Mati itu pasti dan setiap benda bernyawa pasti akan menemui noktahnya. Dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk mengingati hari mati.
Ketua Bahagian Fatwa Pejabat Mufti Negeri Sabah, Mohd. Ariffin Ali berkata, antara hikmah mengingati mati ialah ia boleh melahirkan sifat istiqamah dalam jiwa manusia dan mendorong untuk melakukan amal soleh sepanjang masa sama ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat umumnya.
Katanya, hal ini akan memberikan natijah yang baik kepada negara dalam melahirkan insan yang kuat akidahnya dan baik budi pekertinya.
"Akhirnya, negara yang mempunyai masyarakat seperti ini akan terus maju dari aspek politik, sosial dan ekonominya kerana dasarnya itu berteraskan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa menziarahi kuburan kerana ia mampu memberi peringatan kepada kita agar menyediakan bekalan secukupnya berupa amalan kebaikan sebelum menempuh alam kematian.
Oleh itu, kata Mohd. Ariffin, kita disunatkan memberi salam kepada ahli kubur sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud:
"Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung dari kalangan mukminin dan muslimin, sesungguhnya kami insya Allah akan bertemu kamu. Aku memohon kepada Allah agar diberikan keselamatan kepada kami dan kamu."
"Bagi yang sudah meninggal dunia, kita dianjurkan untuk mendoakan kepada si mati agar ia mendapat keampunan dan rahmat daripada Allah. Dalam masa yang sama, Rasulullah juga menganjurkan kepada kita untuk menziarahi kuburan," jelasnya.
Mengenai hukum meletakkan batu nisan pada mana-mana kuburan, beliau menjelaskan perkara itu merupakan sunat menurut Mazhab Syafi'e.
"Meletakkan sesuatu seperti batu atau kayu yang dikenali sebagai nisan dihukumkan sebagai sunat menurut Mazhab Syafie sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan meletakkan batu ke atas kubur Uthman bin Maz'un ketika ia meninggal dunia agar kubur tersebut mudah dikenali," tambahnya.
sumber: Kosmo! 28 Ogos 2012.
No comments:
Post a Comment