Pengikut dan Ex-smgrian
Monday, April 15, 2013
Festival Hantu Lapar
Festival Hantu Lapar atau Yu Lan merupakan keraian tradisi yang disambut masyarakat Tionghua di seluruh dunia.
Mengikut kalendar lunar Cina, Pesta Hantu Lapar disambut pada malam ke-15 dalam bulan ketujuh yang juga disebut sebagai Bulan Hantu. Banyak perkara yang tidak boleh dilakukan dalam tempoh ini.
Dalam tempoh tersebut, pengikut Taois dan Buddha percaya bahawa pintu neraka dibuka dan segala isinya begitu dekat dengan kehidupan manusia.
Roh dan hantu dikatakan bebas berkeliaran di dunia untuk mencari makanan dan hiburan serta melunaskan urusan yang belum selesai.
Roh dan hantu tersebut dipercayai merupakan nenek moyang dan mereka yang telah meninggal dunia. Ia menerawang ke seluruh alam bagi melepaskan diri sebentar daripada kehidupan di neraka.
Kehadiran roh dan hantu itu juga memberi peluang kepada para waris mereka yang tidak sempat melangsungkan ritual penghormatan terakhir, agar dapat berbuat demikian.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan tersebut ialah menyediakan persembahan makanan, membakar colok dan kertas sembahyang yang mewakili duit, jongkong emas, kereta dan rumah untuk 'kegunaan' dan 'kesenangan' roh si mati.
Masyarakat Tionghua sama ada di Malaysia, Singapura, Taiwan dan Hong Kong malah di seluruh dunia menyambut bulan ini dengan pelbagai cara mengikut adat dan juga pengaruh resam moden.
Persembahan teater rakyat, lakonan boneka dan pertunjukan tarian serta nyanyian juga dianjurkan.
Antara perkara yang perlu dielakkan adalah seperti berkahwin dalam Bulan Hantu, keluar malam, memijak atau melanggar tempat pembakaran kertas sembahyang, berpindah rumah, mandi di sungai atau laut dan membeli serta membawa makanan pulang ke rumah.
Begitupun, para cendikiawan, sami dan pengamal ajaran Buddha tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang diamalkan kini. Antara kelaziman yang mereka anggap salah adalah seperti menganggap bulan tersebut sebagai bulan sial dan perbuatan menakut-nakutkan anak-anak tentang hantu.
Mereka juga menentang amalan pembaziran dalam perbuatan membakar kertas untuk persembahan kepada si mati dan penganjuran aktiviti hiburan melampau yang sebenarnya tidak dituntut dalam ajaran mereka.
-Kosmo!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment