Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, May 28, 2013

Hijrah

Hijrah adalah satu langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah demi memperkasakan umat Islam.

Penyatuan dua golongan Muhajirin dan Ansar telah melahirkan perpaduan, persepakatan dan keharmonian dan yang lebih penting persaudaraan sesama umat Islam itu sendiri.

Perlu kita ingat bahawa berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu.

Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 100 yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan hijrah?

Peta penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah

Hijrah membawa pengertian yang amat luas, iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil.

Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada lingkungan rahmat dan keredhaan dari Ilahi.

Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Ingatlah bahawa Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha.

Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Justeru, sebagai umat Islam kita dituntut melakukan perubahan. Dengan melakukan perubahan bersifat semasa ianya mampu melepaskan seseorang itu dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi.

Dengan cara ini akan melahirkan umat Islam yang selari dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini.

Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan dalam membuat pandangan-pandangan yang membina supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan yang membina adalah untuk kebaikan kepada semua.

Adalah satu hakikat perubahan seseorang amat bergantung kepada pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap pendidikan melalui penjelasan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:

"Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan."

Pendidikan adalah matlamat utama melahirkan individu muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah. Peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri termasuklah cara bertindak dan berfikir.

Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan fardhu ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititik beratkan.

Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi, seorang tokoh ulama semasa yang amat berpengaruh menyatakan:

"Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan."

Umat Islam pada hari ini perlu juga dibangunkan dengan asas-asas kerohanian yang kukuh agar mereka tidak mudah cair dengan pengaruh persekitaran dan himpitan hawa nafsu.

Umat Islam yang lemah kerohanian akan menyebabkan berlakunya kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis moral, akhlak, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

Justeru bagi memastikan kedudukan umat Islam terjamin maka kita mestilah mengatur segala urusan kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak, di samping itu kita perlu memperkasakan institusi Islam seperti masjid, surau dan sebagainya sebagai medan pengembangan kerohanian.

Umat Islam juga hendaklah bersatu dalam semua perkara terutama dalam pembangunan pendidikan demi kebaikan bersama.

Pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika ia tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kerjasama dan sokongan dari semua pihak terutama institusi keluarga.

Ibu bapa sebagai ketua keluarga seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bersama.

Ibu bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka dengan selesa dan sempurna.

Peranan ibu bapa jika dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara malah memberi pelaburan yang menguntungkan berterusan hingga hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya." - Hadis Riwayat Muslim

Apa yang paling penting ialah inisiatif dalam diri kita untuk mengaplikasikan konsep hijrah itu sendiri dan segala usaha yang dibuat bagi pembangunan ummah yang kamil sama ada dari segi jiwa, mental dan fizikal hendaklah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, di mana kamu semua tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasullullah SAW." - Hadis Riwayat Imam Malik.

Bagi memastikan pembangunan ummah lebih cemerlang, usaha-usaha berikut perlu dilaksanakan:
  1. Melakukan penghijrahan dengan memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara.
  2. Membuat kajian dan analisis dari masa ke semasa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina ummah yang cemerlang.
  3. Merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat membina masa depan ummah yang cemerlang memenuhi keperluan dunia dan akhirat.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud:

"Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna."
-E-Khutbah JAKIM

No comments: