Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, April 12, 2013

Anugerah Ilahi


Berdasarkan kepada laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat, ketika ini dianggarkan 9.8 juta (36%) penduduk negara kita terdiri daripada golongan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun.

Golongan ini merupakan anugerah dan nikmat yang terbesar daripada Allah SWT dan merupakan aset pembangunan negara pada masa depan.

Bagi pasangan ibu bapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan yang berlipat kali ganda serinya mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yng soleh.

Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan, tidak mustahil akan menjadi anak yang derhaka, terbiar dan pada masa yang akan datang akan menjadi sampah kepada masyarakat dan negara.

Justeru, memiliki anak yang soleh serta baik budi pekertinya menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga sebagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang memohon dengan berdoa kepada Allah SWT.


Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 38 yang bermaksud:

"Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan."

Anak-anak sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih dari sebafrang kekotoran sama ada zahir ataupun batin, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuknya menjadi insan berjaya ataupun tidak.

Anak yang soleh akan memberi manfaat yang amat besar kepada kedua ibu bapa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan."

Dalam membina potensi anak-anak, pendidikan kepada mereka hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia itu segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka.

Ibnu Sina pernah berpesan, katanya:

"Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk."

Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu:
  1. Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.
  2. Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka.
  3. Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
  4. Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah diberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Ibnu Khaldun telah membahagikan tujuan pendidikan kepada tiga bentuk iaitu:
  1. Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.  Ini akan membina akidahnya dan membentuk peribadi yang beriman.
  2. Mempersiapkannya dari segi akhlak.
  3. Mempersiapkannya dari segi pemikiran, ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.


Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukanya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Berilah nasihat dan teguran kepada mereka dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan.

Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh Lukman al-Hakim di dalam mendidik anak-anaknya.

Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 13 yang bermaksud:

"Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."

Sebagai ibu bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah.

Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Dari itu amat penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia.

Dengan pendidikan agama, prinsip iman mereka akan teguh. Ini akan membantu mereka menghadapi masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran akan datang.

Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran. Sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.


Kegelojohan nafsu syahwat di peringkat remaja sangat kuat. Jika punca dan tempat yang menaikkan nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal menjadi sifat mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak dan menghancurkan kehidupan.

Kehendak nafsu yang berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan, ia boleh menjejaskan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang.

Ibnu Abas R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan, sabdanya:

"Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati." - Hadis Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah.

Ingatlah bahawa memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya bersikap pasif dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan maksiat tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini berperanan sebagai kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh persekitaran yang penuh mencabar.

Ingatlah pepatah orang melayu ampuh bak ikan di laut walaupun sepanjang hayat badannya tetap tidak masin.

Peranan ibu-bapa bukan sahaja menjadi “Tuan” di rumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh. Tanggungjawab ibu-bapa bukan hanya memberi arahan, tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam diri anak-anak.

Marilah kita bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam yang di dokongi oleh ibu bapa.

Isilah masa kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka. Anugerah ilahi ini merupakan sebahagian daripada amanah daripada Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: