Dalam konteks yang lebih luas ianya membawa makna perubahan ke arah kebaikan. Walaupun perubahan boleh dilihat daripada pelbagai sudut, seperti perubahan dari satu tempat ke satu tempat lain, perubahan dalam profesion atau pekerjaan atau mungkin juga perubahan daripada satu ideologi kepada ideologi lain.
Namun apa yang paling penting di sini ialah perubahan sahsiah setiap individu kepada suatu keadaan yang lebih baik khususnya melalui penghayatan sifat mahmudah dan integriti yang sangat dituntut oleh agama Islam.
Sahsiah atau peribadi mulia hanya dapat dibina melalui pengorbanan setiap insan dengan semangat yang kental untuk melakukan kebaikan.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud:
"Dan bagi setiap umat ada kiblat yang dihadapkannya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (pada hari Kiamat); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Islah dan penghayatan integriti boleh mengambil semangat hijrah yang menjadi penanda aras dalam membina tamadun Islam.
Hijrah juga adalah suatu proses bagaimana Rasulullah SAW mempersiapkan asas dan landasan terbaik untuk membolehkan kebaikan yang ada di dalam agama Islam itu sendiri dilaksanakan.
Perubahan yang paling penting daripada proses ini adalah penyucian diri (tazkiatun nafs), membersihkan sifat syirik dan segala penyakit hati yang merosakkan tauhid dan nilai kemanusiaan.
Demikianlah juga penghayatan integriti yang mengajak kita supaya meninggalkan semua sifat-sifat negatif atau mazmumah seperti membazirkan masa, boros, ponteng kerja, tidak menepati janji, suka menangguhkan kerja sehingga membawa kepada perkara yang lebih serius seperti penipuan, rasuah, penyelewengan, salah laku dan salahguna kuasa.
Manusia yang berintegriti bukan sahaja memastikan diri dan keluarganya menjauhi sifat-sifat mazmumah, bahkan akan sentiasa berusaha mengamalkan sifat-sifat mahmudah yang selari dengan fitrahnya dan terangkum sebagai akhlak mulia yang dituntut oleh Islam.
Hujatul Islam Imam Ghazali telah memperincikan sebahagian akhlak mulia antaranya sebagai penyabar, lemah-lembut, bersyukur, redha, ikhlas, murah hati, berkata benar selain jujur, amanah dan bertanggungjawab.
Mengulas perkara ini, Dr. Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota badan yang lengkap dan sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus kehidupan.
Semua kelebihan ini memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang berkuasa di muka bumi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Perubahan manusia ini jika dihalakan kepada kebaikan membawa banyak keuntungan. Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti manusia akan tercalar.
Renungilah pesanan Rasulullah SAW daripada Jabir R.A. tentang kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia iaitu:
"Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka." - Hadis Riwayat Muslim
Manusia yang hilang integriti sama ada dari segi zahir atau batin akan merosakkan hubungannya dengan Allah SWT, sesama manusia dan sengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan serta alam persekitaran.
Di dalam al-Quran telah dirakamkan beberapa individu yang tercemar integritinya seperti Firaun yang zalim, penasihat kanannya yang korup iaitu Haman dan Qarun yang mengampu Firaun.
Begitu juga disebutkan beberapa kaum yang rosak integriti kemanusiaannya lalu dihapuskan oleh Allah SWT dari muka bumi ini seperti kaum Thamud umat Nabi Saleh, umat Nabi Lut dan kaum Aad umat Nabi Hud.
Pendedahan azab kaum-kaum tersebut di dalam al-Quran, berkait rapat dengan pencemaran integriti yang paling tinggi iaitu mensyirikkan Allah SWT, maka sewajarnya azab itu menjadi pengajaran kepada manusia.
Berdasarkan kesan buruk yang menimpa umat terdahulu, jelas bahawa kaum yang tercemar integritinya mempunyai kaitan dengan amalan seorang jahiliyah.
Mohamad Qutb dalam bukunya Masyarakat Islam menjelaskan terdapat empat ciri jahiliyah iaitu:
- Syirik dalam ibadah
- Wujud sikap menjauhi agama Allah
- Wujud Taghut (penegak kesesatan) yang memujuk manusia agar jangan mematuhi hukum Allah
- Menjatuhkan hukuman secara tidak adil kerana mengikut hawa nafsu.
Setiap amal manusia sentiasa diperhatikan oleh dua malaikat Raqib dan Atiq yang berada di kanan dan kiri untuk melaksanakan tugas merekodkan amalan baik dan buruk yang dilakukan manusia pada setiap masa.
Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dengan melaksanakan perubahan di samping memohon pertolongan Allah SWT.
Sebaik-baik manusia ialah mereka yang melakukan kebaikan di sepanjang kehidupannya sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah SAW:
"Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umur dan bagus amalannya." - Hadis Riwayat Ahmad
Renungi juga firman Allah SWT di dalam surah al-Israa' ayat 9 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment