Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, September 10, 2012

Elak amarah lebih awal

Di sebalik perihal negatif yang seringkali dikaitkan dengan 'orang muda', sikap amarah juga dikatakan sinonim dengan golongan berkenaan.

Sikap amarah dalam kalangan golongan muda didakwa semakin serius dan berpotensi menimbulkan masalah kepada masyarakat.

Golongan muda seringkali didedahkan mengenai perilaku itu terutamanya apabila mereka berdepan dengan kekecewaan yang dialami dalam hidup.

Sebagai anak muda yang sudah baligh dan menuju ke arah kematangan, kadar endokrin mereka pada ketika itu sedang mengalir dengan hebat dan atas alasan itu, ia secara tidak langsung menyebabkan tahap pemikiran mereka berada pada paras yang tidak seimbang.

Pada suatu ketika, mereka boleh merasa gembira dan selepas itu mereka akan menjadi tidak bersemangat.

Dalam konteks itu, bagi golongan dewasa, mereka berasakan ia sukar ditangani dan bagi remaja yang melaluinya, mereka sendiri akan berasa bingung.

Dalam satu senario lain, golongan tersebut berasakan mereka terlalu dewasa untuk bermain dengan permainan kanak-kanak, namun terlalu muda untuk dilabel sebagai seorang dewasa.

Justeru, amat penting untuk ibu bapa menguruskan kemarahan anak-anak mereka yang kadangkala mampu bertindak di luar batasan.

Dalam satu-satu kes, persoalan yang diajukan secara baik, ia mampu dijadikan bahan untuk membangkitkan kemarahan mereka dan ketika itu, cara menguruskan kemarahan menjadi senjata paling penting.

Golongan remaja pada hari ini juga melalui penghidupan yang berbeza berbanding belia pada masa lalu.

Ketika mencapai usia 18 tahun, mereka sudah melihat pelbagai kisah pembunuhan dan kezaliman yang dipaparkan melalui televisyen atau alat permainan video.

Selain itu, bagi kebanyakan golongan remaja, kadar kemarahan mereka akan lebih meningkat tatkala berlaku perpisahan antara kedua-dua ibu bapa dan mereka pula tersepit di tengah-tengah kemelut tersebut.

Jika diimbas pada zaman dahulu, remaja yang menuju kedewasaan akan melalui saluran yang betul untuk membincangkan perihal kematangan.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk menangani isu kemarahan anak-anak mereka sebelum ia bertukar menjadi semakin teruk.

Sebagai contoh, cuba libatkan mereka dengan aktiviti berpesatuan atau kumpulan yang memberi banyak manfaat dan faedah.

Selain itu, beri mereka peluang untuk memikul tanggungjawab dan membantu mereka untuk menjalani transformasi ke arah kematangan.

Pada masa sama, hendaklah sentiasa menyokong dan membantu golongan muda bagi menjalani kehidupan sebagai seorang dewasa yang berdisiplin dan berikan tunjuk ajar yang sesuai.

Sudah pasti ibu bapa di luar sana tidak mahu anak-anak mereka terlibat dengan pelbagai masalah yang disebabkan oleh sifat amarah.

Tangani isu kemarahan dengan baik sebelum ia menjadi serius yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

-Kosmo!

No comments: