Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, August 20, 2013

Hilang suara


Suara merupakan anugerah Tuhan. Tanpanya, seseorang sukar berkomunikasi dengan orang di sekeliling sekali gus menyukarkan kehidupan seharian.

Menurut Pensyarah Kanan dan Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad, suara terhasil daripada janaan isyarat impuls elektrik yang bermula daripada otak serebrum.

Katanya, kemampuan bersuara boleh hilang jika berlaku kecederaan pada peti suara atau saraf yang mengawal pergerakan peti suara.

Tabiat suka menjerit atau bercakap terlalu kuat akan menyebabkan peti suara bengkak.

Lama-kelamaan bengkak itu mengeras dan suara menjadi serak.

Penghisap rokok berisiko tinggi hilang kemampuan bersuara. Ini kerana peti suara mereka boleh membengkak akibat kesan berterusan bahan nirkotin yang disedut terutamanya asap rokok.

Situasi itu dikenali sebagai edema Reinke iaitu punca kanser peti suara.

Kanser itu membuatkan permukaan peti suara tidak rata manakala suara berubah atau hilang terus.

Bengkak peti suara juga berpunca akibat asid hidroklorik di dalam perut yang melimpah naik hingga ke larinks, tempat letaknya peti suara. Keadaan ini dipanggil refluks laringofarinks.

Seseorang yang mengalami demam berterusan disertai sakit tekak juga boleh menghidap penyakit ini.

Batuk yang berterusan memberikan tekanan yang kuat kepada struktur peti suara.

Kecederaan semasa pembedahan pada leher seperti pembedahan kelenjar tiroid mampu menjejaskan peti suara.

Langkah pencegahan jauh lebih efektif daripada sekadar merawat. Pesakit digalakkan menjauhi tabiat merokok dan mengubah cara bercakap dengan tidak menjerit dalam tempoh yang lama.

Bagaimanapun, apa yang kedengaran pelik ialah tabiat berbisik juga menjadi punca seseorang mendapat simptom berkenaan.

Apabila seseorang berbisik, peti suara akan dipaksa bekerja dalam keadaan yang sentiasa tegang.

Malah, jika seseorang mempunyai tanda gastritis iaitu pedih ulu hati atau gastrik, ia harus dirawat bagi mengelakkan komplikasi refluks laringofarinks.

Faktor pencegahan boleh bermula dengan memberi perhatian terhadap anak-anak.

Sekiranya anak-anak menunjukkan tanda kurang pendengaran sejak lahir atau pada peringkat awal usia, langkah pemulihan harus diberikan segera bagi mengelakkan stimulasi otak untuk menjana percakapan terbantut.

Perubahan suara pada peringkat awal jika dirawat mungkin akan memberi harapan untuk mengembalikan suara yang hilang.

Contohnya, jangkitan kuman mampu dirawat dengan antibiotik manakala tekanan saraf peti suara akibat bengkak kelenjar leher dapat dikurangkan dengan mengikuti rawatan yang sesuai.

Bengkak peti suara akibat jangkitan akan mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya.

Sepanjang tempoh pemulihan, pesakit dinasihatkan menjaga percakapan serta tidak memberi tekanan kepada peti suara seperti kerap menjerit atau berbisik.

Terapi pertuturan pula terbukti berjaya menghilangkan bengkak peti suara.

Kaedah sebegini berkesan kerana pesakit akan diajar kaedah mengoptimumkan penggunaan suara dengan cara yang betul.

Hasilnya, pembedahan dapat dielakkan.

Terapi suara juga diberikan kepada pesakit yang lumpuh saraf peti suara dengan proses pemulihan selama enam bulan.

Jika suara masih belum pulih, kaedah pemulihan peti suara secara injeksi atau fonosurgeri boleh menjadi jalan keluar.

Jangan sekali-kali memandang remeh walaupun kita mengalami sakit tekak yang ringan.

sumber: Artikel Menjerit punca hilang suara oleh Megat Lutfi Megat Rahim, Kosmo! 1 Julai 2012

No comments: