Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, July 16, 2013

Solat Tarawih


Tarawih menurut bahasa Arab ertinya beristirehat atau bersenang-senang.

Solat tarawih dinamakan sedemikian kerana mereka yang mengerjakan solat tarawih akan berehat selepas selesai setiap empat rakaat.

Hukum solat tarawih adalah sunat muakkad.

Ia didirikan selepas solat fardu Isyak.

Umat Islam di Malaysia mendirikan solat tarawih sebanyak lapan rakaat atau 20 rakaat (23 rakaat termasuk tiga rakaat solat sunat witir). Setiap dua rakaat satu salam.

Rukun solat tarawih sama seperti solat lain.

Solat tarawih dikerjakan sebanyak lapan rakaat pada zaman Rasulullah SAW bagi mengelakkan berasa terbeban. Terdapat hadis mengatakan Rasulullah SAW pernah bertarawih sebanyak 20 rakaat.

Susunan surah pada rakaat pertama (selepas surah al-Fatihah) bermula dari 1 hingga 15 Ramadan: al-Takatsur, al-Asr, al-Humazah, al-Fil, al-Quraisy, al-Ma'un, al-Kautsar, al-Kafirun, an-Nasr dan al-Lahab.

Rakaat kedua (1 hingga 15 Ramadan) dibaca surah al-Ikhlas.

Rakaat pertama (16 hingga Ramadan terakhir) dibaca surah al-Qadr.

Rakaat kedua (16 hingga Ramadan terakhir) dibaca surah pada rakaat pertama ketika 1 hingga 15 Ramadan bermula daripada surah al-Takatsur sehingga al-Lahab.

Pada zaman Rasulullah, ia tidak disebut tarawih. Ketika itu, dalam bulan Ramadan, Rasulullah SAW dilihat bersolat pada waktu malam di masjid dan para sahabat yang berada di situ sepakat untuk bersembahyang bersama Baginda.

Pada malam kedua, jemaah Baginda kian ramai membuatkan mereka berniat untuk meneruskan pada malam keesokannya.

Namun pada malam ketiga dan keempat, Baginda tidak hadir ke masjid dan solat itu diteruskan tanpa Rasulullah SAW.

Keesokan harinya, Rasulullah bertemu para sahabat dan memberitahu bahawa Baginda tahu apa yang dikerjakan mereka pada malam sebelumnya.

Baginda mengatakan bahawa tiada yang menghalangnya untuk keluar dari rumah melainkan kebimbangan solat itu bertukar menjadi kewajipan.

Kesannya, hukum solat tarawih pada hari ini adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam.

-Artikel Isu jumlah rakaat tarawih tulisan Alif Abu Bakar, Kosmo! 9 Julai 2013, JAKIM, Kamus Pengetahuan Islam susunan Haji Dusuki Haji Ahmad terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

No comments: