. Berbagai perkara dilakukan oleh kedua ibu-bapa termasuklah menyediakan pakaian dan peralatan sekolah kepada anak-anak. Namun, inilah rutin biasa yang perlu dilaksanakan demi membina generasi yang cemerlang di masa akan datang.
Dalam usaha membina insan yang cemerlang, maka hendaklah disepadukan antara ilmu pengetahuan dan pendidikan atau dikenali dengan kesepaduan antara ilmu dan tarbiah untuk melahirkan insan soleh.
Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak berwajib iaitu pemerintah, pihak sekolah dan ibu-bapa mestilah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
Terdapat hubungan yang sangat kuat bahawa penglibatan ibu-bapa dalam memajukan pendidikan anak-anak.
Dengan demikian ibu-bapa tidak boleh menyerah secara bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru semata-mata dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak.
Ibu-bapa hendaklah memain peranan dan kerjasama rapat dengan pihak sekolah. Ibu-bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak, jati diri dan kecemerlangan anak-anak.
Bila tumpuan ibu-bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat.
Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu-bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik.
Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari awal kehidupan anak-anak sehinggalah mereka mencapai usia baligh.
Dalam tempoh kritikal ini, ibu bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun.
Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan pelbagai gejala seperti rosak akidah, hilang kemuliaan akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam bidang pendidikan.
Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka.
Menurut Profesor Dr. Yusuf al-Qaradawi, bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.
Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri.
Dalam hal ini ibu-bapa perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak.
Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu-bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, ibu-bapa perlulah menetapkan beberapa petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut:
- Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara konsisten sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: "Latihlah dan didiklah anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ketika mereka berumur sepuluh tahun jika mereka enggan menunaikan sembahyang dan pisahkan tempat tidur mereka." Dan Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu telah menunaikan ibadat solat di masjid, maka apabila pulang jadikanlah sebahagian bahagian solat itu untuk keluarga kamu (iaitu solat bersama keluarga) Sesungguhnya Allah SWT menjadikan kebaikan untuk rumahnya (ahli keluarganya) daripada solat tersebut." - Hadis Riwayat Imam Muslim.
- Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari.
- Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin. Sesungguhnya tubuh badan yang sihat dan kuat itu adalah lebih baik berbanding tubuh badan yang lemah. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. yang bermaksud: "Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah." - Hadis Riwayat Muslim
- Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran.
- Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak-anak.
- Mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.
Sebagai ibu bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah.
Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang kuat.
Sebagai ibu-bapa kita digalakkan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak, kerana doa ibu-bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi dari segala bencana.
Dalam satu riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa kepada kedua cucunya Hassan dan Hussin yang berbunyi:
"Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna untuk kamu berdua daripada gangguan syaitan, daripada binatang dan daripada mata yang berniat jahat."
Walaupun adakalanya berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibu-bapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sesebuah sekolah namun sebagai langkah positif, maka ibu-bapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan yang besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar mereka masing-masing.
Janganlah kita mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat berlapang dada apabila guru-guru menegur atau mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar mereka.
Kita yakin tindakan guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak agar sedia berubah menjadi insan yang berguna.
Kepada para guru jadikan tanggungjawab ini sebagai satu amanah yang wajib ditunaikan dengan sebaik mungkin.
Ingatlah bahawa guru umpama bintang di langit yang menerangi alam semesta sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan." - Hadis Riwayat Anas bin Malik.
Marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam.
Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka.
Marilah sama-sama kita tunaikan tanggungjawab sosial kita dengan membantu dan membela nasib pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak yang tidak berkemampuan supaya mereka juga dapat menghadapi sesi persekolahan yang baru ini dengan selesa dan sempurna.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment