Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, August 21, 2013

Keistimewaan Syawal

Amalan rumah terbuka telah menjadi sinonim setiap kali menjelang Aidilfitri

Umat Islam dituntut menyambut dan meraikan Syawal dengan sebaik-baiknya.

Di bulan Syawal, kita diberi kesempatan yang amat luas dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim sama ada sesama kaum kerabat, rakan taulan juga jiran tetangga.

Amalan kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi pada bulan ini amat bertepatan dengan riuh dan semangat persaudaraan sesama Muslim di mana Islam menggambarkan hubungan yang erat di antara Muslim itu seperti bersaudara.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Banyak keistimewaan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT dalam bulan ini antaranya:

Bulan kembali kepada fitrah.

Umat Islam diampun semua dosa setelah berjaya menyelesaikan ibadah puasa sebulan penuh dengan jayanya.

Menurut Imam at-Tabrani di dalam susunan hadisnya yang turut menyentuh mengenai terhapusnya dosa bagi mereka yang melakukan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal serta fadilatnya iaitu "sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya dosa seperti hari dia dilahir kan oleh ibunya".

Puasa sunat Syawal sudah semestinya mempunyai hikmat yang amat besar, antaranya dapat menyempurnakan kecacatan yang mungkin terdapat ketika melakukan ibadat puasa Ramadan.


Kaum keluarga dan sanak-saudara akan berkumpul semula setiap kali Aidilfitri setelah sekian lama berjauhan

Bulan silaturahim.

Bulan Syawal menjadi bulan yang penuh berkat, rahmat meluas dan mendapat keampunan Allah kerana melaluinya umat Islam dapat menguatkan hubungan silaturahim.

Amalan ziarah-menziarahi serta mengadakan rumah terbuka sudah menjadi sinonim pada bulan Syawal.

Banyak hikmah dan kelebihan yang diperolehi daripada amalan di bulan mulia ini. Antaranya ia mampu merapatkan hubungan silaturahim malah menaut kembali ikatan persaudaraan yang telah lama putus.

Bak kata pepatah, yang jauh jadi dekat, yang renggang jadi rapat, yang bersengketa menjadi damai dan akhirnya terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan.

Amalan kunjung-mengunjung ini berdiri di atas dasar dan semangat persaudaraan sesama Islam tanpa mengira pangkat, darjat atau keturunan.

Mengunjungi rumah saudara mara termasuklah jiran tetangga dan yang lebih afdalnya rumah yang paling dekat dengan rumah kita.

Jiran adalah orang yang paling hampir dengan kita dan atas sebab itu sebahagian ulama berpendapat bahawa berhubungan baik dengan jiran amat digalakkan malahan melebihi daripada saudara sendiri.

Rasulullah SAW bersabda:

"Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu mewarisiku (kerabatku)." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.


Bulan puasa setahun.

Dalam bulan Syawal, umat Islam dituntut melaksanakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal dan ganjarannya menyamai setahun.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah bersabda:

"Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa 6 hari bulan Syawal, bererti ia telah berpuasa setahun penuh."

Pada bulan ini, umat Islam akan meraih ganjaran hebat melalui ibadat puasa enam hari yang mana tidak ada pada bulan-bulan lain.


Bulan Taqwa dan bulan peningkatan amalan

Melalui tarbiah dalam bulan Ramadan, umat Islam mempunyai kelebihan untuk meneruskan amal ibadat sebagai bukti keberhasilan amalan sepanjang Ramadan.

Berdasarkan kepada keistimewaan bulan Syawal, umat Islam dituntut mengambil kesempatan merebutnya dengah sebaik-baiknya peluang yang telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT sehingga saat kita menghadap Allah SWT.

Manfaatkan ruang dan peluang yang masih ada dalam kehidupan ini untuk selalu menjadi orang yang bertaqwa dengan cara menanamkan rasa takut kepada perintah Allah, berterusan melakukan apa yang diperintahkan, bersegera menjauhi dan juga meninggalkan perkara yang dilarang serta mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam suasana gembira, Islam mengajar bahawa tidak salah untuk berseronok tetapi ia perlu dipandu dengan tatacara dan adab-adab Islam yang sebenar.

Beberapa panduan digariskan dalam adab berziarah:
  1. Niat untuk mengeratkan silaturahim
  2. Mengenakan pakaian yang menutup aurat dan sopan
  3. Memelihara waktu solat agar tidak terabai
  4. Menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan
  5. Berusaha memenuhi semua undangan
  6. Menjaga adab dan tatasusila agar kunjungan kita tidak menyakiti tuan rumah
  7. Mengunjungi pada waktu dan masa yang sesuai untuk berkunjung
  8. Meminta izin dan memberi salam kepada tuan rumah.

Didiklah serta bimbinglah ahli-ahli keluarga agar menjaga adab ketika menziarah dan melayan tetamu supaya kita menjadi insan yang bertamadun, berperibadi tinggi dan memiliki sifat tama'ninah (tenang) dan tingkahlaku kita agar tidak menjadi bahan ketawa orang lain serta menjatuhkan maruah.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 30 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman dan beramal salih, sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang yang berusaha memperbaiki amalnya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: