Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 19, 2013

Penerokaan minyak di Kelantan


Penerokaan medan minyak di Kelantan bermula pada tahun 1975 apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Nasir dan Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani Surat Cara Peletakhakkan yang dibuat menurut peruntukan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Menerusi surat cara berkenaan, kerajaan negeri Kelantan telah memberikan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang tidak boleh batal kepada Petronas berhubung eksplorasi, eksploitasi, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Kelantan.

Sebagai balasan, kedua-dua pihak menandatangani satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian 1975.

Perjanjian itu menyatakan Petronas hendaklah membuat bayaran tahunan kepada kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai yang setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang diperoleh di Kelantan.

Dalam isu tuntutan royalti ini, kerajaan negeri mendakwa ia turut berhak mendapat pembayaran terhadap hasil petroleum yang diperoleh di luar pantai negeri itu. Namun hakikatnya, Kelantan tiada hak.

Sungguhpun Seksyen 5 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 mendefinisikan tanah negeri sebagai semua tanah di dalam negeri sama ada daratan atau dasar laut, ia sebenarnya terbatas setakat sempadan daratan dan perairan wilayah sahaja.

Dalam konteks perairan wilayah, Ordinan Darurat dengan jelas menyatakan ukuran sempadan untuk negeri ialah tidak lebih daripada tiga batu nautika yang diukur daripada paras air surut.

Ukuran sempadan untuk negara pula adalah 12 batu nautika.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, UNCLOS 1982 dan Akta Pelantar Benua 1966, semua hak eksplorasi dan eksploitasi sumber asli termasuk petroleum di pelantar benua adalah hak Kerajaan Persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

Dalam isu tuntutan kerajaan negeri Kelantan, kedudukan medan minyak yang terlibat iaitu PM301 dan PM302 jelas berada di kawasan yang melebihi 100 batu nautika daripada paras air surut negeri itu.

Oleh itu kerajaan negeri tidak layak mendapatkan bayaran tunai di bawah Perjanjian 1975 bagi medan atau telaga minyak yang dijumpai oleh Petronas.

Dari tahun 2004 hingga 2006, Petronas membayar sejumlah RM26.83 bilion sebagai royalti kepada kerajaan Persekutuan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM13.41 bilion dibayar kepada kerajaan Persekutuan, Terengganu (RM7.36 bilion), Sabah (RM1.23 bilion) dan Sarawak (RM4.82 bilion).

Pada 2009, pebayaran royalti kepada kerajaan negeri Terengganu ialah sebanyak RM3 bilion, Sarawak (RM2.3 bilion) dan Sabah (RM900 juta).

Kelantan menerima wang ihsan sebanyak RM20 juta pada tahun 2010.

sumber: Artikel Hasil bumi yang sentiasa dipolitikkan oleh Junhairi Alyasa, Kosmo! 24 April 2013.

No comments: