Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, January 7, 2014

Kemajmukan, cabaran ketamadunan


Al-Quran dalam Surah al Hujurat (ayat 13) memberikan isyarat yang jelas tentang corak kejadian manusia. ALLAH jadikan manusia berpasang-pasang, berbangsa-bangsa supaya antara mereka berlaku proses litaarafu atau kekenalan yang memberi jalan kepada pembinaan tamadun.

Sahifah Madinah atau Perlembagaan Madinah memberikan asas yang baik terhadap pedoman tamadun dalam masyarakat berbilang. Al-Quran dan faktor syarak memberikan asas untuk membangun suatu model tamadun dengan bimbingan seorang Rasul pilihan yang membawa rahmah untuk seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin ).

Kemajmukan dan cabaran antara tamadun harus dilihat dalam konteks ini. Proses nubuwwah atau keNabian atau keRasulan membawa risalah kebenaran untuk seluruh umat manusia.

Tradisi hunafa’ atau mentauhidkan Pencipta menjadi landasan utama beragama sama ada terpancar dari Injil, Taurat, Zabur, apalagi al-Quran supaya konsep wehdah atau kesatuan menjadi rujukan dalam membina kehidupan dan tamadun.

Kemajmukan adalah fitrah kejadian. Proses kekenalan dalam konteks rahmah alamiah haruslah dilihat dalam konteks ummah. Konotasi umat Melayu, Arab, Cina dan lain-lain harus dilihat bagaimana asas aqidah ditindikkan dalam sistem kepercayaan dan kehidupan mereka.


Orang-orang Cina gunakan sepit untuk makan kerana sifat makanannya memerlukan alat sedemikian dan ia suatu budaya tidak menyalahi syarak asal saja sumber dimakan itu adalah halal.

Orang-orang Melayu memakai baju kurung atau baju Melayu dalam kehidupan mereka. Kedua-dua jenis pakaian itu adalah budaya dan ia tidak menyalahi syarak jika menutupi aurat.

Melaka suatu ketika dulu merakamkan sejarah menarik dalam memahami kemajmukan budaya. Sejarah Melayu merakamkan terdapat 84 dialek atau bahasa yang diucapkan di pelabuhan atau di bazar di puncak kekuatan pemerintahan dan perkembangan dagang. Menariknya lahir masyarakat Baba Peranakan, India Peranakan dan Portugis Peranakan dalam masyarakat Melaka.

Lebih menarik lagi ialah mereka tetap teguh dengan kepercayaan agama masing-masing. Dalam proses akulturasi ini para ulama atau pendakwah Islam tetap berpegang dengan prinsip laa ikra ha fiddin (tidak ada paksaan dalam beragama) dan juga lakum dinukum waliadin (kamu agama kamu dan kami agama kami) sebagai asas interaksi budaya dan memungkinkan nilai-nilai baik dan murni dikongsi untuk menyuburkan suatu kemajmukan kota Melaka.

Tamadun Islam yang berkembang suatu ketika dulu mengambil pendekatan litaarrafu dalam pengertian yang luas. Malah wujud aktiviti kesalingan di kalangan sarjana Barat memanfaatkan kekuatan ilmu Islam dan menjadikan ilmu-ilmu itu asas terhadap pembangunan sains dan teknologi dan kitab-kitab besar umat Islam diterjemah ke dalam Bahasa Latin dan Ibrani dan kitab-kitab ini dirujuk di Barat berabad-abad di samping suburnya konsep universiti di kalangan mereka.


Al Biruni umpamanya, belajar bahasa Hindi berkongsi konsep angka di kalangan orang-orang India. Al Khawarizmi perkukuh konsep angka dengan memperkenalkan konsep sifar dan menyebabkan aplikasi angka berkembang. Buku-buku Aristotle, Plato dan Socrates diterjemahkan ke bahasa Arab kalangan sarjana Islam untuk membolehkan mereka memanfaatkan faedah berbanding dari sudut pemikiran, falsafah dan memahami masyarakat Barat.

Sifat universalisme atau kesejagatan Islam faktor penting yang telah mempengaruhi dan mencorakkan pemikiran serta tingkah laku orang-orang Islam terhadap masyarakat bukan Islam. Ia diperkukuhkan dengan pekerti contoh Nabi Muhammad SAW terhadap orang-orang yang punya aliran kepercayaan berlainan.

Rasulullah SAW, selepas berhijrah ke Madinah telah merealisasikan ajaran al-Quran dengan menganjurkan kerjasama dan perpaduan di kalangan penduduk, yang terdiri daripada orang-orang Islam, Yahudi, Kristian dan lain-lain menerusi pedoman Sahifah Madinah.

Pada peringkat awal pengasasan Madinah, tokoh-tokoh Kristian dari Najran terlibat dalam suatu perdebatan sengit dengan Rasulullah SAW mengenai pandangan Islam terhadap Kristianiti.

Apabila mereka puas hati dengan penjelasan Rasulullah SAW, mereka mengadakan perjanjian dengan Rasulullah SAW yang berjanji akan memelihara hak beragama di kalangan mereka, rumah-rumah ibadah mereka di samping orang-orang Kristian juga menghormati agama Islam.

Oleh Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, Sinar Harian 23 Mei 2013

No comments: