Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan disambut pada 19 Februari setiap tahun.
Dadah merupakan punca utama berlakunya jenayah dan maksiat serta menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.
Gejala dadah ini sama bahayanya dengan penagihan arak (khamar) iaitu ibu segala kejahatan.
Jenayah mencuri, merompak, merogol, membunuh, merempit dan lain-lain lagi kebanyakannya berpunca daripada penagihan dadah.
Setiap perkara yang boleh memabukkan, melemahkan anggota badan, merosakkan akal fikiran merupakan punca kepada berlakunya kemungkaran dan jenayah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."
Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan dadah merupakan satu jenayah dan perbuatan berdosa besar kerana telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat.
Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah SWT.
Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan kita dan keluarga tersayang serta menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat.
Oleh itu, usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat secara perseorangan sahaja atau oleh agensi tertentu tetapi hendaklah dibuat secara menyeluruh oleh anggota masyarakat sebagai satu tanggungjawab bersama umpama pepatah Melayu yang buta meniup tepung, yang pekak membakar meriam, yang capek menghalau ayam dan yang kurap menyiang buluh.
Ianya menggambarkan kerelaan dan kebanggaan setiap anggota masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing ke arah pencapaian matlamat baik dan murni setiap kelompok masyarakat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya."
Dan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Kaitan antara seseorang beriman dengan yang lainya adalah sama seperti sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain." - Hadis Muttafaqun 'Alaih.
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merupakan agensi yang dpertangungjawabkan menangani permasalahan yang berkaitan dengan dadah.
Peranan utama AADK ialah untuk menentukan segala usaha negara menangani ancaman dadah berjalan secara terancang, terarah dan selaras dengan matlamat akhirnya untuk mewujudkan satu masyarakat dan negara yang bebas daripada dibelenggu permasalahan dadah.
Dalam usaha untuk memastikan semua pihak merasakan tanggungjawab untuk membanteras permasalahan dadah, maka AADK telah menubuhkan Sukarelawan Anti Dadah atau lebih dikenali sebagai SKUAD 1 MALAYSIA.
Inilah antara bukti dan usaha yang telah dilaksanakan pihak pemerintah demi kesejahteraan rakyat.
Semua pihak hendaklah sama-sama berganding bahu dan terlibat dalam aktiviti bagi memerangi penyalahgunaan dadah yang ada dalam komuniti masing-masing.
Tidak kiralah sama ada masyarakat yang tinggal di bandar, pedalaman ataupun di perairan negara ini, kita hendaklah membantu dan bekerjasama dengan AADK dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berkenaan.
Sekurang-kurangnya kita sebagai umat yang prihatin dapat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai apa-apa kegiatan penyalahgunaan dadah yang berlaku di tempat masing-masing.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya, dan jika ia tidak berkuasa maka dengan lidahnya, dan jika ia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."
Kerosakan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar.
Ancamannya bukan hanya kepada diri si penagih, bahkan kepada seluruh ahli keluarga kerana gejala ini akan menghilangkan kewarasan, keseronokan dan kegembiraan serta akan diwarnai dengan tangisan yang berpanjangan.
Harapan ibu bapa pasti ranap, impian saudara-mara akan musnah dan masa depan anak-anak dan isteri akan hancur dan yang lebih dahsyat lagi ialah musnahnya sesebuah bangsa dan negara.
Inilah masanya semua umat Islam mesti bersatu untuk memerangi jenayah dadah dan mendokong segala usaha dan komitmen pemerintah demi memastikan jenayah dadah ini dapat dibasmi sehingga ke akar umbi.
Ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita bekerjasama memerangi jenayah dadah dan menutup segala ruang gejalanya.
Sebagai ibu bapa, ruangkanlah masa dengan memberi perhatian kepada anak-anak agar hidup mereka tidak terjebak dengan perkara yang tidak sihat yang pastinya sangat merugikan.
Disiplinkan hidup mereka, ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan dan masalah.
Jadikanlah kesukarelaan kita dalam menangani gejala dadah sebagai satu tanggungjawab demi agama dan umat Islam.
Marilah sama-sama kita sedar dan memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT, memperbanyakkan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur dan menjauhi segala perbuatan dosa dan mungkar.
Perbanyakkan beristighfar semoga segala kesalahan yang dilakukan selama ini akan diampunkan oleh Allah SWT.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 7 yang bermaksud:
"Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya."
Sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment