Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, January 10, 2014

Islam menyantuni faktor perubahan


Di samping risalah al-Quran yang amat sejagat sifatnya, tindakan Rasulullah SAW terhadap orang-orang Kristian dan Yahudi memberi kesan yang baik untuk beberapa abad selepas itu.

Bila orang-orang Rom menguasai Jerusalem, orang-orang Yahudi dihalau, menyebabkan mereka menjadi pelarian di seluruh pelosok dunia dan membentuk suatu ‘Diaspora Yahudi’.

Orang-orang Kristian Roman mengenakan sekatan mutlak terhadap orang-orang Yahudi. Tetapi bila Umar al Khattab menguasai Jerusalem pada 638 A.D, orang Kristian dan Yahudi dibenarkan untuk tinggal.

Tetapi keadaan yang harmoni itu berakhir apabila penguasaan umat Islam berakhir pada tahun 1099 A.D apabila orang–orang Kristian menguasai semula Jerusalem.

Pada tahun 1187 A.D bila Jerusalem dikuasai semula oleh Khalifah Salahuddin al- Ayyubi keharmonian antara agama muncul semula.


Kerajaan Islam memelihara kebebasan beragama di samping tempat ‘suci’ orang Yahudi dan Kristian.

Toleransi yang menakjubkan itu adalah pancaran ajaran al- Quran yang ditunjukkan oleh para Rasul dan juga sahabat-sahabatnya.

Khalifah Umar pada zamannya menyediakan dana dari sumber Perbendaharaan terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian yang tua dan uzur.

Khalifah Umar menyebut, “Kita tidak hanya mengambil jizyah bila mereka kuat dan sihat tetapi membiarkan mereka terbiar semasa tua dan uzur."

Khalifah Umar amat prihatin dengan kebajikan orang-orang bukan Islam yang menjadi warga bagi negara Islam.


Beliau sering menasihatkan kalangan para sahabat supaya menghormati dan memelihara kebajikan
orang-orang bukan Islam.

Sewaktu beliau dalam keadaan terbaring kerana terlalu uzur, beliau menasihatkan orang-orang Islam supaya menunjukkan sifat baik hati kepada jiran bukan Islam.

Malah beliau melantik seorang Kristian menjadi Ketua Pengarah Audit.

Asas toleransi yang wujud menunjukkan agama Islam dan di kalangan kepimpinannya sentiasa dianjurkan supaya mempunyai sikap saling menghormati dan memiliki pekerti yang tinggi terhadap orang bukan Islam.

Bukti sejarah menunjukkan ramai orang bukan Islam tertarik untuk kembali kepada agama yang fitrah kerana contoh-contoh yang terbaik ini.


Globalisasi atau proses pembaratan adalah gelombang baru yang membawa dimensi penjajahan bentuk baru.

Penguasaan teknologi tinggi seperti komunikasi dan telekomunikasi khususnya dalam media cetak dan elektronik, faham konsumerisme yang melampau, aliran henonistik yang bercanggah dengan budaya Islam adalah cetusan baru yang boleh mencairkan jati diri umat, mengubah gaya hidup manusia dan menyebabkan faham ekonomi liberal Barat berkembang dengan melakukan hegemoni dan eksploitasi dan menyebabkan kebergantungan umat Islam terhadap mereka menjadi semakin erat.

Kita tidak menolak bahawa dinamisme Islam perlu berlaku dan perubahan adalah sesuatu yang fitrah.

Tetapi faktor pluralisme dalam realiti masyarakat hari ini tidak harus menjadi alasan menjustifikasikan bahawa semua agama itu adalah benar atau sama, lalu muncul tafsir dan interpretasi baru yang pelik dan mengelirukan.

Dinamisme Islam mengakui kehadiran faktor ruang dan waktu dalam memahami realiti dan kontekstualiti.

Memadai kita mengakui bahawa perbezaan tetap ada pada setiap agama dan sikap berbeza itu harus dipelihara dengan bijaksana.

Faham sekular dan liberal juga beri kesan terhadap kepentingan agama dalam kehidupan.

Dialog tamadun tentunya mencari titiktemu tentang nilai-nilai baik atau interaktif yang boleh dikongsi sebagai asas kemasyarakatan dan perjalanan sistem.

Globalisasi yang sedang menghimpit perlu didepani dengan pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan.

Upaya pemikiran reflektif Qurani sewajarnya menjadi sumber terpenting membangunkan jiwa tadabbur supaya proses integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan dapat berjalan dengan bijaksana.

Asas ini kalau dapat dikembangkan dengan terancang bakal menunjuk jalan ke arah pembinaan tamadun yang ummatik dan bermanfaat untuk umat manusia.

Oleh Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, Sinar Harian 30 Mei 2013

No comments: