Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, September 28, 2012

Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh

Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh atau dikenali juga sebagai Ibn Bajjah merupakan cendikiawan Islam yang dilahirkan di Zaragoza, Andalusia (Sepanyol) pada tahun 1082 Masihi. Di Barat beliau dikenali sebagai Avempace.

Beliau telah menulis dan menghasilkan beberapa risalah mengenai ilmu matematik, perubatan dan falsafah. Beliau juga telah mengulas dan menghuraikan tentang hasil tulisan Aristotle, ahli falsafah Yunani yang terkenal. Antara karya-karya Aristotle yang dihuraikannya seperti Physics, Meteorologica, De Generatione et Corruptione, beberapa bahagian dalam Historiae Animalium dan De Partibus Animalium.

Karyanya dalam bidang falsafah merangkumi bidang ilmu logik. Antara karya-karyanya seperti Risalah al-Wida, kitab Tadbir al-Muttawwahid dan al-Nafs. Malangnya, banyak antara hasil tulisannya telah musnah dan yang masih ada kini hanyalah sisa-sisa dokumen yang berselerakan di beberapa perpustakaan dan arkib di Eropah.

Pada tahun 1118 beliau telah pergi ke Seville di mana dia telah menulis beberapa karyanya tentang logik. Kemudian beliau telah pergi ke Granada dan Afrika, di mana menurut beberapa catatan orang Arab mengatakan beliau telah diracun oleh mereka yang iri hati dengan ilmu yang dimilikinya.

Ibn Bajjah meninggal dunia pada tahun 1138 Masihi dalam usia yang masih muda.

sumber: www.islamgrid.gov.my

Thursday, September 27, 2012

Kanak-kanak mesti cukup tidur

Satu kajian yang dilakukan oleh Autonomous University of Barcelona (UAB) dan Ramon Liull University di Sepanyol mendapati terdapat kaitan antara tabiat tidur iaitu bilangan jam tidur dan prestasi akademik kanak-kanak berumur antara 6 dan 7 tahun.

Pakar mendapati tabiat masuk tidur lewat atau waktu tidur kurang daripada 9 jam boleh menjejaskan kemahiran kanak-kanak.

"Kebanyakan kanak-kanak yang tidur kurang daripada tempoh yang disarankan untuk perkembangan intelektual mereka dan tabiat ini menghalang perkembangan tersebut.

"Ini merupakan kajian pertama dilakukan oleh saintis Sepanyol yang membuktikan kehilangan atau kekurangan waktu tidur dan tabiat kurang baik menjejaskan prestasi akademik kanak-kanak sekolah," kata Ramon Cladellas yang merupakan penyelidik di Fakulti Psikologi di UAB.

Berdasarkan kaji selidik itu, para penyelidik percaya bahawa tidur lebih daripada 9 jam dan rutin malam yang tersusun mempengaruhi prestasi akademik yang lebih baik.

Menurut Cladellas, kekurangan tidur mengganggu prestasi dalam pengetahuan linguistik, tatabahasa dan ejaan.

-Kosmo!

Wednesday, September 26, 2012

Kurus sebab faktor genetik

Pasti ramai sering mendengar kenyataan daripada individu berbadan kurus bahawa dia tidak akan naik berat badan walaupun makan dalam kuantiti yang banyak.

Terbaharu, sekumpulan saintis dari Kolej Imperial London dan Universiti Lausanne, Switzerland, menemui penyebab utama situasi tersebut berlaku dan mendakwa perkara itu berlaku kerana faktor genetik.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature, gen yang menjadi perhatian para penyelidik adalah daripada kumpulan 28 yang membentuk kromosom 16.

Pada tahun 2010, sekumpulan penyelidik menemui individu yang tidak mempunyai genetik itu mempunyai peluang sebanyak 43 kali ganda untuk mengalami obesiti.

-Kosmo!

Tuesday, September 25, 2012

Angkatan Tentera Malaysia: Komitmen Kami Keyakinan Anda

ANGKATAN TENTERA MALAYSIA: KOMITMEN KAMI KEYAKINAN ANDA adalah merupakan satu perlambangan bagi membuktikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia akan sentiasa menentukan keamanan dan kedaulatan negara tercinta ini akan tetap terpelihara dan dijaga dengan penuh tanggungjawab.

Menangkis segala bentuk pencerobohan dengan segala kekuatan yang ada biarpun sampai ke titisan darah yang terakhir. Oleh itu, Angkatan Tentera Malaysia akan memastikan aspek kesiapsiagaan sentiasa berada di tahap yang maksimum, ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya."

Keberkesanan Angkatan Tentera Malaysia tidak hanya diukur dari sudut kecanggihan persenjataan semata-mata, tetapi ia juga bergantung kepada tahap penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberi.

Penerimaan masyarakat adalah amat penting, yang antara lain mampu mengekalkan kesinambungan perlaksanaan operasi ketenteraan.

Dengan sokongan, kerjasama serta pengorbanan semua masyarakat, Angkatan Tentera Malaysia akan berupaya untuk menempa kejayaan yang berterusan ke arah memartabatkan integriti pertahanan demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara.

Pertahanan menyeluruh merupakan dasar kerajaan yang bertujuan untuk mempertahankan negara dari musuh sama ada musuh luaran mahupun dalaman dengan melibatkan seluruh anggota masyarakat.

Semua anggota masyarakat bertanggungjawab untuk mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.

Pada masa yang sama, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak keselamatan yang lain akan bekerjasama dengan masyarakat untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati pada masa sekarang akan terus dikecapi.

Kesepakatan ini amat penting berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah as-Soff ayat 4 yang bermaksud:

"Sesungguhnya allah swt amat suka orang-orang yang berperang untuk membela agamanya dalam barisan yang teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Imej angkatan tentera sebagai benteng pertahanan negara dan pelindung masyarakat harus dipupuk melalui ketrampilan yang meyakinkan dengan tingkah laku yang terpuji.

Ketelusan serta integriti dalam setiap pengurusan perlu diterapkan di dalam setiap diri. Transformasi yang dilalui oleh Angkatan Tentera Malaysia antaranya adalah melalui kepimpinan yang berwibawa bagi menentukan sebarang perubahan yang berlaku menjana impak yang positif.

Kepimpinan berwibawa dalam pengurusan akan dapat menentukan pencapaian yang tinggi dan sistematik. Malah pendekatan kepimpinan yang berkesan akan mampu memberikan kepuasan serta memperkasa semangat juang warga Angkatan Tentera Malaysia untuk berkorban demi agama dan negara.

Sejarah Islam telah membuktikan, generasi terdahulu, walaupun daripada kumpulan minoriti, turut berjaya menghancurkan dua kuasa gergasi iaitu empayar Rom dan Parsi. Kesemuanya bertunjangkan kekuatan rohani atau spiritual melebih dan mendasari persiapan fizikal dan teknologi.

Walaupun tentera Islam tidak punya kekuatan material yang menggerunkan berbanding musuh, namun, di medan Badar tentera Islam beroleh kemenangan besar, lantaran mereka mempunyai kekuatan rohani yang sarat dengan iman dan taqwa yang memangkin semangat juang yang tinggi dan tulus kerana Allah SWT.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran melalui surah al-Anfal ayat 9 yang bermaksud:

"(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmannya): "sesungguhnya aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut."

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dengan suasana hari ini, malah kita hendaklah sentiasa bersedia pada sebarang masa untuk menghadapi apa jua cabaran yang mungkin berlaku.

Ini kerana, isu-isu semasa yang sedia wujud, walaupun sekecil mana sekalipun, boleh meledak jika tidak ditangani dengan baik berdasarkan senario semasa yang melanda dunia melalui pelbagai perancangan halus para musuh untuk memperkotak-katikkan umat dan negara-negara Islam, seluruh masyarakat khususnya Angkatan Tentera Malaysia sentiasa berwaspada untuk menghadapinya.

Cabaran-cabaran ini sama ada berbentuk fizikal mahupun mental jika tidak dibendung boleh melemahkan dan menggoyahkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia dalam menggalas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

sumber: e-khutbah JAKIM

Monday, September 24, 2012

Membina perpaduan 1Malaysia

Sejak April tahun 2009, sebagai kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu, maka telah bermulalah fasa transformasi negara. Kala itulah juga kerajaan telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia untuk penyatuan dan perpaduan rakyat, menjamin kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara.

Gagasan ini terbina di atas landasan keikhlasan, satu matlamat ke arah kemajuan negara secara berterusan yang wajar dipaparkan kepada semua warganegara dengan rasa penerimaan bersama yang bermula dari keikhlasan denyut nadi kita.

Gagasan 1 Malaysia ini telah mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional, ianya ibarat sekuntum bunga yang harum, menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan rakyat.

Perpaduan hanya boleh dicapai andai seluruh rakyat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai murni, teras aspirasi serta asas perpaduan yang terkandung di dalam Gagasan ini.

Prinsip keadilan sosial yang menjadi salah satu teras perpaduan di dalam gagasan ini adalah amat bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Maa'idah ayat 8 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan!."

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa perintah keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Ini amat bertepatan dengan Gagasan 1 Malaysia yang membela semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.

Hakikatnya, Gagasan 1 Malaysia ini juga adalah selaras dengan semangat yang ditunjukkan melalui sejarah pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam yang berpayung di bawah pemerintahan negara Madinah.

Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya:

"Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan."

Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah R.A. katanya:

"Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kami pun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah." - Hadis Riwayat al-Bukhari

Hadis ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam ini menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih kemanusiaan sesama manusia yang lain.

Perosalan besar timbul bagaimanakah untuk merealisasikan Gagasan 1 Malaysia agar semua kaum dapat menerimanya? Pendekatan wasatiyah yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada pembinaan perpaduan di Malaysia ini.

Wasatiyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada masa yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud:

"Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu."

Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu umat yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan.

Ia menggambarkan umat Islam yang telah dijelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia.

Mengikut pandangan Sayyed Qutb:

"Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah."

Justeru, umat Islam dituntut untuk menyeimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat.

Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian.

Maka umat Islam tidak boleh rigid dan extreme, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan. Sememangnya ajaran Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua perkara, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.

Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. Usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuh perpaduan yang telah lama terbina dan menggadai kuasa dan maruah yang ada.

Umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki dan nadi kehidupan kita.

Perpaduan merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita meyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak.

Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Sumber: e-khutbah JAKIM

Monday, September 10, 2012

Kesetiaan kepada pemerintah

Rasulullah SAW sebagai pemimpin ummah dan bertindak sebagai ketua negara telah memberi penekanan khusus dalam membimbing umatnya dengan cara menggesa mereka sentiasa berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara.

Bimbingan ini akan menentukan mereka menjadi ummah yang terbaik dan mendapat pengiktirafan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya tiada nabi selepasku dan tiada umat selepas kamu, Demi sesungguhnya beribadatlah kamu kepada tuhan kamu, tunaikan solat lima waktu, berpuasalah pada bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat hartakamu dengan ikhlas hati kamu dan taatilah pemerintah-pemerintah kamu nescaya kamu akan masuk syurga tuhan kamu." - Hadis Riwayat at-Tirmizi

Menurut pandangan Ibnu Hajar al-Makky al-Haitamy, seorang ulama yang terkenal bahawa:

Antara dosa-dosa besar ialah mensyirikkan Allah SWT, membunuh manusia, makan harta anak yatim, menuduh seseorang berzina, menderhaka kepada kedua ibu bapa, makan riba dan membatalkan kesetiaan kepada pemerintah.

Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan:

Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram.

Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah. Apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.


Berdasarkan kepada i'tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama'ah adalah menjadi satu tuntutan mentaati dan menghormati pemerintah. Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada:
  1. Mentaati mereka dalam urusan kebaikan (ma'ruf) termasuk merealisasikan perintah mereka yang ma'ruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan.
  2. Menghormati dan memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka.
  3. Melaksanakan kebaikan bersama mereka.
  4. Membenci maksiat yang mereka lakukan dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syar'i.
  5. Tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat membangkang terhadap kepimpinan dan tidak menghina atau mencela mereka.

Persoalan kecintaan dan ketaatan kita terhadap pemerintah dan negara adalah merujuk kepada sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah tanahair agar ianya kekal aman dan selamat.

Islam mengajar umatnya agar kasih kepada pemerintah dan negara kerana ianya sebahagian daripada tanda keimanan.

Namun, persoalan besar timbul hari ini, mengapakah terdapat segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab dan cinta kepada negara sendiri sehingga sanggup menghina pemimpin dan negara, memijak gambar pemimpin serta sanggup membakar dan menukar bendera negara?

Semangat patriotik dan cintakan negara sebenarnya telah terhakis pada diri dan jiwa mereka serta dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang cuba menjatuhkan maruah dan martabat pemerintah dan negara ini.

Perbuatan sebegini adalah mencerminkan rendahnya akhlak, tidak berintegriti, tidak bertamadun dan biadab.

Dalam semua aspek umat manusia perlulah membina semangat petriotik kerana ianya menjamin kesejahteraan dan kecintaan rakyat kepada negara. Agama Islam telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubungkait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatn dan maruah negara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."

Dalam membina tanggungjawab kesetiaan kepada pemerintah dan negara ini ianya sangat berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan rakyat kepada pemimpin secara menyeluruh.

Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat bahawa taat kepada pemerintah adalah fardhu kepada setiap Muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Jangan kamu memaki para pemimpin negara, sebaliknya hendaklah kamu berdoa untuk kebaikan mereka kerana baiknya mereka akan membawa kebaikan untuk kamu." - Hadis Riwayat at-Tabarani.

Begitu juga menurut pandangan Ibnu Jamaah di dalam kitabnya Tahrir al-Ahkam menyatakan bahawa:

Hendaklah seseorang itu mengetahui hak pemerintah yang begitu besar dan kewajipan meninggikan martabatnya supaya dengan itu hubungan dengan pemerintah berjalan mengikut cara yang mulia dan terhormat. Oleh itu perlakuan kurang adab yang dilakukan oleh sesetengah orang yang menggolongkan diri mereka sebagai zuhud bukanlah amalan yang sesuai dengan sunnah.

Imam al-Qurthubi rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan:

Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati pemimpin dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah SWT akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka.



Justeru, sikap tidak kasih serta menghina pemerintah dan negara dengan apa cara sekalipun, memporak perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum dan mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara serta tanda hilangnya iman seseorang.

Ingatlah pesan junjungan Rasulullah SAW bahawa sesiapa menghina pemerintah di bumi ini nescaya Allah SWT akan menghinanya di akhirat kelak.

Usahlah terpengaruh dengan tipu daya sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan demi mengejar kuasa dengan tidak mengiktiraf kesahihan pemerintah pada hari ini.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa mendapat kuasa melalui kekuatan hingga ia menjadi pemerintah dan di panggil pemerintah orang Islam, maka tidak halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berada semalam pun tanpa mengiktirafnya sebagai pemerintah samada ianya seorang yang baik atau fasik." - Hadis Riwayat Imam Ahmad.

Sesungguhnya agama Islam berkehendakkan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekerti dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain.

Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabda Baginda yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain." - Hadis Riwayat at-Tabarani

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

sumber: e-khutbah JAKIM

Elak amarah lebih awal

Di sebalik perihal negatif yang seringkali dikaitkan dengan 'orang muda', sikap amarah juga dikatakan sinonim dengan golongan berkenaan.

Sikap amarah dalam kalangan golongan muda didakwa semakin serius dan berpotensi menimbulkan masalah kepada masyarakat.

Golongan muda seringkali didedahkan mengenai perilaku itu terutamanya apabila mereka berdepan dengan kekecewaan yang dialami dalam hidup.

Sebagai anak muda yang sudah baligh dan menuju ke arah kematangan, kadar endokrin mereka pada ketika itu sedang mengalir dengan hebat dan atas alasan itu, ia secara tidak langsung menyebabkan tahap pemikiran mereka berada pada paras yang tidak seimbang.

Pada suatu ketika, mereka boleh merasa gembira dan selepas itu mereka akan menjadi tidak bersemangat.

Dalam konteks itu, bagi golongan dewasa, mereka berasakan ia sukar ditangani dan bagi remaja yang melaluinya, mereka sendiri akan berasa bingung.

Dalam satu senario lain, golongan tersebut berasakan mereka terlalu dewasa untuk bermain dengan permainan kanak-kanak, namun terlalu muda untuk dilabel sebagai seorang dewasa.

Justeru, amat penting untuk ibu bapa menguruskan kemarahan anak-anak mereka yang kadangkala mampu bertindak di luar batasan.

Dalam satu-satu kes, persoalan yang diajukan secara baik, ia mampu dijadikan bahan untuk membangkitkan kemarahan mereka dan ketika itu, cara menguruskan kemarahan menjadi senjata paling penting.

Golongan remaja pada hari ini juga melalui penghidupan yang berbeza berbanding belia pada masa lalu.

Ketika mencapai usia 18 tahun, mereka sudah melihat pelbagai kisah pembunuhan dan kezaliman yang dipaparkan melalui televisyen atau alat permainan video.

Selain itu, bagi kebanyakan golongan remaja, kadar kemarahan mereka akan lebih meningkat tatkala berlaku perpisahan antara kedua-dua ibu bapa dan mereka pula tersepit di tengah-tengah kemelut tersebut.

Jika diimbas pada zaman dahulu, remaja yang menuju kedewasaan akan melalui saluran yang betul untuk membincangkan perihal kematangan.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk menangani isu kemarahan anak-anak mereka sebelum ia bertukar menjadi semakin teruk.

Sebagai contoh, cuba libatkan mereka dengan aktiviti berpesatuan atau kumpulan yang memberi banyak manfaat dan faedah.

Selain itu, beri mereka peluang untuk memikul tanggungjawab dan membantu mereka untuk menjalani transformasi ke arah kematangan.

Pada masa sama, hendaklah sentiasa menyokong dan membantu golongan muda bagi menjalani kehidupan sebagai seorang dewasa yang berdisiplin dan berikan tunjuk ajar yang sesuai.

Sudah pasti ibu bapa di luar sana tidak mahu anak-anak mereka terlibat dengan pelbagai masalah yang disebabkan oleh sifat amarah.

Tangani isu kemarahan dengan baik sebelum ia menjadi serius yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

-Kosmo!

Friday, September 7, 2012

Gelaran bapa elak sakit jantung

Kajian yang mengambil masa selama satu dekad menunjukkan bahawa 135,000 lelaki yang tidak mempunyai anak berisiko tinggi mati disebabkan sakit jantung berbanding mereka yang digelar bapa.

Kumpulan penyelidik juga mendapati bahawa kemandulan atau ketidaksuburan yang dialami lelaki mungkin tanda awal kepada masalah jantung.

"Terdapat bukti yang menunjukkan kemadulan merupakan gambaran kepada tahap kesihatan lelaki pada masa depan," ujar ketua penyelidik, Dr. Michael Eisenberg dari Universiti Stanford, California.

Jelas Michael, lelaki mandul berisiko tinggi terhadap beberapa penyakit seperti kanser dan kumpulannya sedang mengenal pasti kesan-kesan kepada tahap kesihatan lelaki yang disebabkan kemandulan.

Kajian yang dilaporkan menerusi jurnal Human Reproduction itu dijalankan selama 10 tahun ke atas 130,000 lelaki yang telah bersara dan 50 tahun ke atas.

Senarai itu dihadkan kepada lelaki yang masih berkahwin atau pernah berkahwin bagi membuat perbandingan di antara lelaki yang mempunyai kemungkinan memiliki anak.

Lelaki yang mempunyai penyakit seperti strok atau sakit jantung dikecualikan bagi menjadikan keputusan senarai awal kajian itu berada dalam kelompok sihat.

Namun, dalam tempoh 10 tahun kajian itu dijalankan, 10 peratus daripada lelaki itu mati dan satu daripada lima kematian itu diakibatkan oleh sakit juantung.

Apabila melihat kepada status bapa, lelaki tanpa anak dalam kajian itu mempunyai 17 peratus risiko mendapat sakit jantung berbanding yang memiliki anak.

-Kosmo!

Thursday, September 6, 2012

Khasiat enzim brokoli

Ramai beranggapan suplemen merupakan jalan pintas bagi menjana kesihatan sempurna sama seperti khasiat yang dibekalkan sayur-sayuran.

Namun, saintis telah mendapati bahawa khasiat di dalam brokoli dan kobis yang berupaya melawan kanser tidak boleh diserap ke dalam bentuk pil.

Ketua kajian, Emily Ho dari Oregon State University Amerika Syarikat (AS) memberitahu, penukaran nutrien penting dalam makanan kepada suplemen tidak mudah.

"Sesetengah vitamin dan nutrien seperti asid folik lebih baik diambil menerusi suplemen berbanding makanan. Tetapi beberapa nutrien yang menyumbang kepada kesihatan diri seperti brokoli dan sayur-sayuran berkaitan perlu diambil dalam bentuk asal," ujar Emily.

Kebaikan pada brokoli adalah ia mengandungi fitokimia yang tinggi dipanggil glukosinolat dan kajian mendapati ia mampu menurunkan risiko kanser prostat, payudara, paru-paru dan kolorektum.

Kajian oleh Oregon itu juga mendapati enzim di dalam brokoli yang dimakan secara mentah atau dimasak secara sederhana dapat membantu pemecahan glukosinolat kepada kompaun berguna iaitu sulforafne dan erusin.

-Kosmo!

Wednesday, September 5, 2012

Asal usul nama Lenggong

Lagenda menceritakan, kononnya pada suatu masa dahulu terdapat seorang pemuda hendak menebang sebatang pokok besar di dalam hutan. Pokok itu terlalu besar dan berbanir. Hal ini mendatangkan kesukaran kepadanya. Oleh itu, pemuda tersebut terpaksa membuat tanjak bagi memudahkan kerjanya.

Setelah pokok itu berjaya ditumbangkan, ia tidak jatuh pada tempat yang betul, malah telah terlanggung (tersandar) ke atas pokok yang lain. Oleh kerana kesukaran untuk mengalihkan batang pokok tersebut, pemuda itu hanya meninggalkannya di situ.

Akibat keadaan pokok besar yang terlanggung di atas pokok lain, kawasan tersebut dinamakan 'Langgong' dan lama kelamaan ia berubah mengikut pelat sebutan orang tempatan menjadi 'Lenggong' dan ia kekal sehingga ke hari ini.

sumber: www.pjk.com.my

Tuesday, September 4, 2012

Maqasid al-Syariah, teras kemakmuran negara

Kita sepatutnya merasa amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi diberi kesempatan oleh-Nya untuk meraikan ulangtahun kemerdekaan negara kita, Malaysia. Sesungguhnya, kemerdekaan atau kebebasan dari belenggu penjajahan dan cengkaman asing yang kita kecapi ini adalah satu nikmat kurniaan Allah SWT yang amat besar ertinya kepada kita semua.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras."

Imam al-Ghazali RA di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menggariskan bahawa bagi mensyukuri nikmat Allah itu perlulah ada tiga perkara berikut iaitu:
  1. Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat tersebut datangnya daripada Allah SWT walaupun pada zahirnya ia datang melalui pelbagai sebab dan sumber.
  2. Hendaklah tidak mensia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya.
  3. Hendaklah menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai Allah.

Persoalan besar di sini adalah bagaimana kemerdekaan dapat dikekalkan di negara ini? Kebijaksanaan pemerintah di dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang berteraskan Maqasid al-Syariah demi kepentingan rakyat adalah teras kepada kemakmuran negara. Secara ringkasnya Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan bertujuan untuk menjaga tata susila, kepentingan dan sistem hidup. Dengan kata lain mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kepada kebaikan dan merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melaksanakan sesuatu, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan ummah, iaitu yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.

Seorang ulama terkenal iaitu Fathi Uthman mengatakan di dalam kitabnya al-Fikr al-Qanuni al-Islami bahawa Siasah al-Syariah merupakan hal berkaitan dengan undang-undang ketatanegaraan dan pentadbiran yang merangkumi soal-soal kekuasaan pemerintah, khalifah, hak-hak individu dan sebagainya.

Manakala menurut Imam Ghazali di dalam kitabnya al-Mustashfa' bahawa lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri iaitu:
  1. agama
  2. diri
  3. akal
  4. keturunan
  5. harta

Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara serta sentiasa menjaga kemakmuran dan kepentingan rakyat. Dalam konteks ini, para ulama telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga oleh pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran.

Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah:
  1. Menjaga agama
  2. Menjaga nyawa
  3. Menjaga akal
  4. Menjaga maruah dan keturunan
  5. Menjaga harta

Menjaga agama

Sebagai pemerintah maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama di tempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Pemimpin yang menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya serta tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Namun perlu diingat, di dalam kita menjaga agama pelbagai cabaran perlu diatasi antaranya aliran pemikiran pluralisme, liberalisme, LGBT dan lain-lain lagi.


Menjaga nyawa

Islam mengharamkan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Seseorang Islam itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka." - Riwayat al-Tirmizi.


Menjaga akal

Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak dan dadah wajib dibenteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal mampu mempertahankan kemerdekaan negara.


Menjaga maruah dan keturunan

Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabii manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.


Menjaga harta

Dalam menjaga harta, Islam telah menggariskan prinsipnya iaitu al-adl wal ihsan. Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 29 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu."

Maqasid al-Syariah menjadi asas utama pemerintah di dalam melaksanakan sesuatu perkara. Dengan Gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, segala tanggungjawab dan janji dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat melalui kaedah pengukuhan seperti yang dikenali sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan lain-lain lagi.

Apa yang dilaksanakan oleh pemerintah hari ini adalah demi menjaga agama, nyawa, akal, maruah dan keturunan serta harta semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Justeru sebagai rakyat, kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat ini dan berterima kasih kepada pihak pemerintah. Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat memberikan taat setia lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisaa' ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Adalah wajar bagi kita untuk mengenang kembali segala pengorbanan dan susah payah para pejuang negara yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil cetusan pemikiran dan semangat juang yang tinggi daripada tokoh-tokoh politik, para cendikiawan dan para alim ulama. Hasilnya, kita semua dapat hidup dengan aman dan makmur di bumi Malaysia yang bertuah ini. Sesungguhnya perjuangan mereka adalah perjuangan yang sangat mulia di sisi Allah SWT.

Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya. Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, keteguhan ekonomi, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran negara. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup dalam kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Araf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

sumber: E-Khutbah JAKIM

Monday, September 3, 2012

Pusat Jalur Lebar Komuniti

Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) merupakan salah satu projek yang dilaksanakan di bawah Program Pemberian Perkidmatan Sejagat (PPS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebanyak 168 lokasi PJK di bawah jaringan Telekom Malaysia (TM) yang merupakan Kontraktor Utama.

Pihak TM telah melantik Syarikat MSD Technology Sdn. Bhd. (MSDT) bagi melaksanakan program PJK tersebut.

Projek ini adalah bagi merapatkan jurang digital melalui pemberian perkhidmatan capaian internet jalur lebar di kawasan luar bandar.

Perkhidmatan yang disediakan di PJK
  • Pengenalan Asas Komputer
  • Asas Internet
  • Aplikasi Elektronik
  • Desktop Publishing seperti Microsoft Office

PJK juga menawarkan perkhidmatan internet jalur lebar, cetakan, imbasan, fotokopi, laminasi, penjilidan dan menyediakan internet tanpa wayar (WiFi zone).

Prinsip pelaksanaan PJK adalah seperti yang berikut:
  • Kerjasama dengan kerajaan negeri
  • Reka bentuk dan peralatan yang seragam di semua lokasi PJK yang ditetapkan oleh SKMM supaya mempunyai imej tersendiri
  • Seorang Pengurus dan Penolong Pengurus dilantik di kalangan anak-anak komuniti tempatan untuk mengurus perlaksanaan operasi PJK.
  • Semua PJK beroperasi setiap hari pada jam 9.00 pagi - 6.00 petang (Semenanjung Malaysia) dan 8.00 pagi - 5.00 petang (Sabah dan Sarawak) kecuali cuti umum.
  • Keahlian - Pendaftaran sebagai ahli PJK adalah sebanyak RM5.00 untuk ahli seumur hidup.  Sekiranya ahli tidak aktif dalam jangkamasa 12 bulan, keahlian akan dibatalkan dan caj akan dikenakan ke atas ahli sebanyak RM3.00 bagi tujuan pengaktifan semula.
  • Konsep keusahawan - Melahirkan usahawan tempatan dan memperkenalkan produk tempatan melalui pembangunan laman sesawang untuk tujuan promosi dan pemasaran.
  • Pengguna dan keahlian PJK terbuka kepada semua kumpulan komuniti tempatan.

Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di negeri Perak:

PJK Pekan Lenggong - Lot 191 - Tingkat 3, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong.

PJK Pekan Grik - No.21A, Jalan Wan Mat Saman Utama, 33000 Grik.

PJK Pengkalan Hulu - Tingkat 1, Dewan Bandaran Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Jalan Tasek, 33100 Pengkalan Hulu.

PJK Felda Besout 3 - Bangunan JKKR Felda Besout 3, 35600 Sungkai.

PJK Felda Trolak Selatan - Bangunan JKKR Felda Trolak Selatan, 35600 Sungkai.

PJK Felda Trolak Timur - Pejabat Felda Trolak Timur, 35800 Trolak, Slim River.

PJK Felda Lasah - Jalan Pejabat, 31120 Sungai Siput (U)

sumber: www.pjk.com.my