Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 15, 2013

Menghidupkan Ramadan


Setiap hari di dalam bulan Ramadan adalah bulan yang penuh barakah dan peluang untuk menyucikan diri serta mendapat pahala daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW sendiri merasa gembira setiap kali kedatangan bulan ini dan kegembiraannya disampaikan pula kepada para sahabat Baginda.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah SWT telah memfardukan ke atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan di kunci segala pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan."

Justeru bulan yang mulia ini dilipat ganda ganjaran pahala khususnya bagi membersihkan segala dosa serta mengembalikan fitrah akhlak manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila tiba malam pertama bulan Ramadhan seruan (dari langit) menyeru : Wahai orang yang ini berbuat kebajikan teruskanlah (mara berbuat kebajikan), wahai orang yang ingin berbuat kejahatan hentikanlah, bagi Allah melepaskan ramai orang dari neraka. Seruan itu pada tiap-tiap malam.” - (Riwayat al-Khamsah).

Berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah SAW banyak menceritakan tentang kelebihan malam pada bulan Ramadan antaranya dengan melaksanakan solat sunat Tarawih.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Siapa yang bangun untuk beribadah pada malam- malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (akan keredaan Allah), maka diampunkan dosanya yang telah lalu.” - (Riwayat Muslim)

Menurut pandangan Imam an-Nawawi bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadan ialah dengan mendirikan solat Tarawih.


Namun ada pandangan ulama yang mengatakan bahawa menghidupkan malam Ramadan itu dengan melakukan qiyamullail dan melakukan amalan solat sunat di waktu malam.

Solat Tarawih yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Bagi menghidupkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini, hendaklah menggiatkan ibadah terutamanya dengan mengisi ruang-ruang yang ada seperti solat tarawih, solat sunat witir, bertadarus, bersedekah, membaca al-Quran, beriktikaf, menuntut ilmu dan sebagainya bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT di dalam usaha mencari keredhaanNya.

Ingatlah bahawa setiap amalan sama ada wajib dan sunat di sepanjang bulan ini merupakan latih tubi insan kepada pembersihan hati, mendisiplin anggota badan, mengukuhkan akhlak dan mencegah penyakit serta diberi ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipat-gandakan, satu kebajikan dilipat-gandakan dengan 10 sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk –Ku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika ia menjumpai tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum dari wangian misk (kasturi)." - (Riwayat al-Bukhari).

Menghidupkan bulan Ramadan dengan segala ibadah dan memperolehi ganjaran pahala yang ditawarkan oleh Allah SWT, maka jiwa kita hendaklah diasuh dan dididik untuk mendekati dengan Allah SWT serta bermujahadah melawan hawa nafsu.


Pada bulan Ramadan tugas untuk mengawal hawa nafsu dipermudahkan oleh Allah SWT melalui latihan-latihan dan keistimewaan yang disediakan secara khusus pada bulan Ramadan dengan melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Masa inilah yang akan menentukan peluang dan ruang untuk kita mendapat keberkatan dan menjadi penebus segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan selama ini.

Inilah masanya yang Allah SWT janjikan kepada kita semua sekiranya kita benar-benar beriman kepadaNya sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya di penuhi rahmat, pertengahannya di penuhi dengan keampunan dan akhirnya di penuhi dengan pahala yang menjadi penebus api neraka". - (Riwayat Muslim)

Didiklah anak-anak untuk memahami erti Ramadan yang sebenar. Bukanlah satu langkah yang bijak jika anak-anak dididik dengan hanya berlapar dan dahaga sepanjang bulan ini, kerana ibadah di bulan Ramadan pada hakikatnya begitu luas dari segi maknanya.

Beberapa kaedah boleh digunakan untuk menggalakkan anak-anak melakukan ibadah terutama berpuasa antaranya:
  1. Bercerita kepada mereka tentang kelebihan dan keberkatan Ramadan
  2. Berikan galakan kepada mereka bukannya paksaan
  3. Sediakan jadual Ramadan kepada mereka
  4. Patikan mereka bersahur
  5. Pujuklah mereka berpuasa dengan lemah lembut
  6. Raikan mereka semasa berbuka puasa
  7. Ceritakan kemenangan bagi mereka yang berpuasa semasa di Aidilfitri

Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:

"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: