Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, August 22, 2012

Perpaduan: Asas Keutuhan Aidilfitri

Berlalulah sudah Ramadan yang kita hayatinya selama sebulan. Pemergiannya amat terasa oleh sesiapa sahaja dari kalangan kita yang berpeluang mendapat sentuhan barakahnya yang tersimpan rapi di antara malam dan siang melalui siyam dan qiyam.

Pemergian Ramadan banyak menjana pengajaran dan iktibar yang sungguh bermakna sebagai persiapan dan bekalan bagi menjalani kehidupan selepas Ramadan.

Apa yang kita perolehi dari Ramadan adalah bingkisan pahala berskala besar yang dijanjikan Allah SWT sebagai bonus lumayan yang merupakan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud:

"Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan."

Kedatangan 1 Syawal adalah saat umat Islam di seluruh dunia dari pelbagai bangsa dan peringkat umur, bersama-sama melafazkan takbir, tahmid dan tasbih sebagai tanda mengagungkan kebesaran Allah SWT, tanda kejayaan mendidik nafsu dan menginsafi bulan Ramadan yang berkat ini telah meninggalkan kita dan tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana berkesempatan merayakan Aidilfitri serta tanda perpaduan antara kita sebagai umat yang berasaskan kepada akidah yang sama.

Gema takbir dengan memuji Allah SWT ini menggegar jiwa, perasaan, fikiran dan memberi keinsafan kepada kita kerana sambutan Aidilfitri yang ditetapkan oleh agama kita dimulai dengan mentauhidkan Allah SWT.

Diharapkan agar sambutan Aidilfitri dipenuhi dengan amalan-amalan yang sihat, tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tidak menghina Islam dan tidak mencemarkan keberkatan Ramadan yang baru sahaja berlalu dan Syawal yang mulia ini.

Aidilfitri bererti merayakan kemenangan kerana menundukkan hawa nafsu dan membolehkan kita kembali kepada jati diri sebagai hamba Allah SWT yang bertaqwa, hamba Allah SWT yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Kemuncaknya maka pada saat dan pagi 1 Syawal kita semua berkumpul di rumah Allah bagi menunaikan solat Aidilfitri. Dalam detik sebeginilah kita merasa begitu teruja kerana dapat bersama-sama menjalinkan tautan kasih antara kita dalam pelbagai golongan sama ada fakir, miskin, anak-anak yatim dan golongan yang lemah.

Justeru, menjadi tanggungjawab bagi kita untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyuburkan kasih sayang, mahabbah, mawaddah serta mengikis perasaan kebencian dan permusuhan.

Kekuatan utama sambutan Aidilfitri ialah memulihkan dan mengekalkan perpaduan. Perpaduan bermaksud penggabungan sama ada bergabung menjadi satu atau persatuan.

Dalam maksud yang lain, perpaduan bererti hubungan erat yang bersifat toleransi bagi mencapai matlamat secara jujur dan ikhlas.

Perpaduan juga adalah proses menyatupadukan seluruh ummah agar membentuk satu identiti dan menanamkan perasaan cinta dan banggakan negara.

Perpaduan umat Islam iaitu berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat."

Menjelang sambutan Aidilfitri ini kita dapat melihat perpaduan dan toleransi yang erat di kalangan umat Islam dengan berduyun-duyun pulang menuju ke kampung halaman masing-masing sama ada melalui jalan darat, laut dan udara menemui keluarga dan kaum kerabat yang disayangi untuk bersama menyambut Aidilfitri.

Seluruh umat Islam tanpa mengira latar belakang, kedudukan, fahaman politik, warna kulit, bangsa, pangkat serta darjat bergerak dengan niat dan semangat yang satu berasaskan kesamaan demi mengukuhkan perpaduan umat Islam.

Allah SWT memerintahkan kita untuk bersatu dan berpegang teguh dengan agama Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."

Islam ialah agama yang mengemukakan sistem kehidupan terunggul untuk manusia. Islam juga membawa risalah yang mendukung kemajuan manusia dan tamadunnya yang luhur.

Justeru, perpaduan di kalangan umatnya menjadi agenda terpenting dalam pembentukan masyarakat menerusi pengukuhan jaringan sosial yang berteraskan kepada persaudaraan.

Dalam Islam, tiada masyarakat tanpa persaudaraan sebagaimana tiada ketakwaan tanpa keimanan. Persaudaraan dalam Islam adalah teras bagi pembentukan negara dan perkembangan masyarakat yang maju lagi bertamadun.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." - Hadis Riwayat Muslim

Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Bandingan orang-orang mukmin yang berkasih sayang dan berkasihan belas dan menaruh simpati adalah tak ubah seperti satu jasad, di mana kalau salah satu anggota mengalami kesakitan maka seluruh badan akan turut berjaga malam dan berdemam." - Hadis Riwayat Muslim

Sebenarnya keutuhan perpaduan sesama umat Islam tidak akan tercapai kecuali dengan terlaksananya beberapa prinsip asas antaranya sikap tolong-menolong dalam menggalakkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Ianya perlulah dimantapkan lagi melalui aspek moral yang baik, berakhlak mulia seperti sayang-menyayangi antara satu sama lain. Umat Islam seharusnya menjadikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan yang terbaik.

Kejayaan Baginda SAW dalam menyatukan bangsa Arab yang bersifat asabiyah melalui ajaran Islam yang mantap telah melahirkan bangsa yang hebat dan kuat dalam sejarah tamadun dunia.

Hubungan antara umat Islam yang terjalin di atas nama persaudaraan seharusnya mampu melahirkan umat yang bersatu-padu dan bukannya umat yang berpecah-belah.

Sejarah membuktikan bahawa pendekatan Rasulullah SAW melalui tindakannya seperti pembinaan masjid sebagai institusi sosial dalam menjana institusi ummah. Masjid bukan setakat berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata, malah berperanan sebagai lokasi strategik untuk Baginda menyusun dan membentuk masyarakatnya, membangunkan aqidah umat Islam, melaksanakan urusan syariah dan menjalinkan hubungan sesama rakyat melalui akhlak yang mulia.

Dalam pada itu, Baginda juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang begitu lama bersengketa telah berjaya didamaikan.

Rasulullah SAW memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah. Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub al-Ansari dalam hadisnya yang bermaksud:

"Ya! Rasulullah SAW bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah SAW: ‘Engkau beribadah kepada Allah SWT dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan."

Persoalan besar timbul ialah apakah penyebab utama kepada perpaduan ummah ini? Sikap saling hormat menghormati, bertoleransi, bersikap terbuka dan berlaku adil sesama manusia adalah dasar utama yang hakikatnya berperanan dalam menangani isu perpaduan dalam sesebuah negara.

Ingatlah bahawa Islam meletakkan toleransi dan keadilan di tempat yang penting dalam sistem pemerintahan dan kemasyarakatannya. Dalam Islam, hak untuk mendapat keadilan bukan hanya semata-mata untuk umat Islam tetapi ianya merupakan keperluan semua manusia.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan."

Menurut Syeikh Muhammad Abu Zuhrah:

"Sesungguhnya setiap sifat kemanusiaan sama ada bertolak ansur atau kebebasan semuanya tertakluk kepada prinsip keadilan. Sifat bertolak ansur yang keterlaluan sehingga menghilangkan hak-hak bukanlah dinamakan tolak ansur atau kasihan belas, tetapi ia merupakan satu kezaliman yang boleh membawa kepada ketiakadilan sesama manusia."

Berdasarkan kepada kata-kata bijaksana hukama' bahawa dunia tertegak dengan empat perkara:
  1. Ilmu para ulama dan pengetahuan para cendekiawan
  2. Keadilan para pemimpin
  3. Sifat pemurah para hartawan
  4. doa orang fakir yang soleh

Justeru, Allah SWT telah menggariskan satu panduan di dalam kita menyelesaikan sesuatu perselisihan yang berlaku dalam sesebuah masyarakat atau negara sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

Peristiwa Perang Ahzab yang berlaku pada 7 Syawal tahun ke 5 Hijrah telah memberi pengajaran yang besar kepada kita. Peristiwa ini menyaksikan penyatuan golongan yang menentang Islam dan memerangi Rasulullah SAW.

Pengajaran besar perang Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan Islam pasti akan menghadapi pakatan musuh untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun.

Jika dahulu Madinah pernah diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini juga diserang dari pelbagai arah, sama ada daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Musuh-musuh Islam sentiasa berusaha menghancurkan umat Islam, mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang dibina.

Konsep pecah dan perintah menjadi alat musuh Islam untuk terus berkuasa, mengeksploitasi, menjajah dan menindas mana-mana umat yang lemah. Jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah, berada dalam kedegilan atau kejahilan terhadap ajaran Islam yang sebenar, kekotoran jiwa dalam memuja hawa nafsu dan mengutamakan kemaslahatan peribadi serta diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam akan menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri.

Ingatlah bahawa penyerapan aliran yang berkuasa tinggi ini mampu memusnahkan daya fikir yang selari dengan tradisi ilmu. Gerakan ini sebenarnya ialah gerakan jahiliah keberhalaan yang datang semula dalam wajah barunya, jahiliah jelmaan yang membawa mesej yang sama iaitu menjauhkan manusia dengan Allah Yang Maha Esa dan menghancurkan perpaduan umat Islam.

Lihat sahaja apa yang berlaku di luar sana seperti di negara Syria, Libya, Iraq dan lain-lain lagi, apabila rakyat berpecah-belah, pemimpin dipengaruhi pemikiran dan tindakannya oleh musuh-musuh Islam untuk mendapat apa yang diingini, maka negara berada dalam huru-hara dan kehancuran.

Umat Islam hendaklah bersatu padu dan bertoleransi dalam semua perkara serta janganlah melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Semangat melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.

Janganlah kerana ideologi politik yang sempit, kita sanggup membakar jambatan perpaduan yang telah lama terbina. Janganlah kerana kepentingan jangka pendek untuk berkuasa, kita sanggup menggadai kuasa yang ada.

Ingatlah bahawa umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Mereka yang mengerti mahalnya harga perpaduan tidak akan membuat tuntutan yang bukan-bukan atau mencetuskan riak-riak permusuhan.

Sebaliknya, mereka yang cintakan perpaduan dan keamanan akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kelompok dan kepartian. Sedarlah bahawa Rasulullah SAW telah meninggalkan dana besar kepada kita untuk membina kekuatan dan perpaduan ummah, selagi kita berpegang dengannya, insya Allah kita tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu al-Quran dan al-sunnah.

Sebulan kita bersama syarul al-Quran banyak mendorong kita untuk berfikir dan bermuhasabah. Sebenarnya telah terbukti bahawa al-Quran yang telah ditinggalkan kepada kita berjaya membentuk hati-hati ummah sehingga bergelar mereka yang berjaya.

Berdasarkan kepada penelitian ini, maka tiada sebab dan alasan mengapa umat Islam gagal bangkit memain peranan bagi memartabatkan Islam sebagai addin dan bangkit untuk membebaskan ummah dan ancaman kemusnahan.

Umat Islam hendaklah bersatu padu untuk menangani isu-isu yang mencemarkan nama baik Islam dari segenap sudut sama ada dari ancaman ajaran sesat, anti Hadis, Islam Liberal, fahaman sekular, Syiah dan lain-lain lagi.

Perpaduan adalah roh kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, kedamaian dalam hubungan kekeluargaan dan masyarakat serta saling bantu membantu di antara satu sama lain.

Ia juga merupakan nikmat yang dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia dan dapat menghimpunkan perasaan serta semangat sehati sejiwa untuk kita sama-sama berganding bahu bagi memakmurkan sesebuah masyarakat dan negara.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Orang-orang yang penyayang akan disayangi Allah Yang Maha Penyayang. Sayangilah siapa yang ada di atas muka bumi, niscaya kalian akan disayangi oleh siapa yang ada di langit." - Hadis Riwayat at-Tirmizi.

Ketika kita sedang bergembira menyambut Aidilfitri, kita perlu insaf dan sedar bahawa terdapat saudara mara, kaum kerabat, jiran, sahabat-kenalan dan saudara seagama kita yang menyambut Aidilfitri dalam keadaan sukar, bersendirian, daif dan sebagainya.

Mereka ini terdiri daripada orang miskin, anak-anak yang terbiar dan mereka yang berada di pusat-pusat Serenti, Penjara, rumah orang tua, rumah kebajikan dan sebagainya.

Hidupkan suasana Aidilfitri dengan amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi dan menghubungkan silaturahim terutama sekali terhadap kedua ibu bapa kita dengan memohon kemaafan atas kesalahan, perbuatan zalim dan perbuatan dosa yang telah dilakukan sama ada yang disedari ataupun yang tidak disedari. Dengan demikian, jiwa kita dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan yang sejati.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Tiga perkara adalah diantara budi pekerti yang mulia disisi Allah SWT; Hendaklah engkau memaafkan orang yang telah menganiaya dirimu. Hendaklah engkau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya kepadamu. Hendaklah engkau menghubungkan dengan orang yang telah memutuskan perhubungan denganmu." - Hadis Riwayat al-Khattib

Pulihkan dan kukuhkan hubungan sesama kita dengan saling hormat menghormati, bertimbang rasa, mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan, tidak melampau, saling bermaafan, mendoakan dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Amalan ibadah kita tidak diterima oleh Allah SWT sekiranya kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati hak-hak orang lain.

Ambillah kesempatan pada Syawal yang mulia ini untuk sama-sama kita mewujudkan perpaduan antara kita, mudah-mudahan dengan cara ini hidup kita sentiasa berada dalam keberkatan dan negara kita sentiasa dalam suasana harmoni dan aman damai.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 9 yang bermaksud:

"Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil."

Sesungguhnya Aidilfitri yang disyariatkan oleh Islam adalah untuk memperbaharui kehidupan kita sebagaimana yang digariskan bagi orang yang beriman dengannya, iaitu kehidupan persaudaraan, kesatuan dan kekuatan menghadapi musuh.

Merayakan Aidilfitri ialah merayakan hari kemenangan dalam jihad nafsu ketika melakukan ibadah puasa di bulan Ramadan dan berjaya melaksanakannya dengan sempurna. Justeru jihad melawan hawa nafsu ini perlulah diteruskan pula di bulan Syawal dengan melakukan puasa enam yang mana pahalanya menyamai dengan puasa sepanjang tahun. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut atau berselang.

Sabda Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun." - Hadis Riwayat Muslim

Aidilfitri juga hari perdamaian kerana pada hari ini dinyatakan perdamaian hidup dalam rumah tangga, hubungan kaum kerabat dan sanak saudara.

Seluruh umat Islam sama ada dalam lingkungan desa mahupun kota, wajah berseri-seri, hati riang ria, tangan bersalam-salaman mengucapkan salam Aidilfitri serta ampun dan maaf sebagai tanda keakraban dan silaturahim.

Melalui zakat fitrah dan zakat harta yang telah dibayar pada bulan Ramadan ia memberi keceriaan dan keriangan kepada golongan fakir miskin untuk sama-sama menyambut hari kemenangan ini.

Keberkatan Ramadan juga mengingatkan kita bahawa perpaduan yang ditetapkan Islam adalah melangkaui sempadan negara dan benua. Umat Islam walau di mana mereka berada adalah sama, sama dari segi makan minum, sama dari segi peraturan, halal dan haram dan juga sama dari sudut aqidah.

Namun kehidupan umat Islam hanya teristimewa dengan iman kepada Allah SWT. Kita perlu insaf terdapat saudara-saudara kita di luar negara hidup dalam keadaan sukar sepanjang hayat, membesar dalam keadaan perang, generasi silih berganti terus hidup menderita terutama saudara kita di Palestin, pelarian Muslim Rohingya dan lain-lain umat Islam yang sedang mengalami musibah.

Terdapat umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di beberapa buah negara terutama di rantau ini juga menghadapi keperitan hidup. Bayangkan bagaimana umat Islam di negara yang mengalami peperangan dan kehidupan yang sukar menjalani puasa dan sambutan Aidilfitri.

Selari dengan dasar perpaduan, bantulah saudara seagama kita yang hidup daif dan menderita. Keberkatan Ramadan mengingatkan kita supaya menghulurkan bantuan yang diadakan dari masa ke semasa melalui masjid-masjid, akhbar-akhbar dan sebagainya, mudah-mudahan rezeki kita ditambah, umur dipanjangkan Allah SWT dan kasih sayang di kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

sumber: e-khutbah JAKIM



No comments: