Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, March 5, 2013

Talasemia

Talasemia merupakan penyakit keturunan yang berlaku pada sel darah merah.

Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah merah.

Kekurangan sel darah merah yang membekalkan oksigen akan mengakibatkan pesakit talasemia lesu, tidak bermaya dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin berkurangan.

Pesakit talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada sekitar 4 atau 5g/dl.

Talasemia terbahagi kepada minor dan major.

Talasemia minor merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda talasemia atau dipanggil pembawa.

Talasemia major pula merujuk kepada mereka yang mempunyai baka talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda talasemia (pesakit).

Tanda dan gejala penyakit talasemia

Biasanya anak-anak pembawa talasemia kelihatan normal sewaktu dilahirkan.

Bagaimanapun, mereka akan mulai mengalami masalah anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan.

Tubuh mereka akan menjadi pucat, lemah dan gelisah.

Anemia yang serius boleh menyebabkan kesukaran bernafas.

Mereka juga akan diserang jaundis (penyakit kuning).

Tumbesaran mereka akan terbantut.

Perut mereka akan menjadi buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa.

Perubahan pembentukan tulang muka, pipi dan rahang yang tidak normal (tanda lewat).

Rawatan penyakit talasemia

Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan.

Transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting badan seperti hati, jantung dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut.

Rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine.

Pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai dalam kalangan keluarga.

Saringan talasemia

Saringan ujian darah untuk talasemia boleh dijalankan di semua klinik dan hospital, sama ada kerajaan atau swasta.

Pesakit talasemia memerlukan transfusi darah setiap bulan. Tanpa rawatan yang sempurna, beberapa komplikasi boleh berlaku dan lazimnya mereka akan meninggal dunia pada usia remaja.

sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments: