Raja Berperlembagaan bermaksud sistem beraja mengikut perlembagaan.
Yang di-Pertuan Agong akan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri (Kabinet) manakala raja sesebuah negeri bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara manakala Perdana Menteri adalah Ketua Kerajaan.
Di peringkat negeri pula, raja adalah Ketua Negeri manakala Menteri Besar atau Ketua Menteri adalah Ketua Kerajaan.
Kuasa Yang di-Pertuan Agong termasuklah melantik seorang Perdana Menteri, menangguhkan pembubaran Parlimen, meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tujuan membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja dan fungsi-fungsi lain yang dinyatakan dalam Perlembagaan (Perkara 40(2)).
Konsep dan amalan Raja Berperlembagaan di Malaysia diterima dan disahkan oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Reid sebagai paling sesuai bagi negara ini.
Ini adalah kerana sebelum mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayu memegang tampuk kekuasaan dan kedaulatan bagi setiap negeri.
Walaupun dalam proses pergolakan bersejarah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah berakhir dengan ketiadaan raja, pemerintahan beraja terus-menerus beroleh pengiktirafan khasnya di bawah pentadbiran kolonial British.
Selepas tahun 1963, semua negeri yang tiada Raja (Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan) secara otomatis menerima Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan walaupun tiada perisytiharan dibuat baginya untuk maksud itu.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan raja yang memerintah mengikut nasihat cabang eksekutif baginda. Sebenarnya baginda mempunyai senarai tanggungjawab dan fungsi yang panjang lagi rumit bagi ketiga-tiga cabang Kerajaan - Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.
Baginda melantik Perdana Menteri, para menteri dan timbalan menteri, peguam negara, para hakim mahkamah semua peringkat (kecuali Mahkamah Majistret) dan menauliahkan para duta Malaysia untuk bertugas di kedutaan seberang laut.
Baginda menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia di samping bertindak sebagai pihak yang boleh mengampunkan atau menangguhkan bagi semua kesalahan yang dijatuhkan mahkamah tentera dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih berkuat kuasa, baginda juga boleh bertindak atas hal berkaitan rayuan daripada Lembaga Penasihat ISA.
sumber: Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Kosmo!, Majlis Keselamatan Negara.
No comments:
Post a Comment