Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 22, 2013

Maghfirahmu inspirasiku


Untuk renungan semua dan juga diriku.

Apabila menghampiri pertengahan bulan Ramadan yang penuh keberkatan sudah pastinya mengorak langkah dan mencapai kenikmatan dalam mengerjakan ibadah termasuklah solat sunat Tarawih.

Namun ukurannya, langkah yang telah dimulakan harus sentiasa dikemaskini.

Apakah kita semakin merasa kelazatan dalam beribadah dan kehidupan kita semakin berubah mengikut panduan Ramadan yang berkat, seterusnya mendapat maghfirah dan rahmat Allah SWT?

Selari dengan keberkatan bulan yang penuh rahmat ini maka Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda untuk mereka yang sentiasa mencari-cari dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:

"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."

Sewajarnya kita perlu sedar bahawa Allah SWT membuka pintu rahmat-Nya di bulan Ramadan.

Antaranya pintu syurga dibuka manakala pintu neraka ditutup, pintu keampunan dibuka seluasnya dan syaitan dirantai.

Oleh itu, diri manusia terdorong melakukan kebaikan, bahkan Allah SWT melipatgandakan ganjaran di bulan Ramadan.

Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah kita untuk meraih ganjaran pahala yang hebat itu?
  1. Kita hendaklah mempunyai keinginan dan keazaman yang tinggi dan kuat.  Sebanyak mana kuatnya keinginan dan keazaman untuk melaksanakan kefardhuan sebanyak itulah terhindarnya keburukan.  Keinginan ini harus disokong dengan pengetahuan yang benar dan penghayatan terhadap nilai-nilai sesuatu amalan berlandaskan ajaran Islam.  Sebagai contoh, bagi menggalakkan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan, kita dituntut menunaikannya dengan iman dan ihtisab iaitu menjiwai ganjarannya sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." - Hadis Riwayat Bukhari. 
  2. Menjalani latihan dalam tempoh masa yang berterusan.  Sedarlah kita sebenarnya telah diberi satu tempoh yang mencukupi untuk faedah jasmani dan rohani.  Latih tubi pelbagai aktiviti sama ada yang fardhu atau sunat yang kita jalani setiap waktu perlu dilaksanakan dengan semangat berbeza dengan masa sebelumnya.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa amalan agama yang disukai Allah SWT ialah yang dilakukan oleh seseorang secara berkekalan." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.  Yakinlah hasil daripada latihan ini kita diberikan bekalan dan tenaga yang mampu untuk kita manfaatkan dalam mengharungi liku-liku kehidupan.  Cuba kita bayangkan sekiranya nikmat yang dikecapi tanpa henti itu adalah merupakan maghfirah dan keampunan Allah.  Sudah pasti tiada ruang untuk tabiat buruk menguasai diri seseorang.
  3. Sasaran yang menyeluruh dan umum.  Puasa di bulan Ramadan mengandungi didikan untuk setiap lapisan masyarakat.  Ia juga merangkumi tarbiyah yang zahir dan batin.  Umat Islam yang ingin melakukan perubahan sebenarnya bukan bersendirian akan tetapi bersama-sama dengan orang lain yang inginkan perubahan ke arah kebaikan.  Namun ujian setiap manusia berbeza.  Oleh yang demikian, satu persoalan ditimbulkan, apakah kita semakin merasai penderitaan insan yang kurang bernasib baik?  Apakah kita semakin peka dengan perubahan yang berlaku di sekeliling kita lebih-lebih lagi yang membabitkan Islam dan umatnya?  Keprihatinan satu pihak terhadap pihak lain dalam ujian yang dihadapi dapat meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka seterusnya dapat membantu mereka merebut rahmat Allah dan keampunannya di bulan mulia ini.  Rasulullah SAW pernah bersabda: "Barangsiapa yang memintakan ampunan (kepada Allah) bagi kaum mukminin dan mukminat, maka Allah akan menulis bagi setiap mukmin dan mukminah satu kebaikan (pahala)." - Hadis Riwayat at-Tabarani.

Taqwa adalah buah dan hasil yang diharapkan dari amalan di bulan Ramadan. Buah tersebut akan menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar diri manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan.

Usahlah kita lalai dan leka dari memanfaatkan bulan yang hanya tiba sekali dalam setahun ini kerana kita belum tahu bilakah nyawa kita akan dibawa menghadap Ilahi.

Bayangkanlah, apakah nasib dan balasan yang akan diterima jika kita menemui ajal dalam keadaan yang lalai dan tidak sempat bertaubat?

Sudah pasti kita akan menerima azab dan seksaan yang sangat dahsyat.

Maka bagi orang yang bertqwa kepada Allah SWT, ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh.

Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan. Dia juga tidak akan membiarkan maksiat berterusan.

Dia hanya melakukan sesuatu yang dituntut dan diperbolehkan Allah. Dia hanya berada di tempat yang mendatangkan keredhaan Allah dan menjauhi tempat yang mendatangkan kemurkaan Allah.

Dia hanya berada di tempat yang mendatangkan keredhaan Allah dan menjauhi tempat yang mendatangkan kemurkaan Allah.

Abu Umamah berkata Rasulullah SAW bersabda:

"Barang siapa mengambil hak seorang muslim, maka Allah Taala mewajibkannya masuk ke dalam neraka dan mengharamkaannya masuk ke dalam syurga. Seorang bertanya, meskipun dari sesuatu yang sangat remeh, wahai Rasulullah. Ya meskipun barang itu hanya sepotong kayu sugi”. Demikian sabda Rasulullah bahawa hanya sepotong kayu sugi yang diambil dengan tanpa izin pun masuk neraka."

Dengan demikian menurut hadis ini, kita mesti berwaspada mengenai mengambil hak-hak orang lain, melanggar amanah yang ditetapkan dan perbuatan yang diharamkan.

Di dalam al-Quran disebutkan bahawa mereka yang bertaqwa akan dimasukkan ke dalam syurga secara berkumpulan dan pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya.

Taqwa yang menjadi tujuan utama kita berpuasa bukanlah perkara mudah yang hendak dicapai. Bahkan para sahabat pun melahirkan kerisauan membentuk sebenar-benar taqwa sehingga turun ayat al-Quran dalam surah at-Taghaabun ayat 16 yang bermaksud:

"Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (dijalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya."

Seorang Muslim itu adalah orang yang taat kepada Allah dan tidak mengikut perintah hawa nafsu.

Pertembungan kepentingan antara taqwa dan kehendak gelojak hawa nafsu manusia sentiasa menimbulkan konflik dalam diri manusia.

Pertembungan ini akan menentukan halatuju dan status fitrah kehidupan kita tetapi untuk mencapai kecemerlangan taqwa ini maka seseorang itu memerlukan penglibatan diri dalam perjuangan, kesabaran dan jihad melawan nafsu. Jika gagal, maka kita akan mengikut telunjuk hawa nafsu.

Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya untuk mencari maghfirah sebagai satu inspirasi kehidupan.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:

"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: