Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, September 24, 2012

Membina perpaduan 1Malaysia

Sejak April tahun 2009, sebagai kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu, maka telah bermulalah fasa transformasi negara. Kala itulah juga kerajaan telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia untuk penyatuan dan perpaduan rakyat, menjamin kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara.

Gagasan ini terbina di atas landasan keikhlasan, satu matlamat ke arah kemajuan negara secara berterusan yang wajar dipaparkan kepada semua warganegara dengan rasa penerimaan bersama yang bermula dari keikhlasan denyut nadi kita.

Gagasan 1 Malaysia ini telah mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional, ianya ibarat sekuntum bunga yang harum, menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan rakyat.

Perpaduan hanya boleh dicapai andai seluruh rakyat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai murni, teras aspirasi serta asas perpaduan yang terkandung di dalam Gagasan ini.

Prinsip keadilan sosial yang menjadi salah satu teras perpaduan di dalam gagasan ini adalah amat bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Maa'idah ayat 8 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan!."

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa perintah keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Ini amat bertepatan dengan Gagasan 1 Malaysia yang membela semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.

Hakikatnya, Gagasan 1 Malaysia ini juga adalah selaras dengan semangat yang ditunjukkan melalui sejarah pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam yang berpayung di bawah pemerintahan negara Madinah.

Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya:

"Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan."

Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah R.A. katanya:

"Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kami pun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah." - Hadis Riwayat al-Bukhari

Hadis ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam ini menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih kemanusiaan sesama manusia yang lain.

Perosalan besar timbul bagaimanakah untuk merealisasikan Gagasan 1 Malaysia agar semua kaum dapat menerimanya? Pendekatan wasatiyah yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada pembinaan perpaduan di Malaysia ini.

Wasatiyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada masa yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud:

"Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu."

Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu umat yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan.

Ia menggambarkan umat Islam yang telah dijelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia.

Mengikut pandangan Sayyed Qutb:

"Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah."

Justeru, umat Islam dituntut untuk menyeimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat.

Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian.

Maka umat Islam tidak boleh rigid dan extreme, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan. Sememangnya ajaran Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua perkara, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.

Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. Usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuh perpaduan yang telah lama terbina dan menggadai kuasa dan maruah yang ada.

Umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki dan nadi kehidupan kita.

Perpaduan merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita meyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak.

Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: