Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, June 27, 2013

Agihan tepat, zakat berkat


Zakat dari segi syarak ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Mengeluarkan zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima. Oleh itu, setiap orang Islam yang memiliki harta yang telah memenuhi syarat-syaratnya adalah wajib menunaikannya sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 56 yang bermaksud:

"Dan dirikan oleh kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat."

Rasulullah SAW pula memberikan peringatan dan ancaman yang tegas kepada mereka yang enggan mengeluarkan zakat sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

"Barangsiapa yang Allah berikan kepadanya harta, tetapi dia tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu dijadikan berupa Syuja’ Aqra’ (Ular jantan yang botak, kepalanya mengandungi banyak racun) yang memiliki dua titik hitam di atas dua matanya melilit lehernya. Kemudian ia menggigit kedua tulang rahangnya sambil berkata, ‘Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu. Lalu baginda SAW membaca (ayat 180 surah Ali Imran): ’Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil menyangka…’." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Al-Hafiz Imam Ibnu Katsir RA di dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir ketika mentafsirkan ayat 180 surah al-Baqarah yang dimaksudkan oleh Baginda SAW ini, berkata:

"Janganlah sekali-kali orang yang bakhil menyangka bahawa dia mengumpulkan harta itu akan baik dan bermanfaat baginya. Sebaliknya hal itu akan membahayakannya dalam (urusan) agamanya dan kemungkinan juga dalam (urusan) dunianya. Allah memberitakan tentang hartanya pada hari kiamat dengan firman-Nya: “Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka, kelak pada hari kiamat."

Begitu juga dengan pandangan Dr. Yusof al-Qaradawi yang merumuskan di dalam kitabnya Fiqh al-Zakah dengan mengatakan:

"Seorang muslim yang mengingkarinya (yakni kewajipan zakat) adalah dihukum kafir (murtad), fasik jika ia melarikan diri (enggan menunaikannya), diizinkan (kepada ulil amri) mengambil secara paksa (yakni melalui tindakan undang-undang) orang yang menegahnya, dan diisytiharkan perang dengan tujuan menunaikannya kepada sesiapa yang enggan dan berkeras."

Antara hikmah ibadah zakat ialah barakah atau keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada pembayar dan penerima zakat termasuk juga pada harta yang telah dizakatkan itu sendiri.

Barakah adalah suatu nikmat Allah yang tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi dapat dirasai dan dinikmati kesannya dalam kehidupan seharian.

Setiap muslim pasti bercita-cita inginkan keberkatan dalam kehidupan dan urusan sehariannya kerana dengan keberkatan jiwa menjadi tenang, hati menjadi lapang, nafsu dapat dikawalkan, setiap urusan sentiasa mendapat panduan, mudah dan senang, kekurangan harta tidak menjadi kerisauan.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud:

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini di dalam kitab Tafsir al-Munir berkata:

Al-tazkiah bermaksud kata nama keterangan yang menunjukkan penyucian sesuatu yang bersangatan dan menambah kebaikan pada harta, ataupun ianya juga bermaksud menyuburkan dan memberikan keberkatan pada harta kerana sesungguhnya Allah swt menjadikan kekurangan yang terhasil dengan sebab mengeluarkan zakat sebagai faktor berlakunya penyuburan harta sepertimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda : Sedekah (yakni zakat) tidak akan mengurangkan harta.

Justeru, nas ini jelas memerintahkan Rasulullah SAW dan juga pemerintah Islam agar menguatkuasakan kutipan zakat ke atas sebahagian daripada orang-orang Islam yang berharta dan cukup syarat-syaratnya dengan kadar tertentu bagi tujuan membersihkan diri mereka daripada segala sifat buruk dan keji serta menyuburkan harta mereka.

Hasilnya, di dunia, harta kekayaan yang dimiliki mereka akan bertambah subur dan berkembang, manakala di akhirat kelak pula harta kekayaan ini menjadi aset dan penyelamat diri mereka daripada azab dan kemurkaan Allah SWT.

Zakat hendaklah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya. Justeru, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk melaksanakannya dengan memperkenalkan pelbagai bentuk skim bantuan zakat untuk diagihkan kepada asnaf zakat.

Sebagai contoh melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mempunyai sebanyak 27 skim bantuan zakat yang dilaksanakan, manakala Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak 81 skim bantuan.

Perlu diketahui bahawa setiap jenis bantuan zakat yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Negeri perlu melalui keputusan dan kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri agar menepati kehendak maqasid syariyyah dan hukum hakam syarak.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, pihak kerajaan persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia sentiasa bekerjasama dan berusaha gigih menganjurkan program dan aktiviti-aktiviti bagi mempromosi kesedaran dan kefahaman mengenai zakat.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: