Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 5, 2012

Makanan Mediterranean tambah umur tiga tahun

Rejim amalan diet berasaskan makanan Mediterranean boleh menambah jangka hayat seseorang hingga tiga tahun.

Pengkaji mendapati masakan tersebut yang termasuk buah-buahan, sayuran, bijirin, daging dan ikan mengandungi antioksidan yang optimum.

Kandungan tersebut berperanan besar dalam melawan kanser, sakit jantung dan melambatkan penuaan.

Kajian saintis ke atas 1,200 orang warga emas yang berusia lebih 70 tahun itu membuktikan mereka yang mengamalkan hidangan gaya Mediterranean mampu memanjangkan umur mereka di antara dua hingga tiga tahun.

Kesemua mereka yang menjadi subjek kajian sejak tahun 1970-an itu diambil data kesihatan mereka setiap tahun.

Kumpulan pengkaji dari Universiti Gothenburg di Sweden itu mendapati 20 peratus daripada mereka yang mengamalkan diet tersebut masih hidup dalam tempoh lapan tahun selepas itu.

Ketua pengkaji, Gianluca Tognon menjelaskan dalam jurnal Age bahawa mereka yang mengamalkan makanan tersebut menambah usia mereka selama tiga tahun berbanding mereka yang tidak mengikut diet Mediterranean.

"Buah dan sayuran mengandungi bahan aktif seperti antioksidan yang boleh melawan kanser dan penyakit jantung.

"Sekiranya anda makan lebih sayuran dan ikan, anda akan berasa kurang berselera untuk menikmati hidangan berasaskan haiwan seperti daging.

"Apa yang penting adalah corak pemakanan keseluruhan perlu diambil kira dan bukan tertumpu kepada satu atau dua makanan sahaja," katanya.

Tognon menasihati mereka yang ingin menambah tempoh usia sehingga tiga tahun agar makan lebih banyak buah-buahan, sayuran, ikan dan bijirin serta kurangkan daging dan produk tenusu.

Kesimpulan daripada kajian yang memakan masa berpuluh tahun itu ialah tiada keraguan bahawa hidangan Mediterranean mempunyai kaitan dalam membantu kesihatan yang lebih baik untuk kedua-dua golongan tua dan muda.

"Secara tradisional, minyak zaitun dan mentega digunakan dalam masakan termasuk semasa menghidangkan salad dan melembapkan roti.

"Ia mengandungi lemak mono tak tepu yang berfungsi melawan serangan jantung," ujar Tognon.

Hidangan tersebut diinspirasikan daripada tabiat pemakanan di Greece dan Itali Selatan.

sumber: Kosmo!

No comments: