Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, June 20, 2013

Harmonikan masyarakat


Sejak kebelakangan ini perkembangan politik semasa di negara kita agak merisaukan. Pertelagahan di kalangan pemimpin dalam mengejar kuasa dan pangkat akan menghilangkan keyakinan orang bawahan dan rakyat terhadap kepimpinannya.

Perlu disedari bahawa pemimpin adalah golongan yang bertanggungjawab memenuhi keperluan masyarakat sama ada dari segi jasmani (hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi) dan rohani (hal-hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan).

Sikap sebegini sebenarnya telah membuktikan pemimpin yang tidak bermoral akan menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat serta menghancurkan sesebuah negara.

Apabila pemimpin asyik dengan pertelingkahan serta lupa dengan tanggungjawab membela nasib rakyat menyebabkan rakyat merasa bosan.

Keadaan bosan yang berterusan ini mampu menggugat sistem bernegara kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan.

Kita juga perlu insaf dan sedar bahawa pertelagahan di kalangan pemimpin Islam merupakan satu kerugian besar kepada agama, negara dan rakyat jelata.

Kita perlu ingat bahawa kelemahan kepimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan dengan mencabar kedudukan keistimewaan orang Melayu, institusi Raja sebagai Ketua Agama Islam serta mempertikai Islam dalam perlembagaan di negara ini.

Dalam sejarah tamadun Islam, telah terbukti bagaimana pemimpin yang bertelagah sesama sendiri dengan menabur janji serta melempar fitnah adalah penyebab utama tumbangnya sebuah kerajaan.

Renungi kembali apa yang berlaku kepada kerajaan Umaiyah, Abbasiah dan Uthmaniah. Apabila kepimpinan bertelagah untuk merebut kuasa, maka kerajaan itu akan hancur.

Ingatlah bahawa Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya pernah menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa suatu ketika Abdul Rahman bin Samurah telah ditegur oleh Rasulullah SAW:

"Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan."

Hadis ini menjelaskan bahawa dalam Islam, jawatan pemimpin adalah satu tanggungjawab yang berat. Ia bukan suatu status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan tertentu.

Oleh sebab itu, Islam menegaskan bahawa jawatan kepimpinan tidak boleh ditagih-tagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata. Bahkan, dalam proses pemilihan pemimpin atau pentadbir hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, karisma dan ciri kepimpinan serta bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

"Sesungguhnya pemimpin yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi."

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepimpinan yang paling berkesan ialah kepimpinan melalui tauladan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 128 yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman."

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka.

Kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang dapat diterima oleh rakyat.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat ini.
  1. Kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan rakyat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian dengan Allah SWT.
  2. Kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab yang diamanahkan.

Memegang kuasa melalui jalan yang salah dan tidak beretika seperti salahguna kuasa, rasuah dan sebagainya hanya memberi keseronokan sementara waktu untuk diri sendiri tetapi ianya memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat jelata dan sewajarnya mereka yang mengamalkan budaya ini tidak diberi ruang sebagai pemimpin di negara ini.

Pemimpin perlu merapatkan saf, eratkan perpaduan di antara mereka demi masa depan rakyat dan negara. Elakkan dari berlakunya pertelagahan sesama sendiri bagi mencapai kejayaan di dalam perjuangan.

Pemimpin perlu bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan untuk menjadi pemimpin yang disayangi dan dihormati.

Pemimpin hendaklah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang yang dipimpin di dunia dan akhirat.

Pemimpin juga perlu menginsafi bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.

Seandainya pemimpin bertelagah, rakyat akan berpecah.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah as-Syuara' ayat 215 - 217 yang bermaksud:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani."

-E-khutbah JAKIM

No comments: