Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, May 27, 2013

Ulama pembina ummah

Tok Kenali

Sejarah membuktikan bahawa pengajian pondok di negara kita telah melahirkan golongan ulama yang hebat serta berpengaruh di dalam masyarakat.

Golongan ini menjadi perhatian dan mendapat pengiktirafan masyarakat.

Pengiktirafan yang begitu tinggi ini bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama dan selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang bermaksud:

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan."

Pada hakikatnya kejayaan pengajian pondok telah melahirkan wajah sebenar ulama sebagai pembina ummah. Namun, persoalan besar timbul di sini siapakah sebenarnya yang dikatakan ulama ini?

Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini, ulama adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam yang kita namakan mereka sebagai ustaz, tuan guru dan kiyai.

Tanpa ulama, semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu, para ulama merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar.

Kata-kata ulama menjadi penawar kepada penyakit sosial, nasihatnya menjadi pendamai kepada pertelingkahan ummah, senyumannya mampu menyuluh sinar cahaya dari kegelapan masyarakat.

Menjelaskan betapa besar peranan ulama ini Imam al-Ghazali pernah berkata bahawa:

"Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat".

Berdasarkan hadis-hadis dan pandangan tokoh-tokoh ulama ternyata kedudukan ulama merupakan tunjang kepada pembinaan ummah dan menentukan hala tuju umat Islam pada masa hadapan.

al-Marbawi

Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu.

Lihatlah sebagai contoh kejayaan tamadun Islam terdahulu yang bertonggakkan kekuatan ulama telah menjadi pusat perkembangan Islam yang paling penting dan berpengaruh.

Tokoh ulama seperti Tok Kenali, Al-Marbawi (Malaysia), Hassan al-Bana, Syed Qutb (Mesir) sanggup menulis dan berkorban jiwa raga yang akhirnya mati syahid.

Sebaliknya, apabila golongan ini menjadi jahat, bermusuhan, maka ummah tidak terbela, negara kucar kacir dan akan ditimpa kehancuran.

Menurut hadis yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan pemerintah."

Sekali lagi persoalan besar timbul di sini ialah apakah peranan ulama di dalam pembinaan ummah?

Antara peranan ulama mereka mestilah menjadi qudwatun hasanah yang diletakkan di tempat yang tinggi dalam masyarakat.

Setiap ulama mestilah berintegriti, bersifat ikhlas, jujur, jati diri, berpandangan luas serta tidak fanatik di dalam setiap tindakannya dan hendaklah memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau fahaman tertentu.

Hasan al-Banna

Dengan ini mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukannya dalam sistem pemerintahan negara.

Imam al-Turtusyi di dalam kitabnya Siraj al-Muluk berkata:

Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah.

Islam adalah agama yang mewujudkan sistem cara hidup menyeluruh kepada manusia dari segi akidah, syariah, akhlak, politik, ekonomi dan sosial yang berkait rapat satu sama lain.

Sistem cara hidup ini mempengaruhi pembangunan duniawi dan ukhrawi manusia. Dengan demikian peranan dan kerjasama serta hubungan harmoni ulama dengan ummah akan menjadi tunjang kekuatan dan menentukan negara berada di landasan yang selari dengan Siasah Shar'iyah.

Syed Qutb

Bidang kuasa ulama di negara ini adalah terbatas berbanding bidang kuasa pemerintah, namun selari dengan tanggungjawab ulama, ulama tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah.

Suara ulama sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya.

Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28 yang bermaksud:

"Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu)."

Juga renungi firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 15-16 yang bermaksud:

"Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan)."

-E-khutbah JAKIM

No comments: