Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, February 20, 2013

Masjidil Haram


Masjidil Haram yang terletak di Tanah Suci Mekah, Arab Saudi ialah masjid terbesar di dunia.

Di dalam masjid ini terdapat Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia ketika menunaikan solat.

Dibangunkan sekitar abad ketujuh, Masjidil Haram telah mengalami beberapa kali proses pengubahsuaian. Keindahan masjid ini terletak pada bentuk bangunan dan hiasan dalamannya.

Dinding marmarnya membuatkan seluruh ruang tampak berkilau manakala bahagian dalam kubahnya dipenuhi dengan pelbagai ukiran yang cantik.

Masjidil Haram dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti sistem saliran yang sistematik, penghangat lantai, pendingin ruang, lif dan eskalator.

Di tingkat dua Masjidil Haram terdapat laluan khas untuk jemaah yang uzur melakukan tawaf menggunakan kerusi roda elektrik.

Seringkali kedengaran suara laungan "toriq, toriq, toriq" di Masjidil Haram. Ia adalah suara individu yang mengambil upah menolak kerusi roda jemaah yang uzur bertujuan meminta jemaah lain memberi laluan kepadanya.

Pihak pengurusan Masjidil Haram menyediakan banyak tong air yang berisi air zam-zam. Orang ramai boleh memilih sama ada mahu air zam-zam yang disejukkan atau biasa.

Di kebanyakan negara termasuk Malaysia, hujung minggu mungkin masa untuk berlibur dengan pusat-pusat beli-belah menjadi tumpuan, sebaliknya senario itu berbeza di Tanah Suci Mekah. Masjidil Haram jauh lebih sesak pada hari Khamis dan Jumaat berbanding hari lain kerana kedua-dua hari tersebut adalah hari cuti di Arab Saudi. Ramai penduduk tempatan datang beribadat bersama keluarga.

Bagi jemaah wanita dari Malaysia, ibadat umrah meninggalkan pengalaman yang cukup manis kerana mereka dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid. Rata-rata melahirkan rasa seronok kerana dapat menunaikan solat Jumaat meskipun mereka tidak begitu memahami khutbah yang disampaikan dalam bahasa Arab.

-Kosmo!

No comments: