Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, May 15, 2012

Belia sebagai penyambung warisan negara

Oleh Zairul Zaha bin Sallehuddin

Belia menurut Kamus Dewan bermaksud muda manakala melalui tesaurus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka belia bersinonim dengan muda (remaja, budak mentah, masih hijau, berhingus, setahun jagung, ubun-ubun masih lembik, belum makan garam lagi dan sebagainya).

Daripada maksud yang ditafsirkan oleh Kamus Dewan dan tesaurus di atas, jelaslah bahawa golongan belia itu adalah golongan yang berusia muda. Belia juga sering diistilahkan sebagai remaja atau pemuda.

Usia bagi belia juga berbeza-beza mengikut negara. Menurut Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) usia belia adalah dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun. Bagi Program Belia Komanwel pula usia belia dalam lingkungan 15 hingga 29 tahun.

Di Malaysia, menurut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, belia membawa erti seseorang yang berumur tidak kurang daripada lima belas tahun dan tidak lebih daripada empat puluh tahun.

Menurut maksud yang ditafsirkan oleh tesaurus dalam talian DBP ia memberi imej yang teramat negatif kepada belia iaitu menggambarkan bahawa belia adalah seseorang yang terlalu mentah dan tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri. Jadi bagaimanakah belia ini boleh diharapkan untuk menyambung tugas meneraju kepimpinan negara di masa hadapan?

Disebabkan itu maka pada 23 Julai 1948, seramai 75 orang wakil pertubuhan belia telah mengadakan pertemuan di Victoria Institution untuk membentuk satu badan induk bagi menyelaras semua pertubuhan belia di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Majlis Belia Malaya.

Majlis Belia Malaya telah diiktiraf secara rasmi pada 9 September 1950 dan pada tahun 1951 kerajaan telah mengiktiraf Majlis Belia Malaya sebagai Majlis Belia Kebangsaan.

Kini Majlis Belia Malaya dikenali sebagai Majlis Belia Malaysia (MBM) dan sebanyak 36 buah badan kebangsaan dan majlis belia negeri serta empat buah badan bersekutu yang bergabung dengan Majlis Belia Malaysia.

Majlis Belia Malaysia menjalinkan hubungan secara langsung dengan kerajaan dan juga badan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna, Persatuan Alam Sekitar, PEMADAM, Pergerakan Wanita dan sebagainya.

Kerajaan Malaysia turut memainkan peranan untuk melahirkan belia yang cemerlang dan berwawasan. Demi matlamat itu maka Kementerian Belia dan Sukan telah mewujudkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang bertujuan untuk memberi latihan kepada para-para belia agar menjadi belia yang berkemahiran dan mampu berdikari.

Pada tahun 2003, suatu Rang Undang-Undang telah digubal dan diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Rang Undang-Undang tersebut dinamakan Rang Undang-Undang Akta Latihan Khidmat Negara yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 25 Jun 2003 yang kemudian diluluskan pula oleh Dewan Negara pada 7 Julai 2003.

Melalui Akta Latihan Khidmat Negara ini satu program yang dikenali sebagai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah diadakan. Melalui program ini mereka yang berusia 17 tahun ke atas telah menamatkan persekolahan akan dipanggil untuk menghadiri kursus selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN yang terdapat di seluruh negara. Kursus latihan PLKN ini adalah wajib.

Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda khususnya belia agar menjadi lebih matang, bersifat tahan lasak dan mempunyai wawasan serta semangat cintakan negara. PLKN juga melatih seorang remaja atau belia itu sifat-sifat kepimpinan yang memang diperlukan oleh belia sebagai penyambung warisan kepimpinan negara.

Melalui program-program yang telah diadakan oleh kerajaan dan organisasi bukan kerajaan seperti MBM itu menunjukkan bahawa golongan belia ini bukanlah disisihkan atau dipinggirkan. Atas dasar menghargai golongan belia ini maka pada 15 Mei setiap tahun Hari Belia akan disambut. Tiada alasan bagi pihak belia untuk merasakan bahawa mereka disisih ataupun dipandang rendah seperti tafsiran yang menjadi sinonim bagi golongan belia.

Para belia juga harus sedar bahawa masa hadapan negara terletak pada diri mereka. Sekiranya masih lagi tidak matang dan masih bergantung harap kepada ibu bapa dan golongan lebih tua, bagaimanakah mereka mampu untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara kelak. Para belia seharusnya menimba ilmu pengetahuan dari segi akademik dan kemahiran demi untuk menjadi belia yang berkualiti dan berdaya saing.

Robert F. Kennedy di dalam ucapannya di Universiti Cape Town, Afrika Selatan pada bulan Jun 1966 menyatakan bahawa dunia mengharapkan kualiti daripada belia iaitu pemikiran yang berkualiti, keazaman yang membara, kualiti imaginasi, semangat juang yang tinggi dan iltizam untuk pengembaraan dan cabaran di dalam kehidupan (sumber: rfkcenter.org/lifevision/dayofaffirmation)

Melalui petikan kata-kata di atas menunjukkan bahawa golongan muda dan belia memang diperlukan untuk memegang tanggungjawab dan amanah. Golongan belia merupakan penyambung generasi yang akan memimpin dan meneraju negara suatu masa kelak. Seandainya golongan belia diabaikan dan tidak diberikan dorongan ke arah yang positif, maka rosaklah generasi belia di negara ini dan akan membawa kepada kejatuhan negara.

Golongan dewasa juga hendaklah membuang tanggapan negatif terhadap belia. Lazimnya belia dianggap masih mentah dan tidak harus diberikan tugasan seperti orang dewasa. Ini adalah tanggapan yang salah. Sukarno, Presiden Republik Indonesia yang pertama pernah berkata berikan padanya sepuluh orang pemuda nescaya beliau akan menggoncangkan dunia. Daripada kata-kata semangat itu membuktikan bahawa golongan belia memang diperlukan sebagai pejuang dan pemimpin.

Atas tanggapan negatif terhadap belia juga menjadi faktor kenapa belia lebih cenderung melibatkan diri dalam kegiatan tidak bermoral seperti terlibat dalam perlumbaan haram, penyalahgunaan dadah, pecah amanah dan budaya hedonistik yang melampau. Para belia berpendapat diri mereka disisihkan dan tidak diperlukan dalam masyarakat. Mereka menganggap diri mereka umpama datang tak berjemput, pulang tak berhantar.

Di dalam kitab suci al-Quran, Surah an-Nahl ayat 125, Allah SWT berfirman:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."

Melalui ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa golongan belia perlu diajak ke arah kebaikan. Komunikasi yang baik dengan golongan belia dan remaja adalah penting demi untuk memastikan agar mereka tidak tersilap tafsir akan apa yang ingin kita sampaikan.

Sebagai seorang dewasa yang berpengalaman, bimbinglah golongan belia akan rasa tanggungjawab dan pentingnya berdikari untuk diri mereka. Dengan adanya nasihat dan bimbingan dari golongan dewasa, ianya dapat membina keyakinan diri dan jati diri seseorang belia itu.

Golongan belia lazimnya mudah terpengaruh dengan rakan-rakan sebayanya. Seandainya golongan dewasa tidak mengendahkan para belia ini, maka mereka akan menganggap rakan-rakan mereka sebagai pembimbing mereka. Jika rakan-rakan belia itu membawa kepada kebaikan, maka baiklah seseorang itu tetapi jika rakan-rakannya membawa kepada kegiatan tidak berfaedah, maka belia itu akan turut sama terjebak dalam kegiatan tersebut.

Maka disebabkan itu, golongan dewasa haruslah bekerjasama demi untuk membangunkan para belia agar menjadi belia yang produktif, kreatif dan beriltizam. Ini kerana belia adalah pewaris dan penyambung kepimpinan negara. Jika para belia berkualiti maka sekaligus negara turut berkualiti namun jika belia tidak memiliki kualiti dan akhlak yang baik, maka negara juga akan menjadi porak-peranda.

Jika kita menelusuri sejarah, banyak disebutkan tentang kejayaan yang dicapai oleh golongan belia. Alexander the Great misalnya, telah berjaya membina kota-kota besar dan peradaban dunia ketika berusia dalam pertengahan dua puluhan. Begitu juga dengan sejarah kegemilangan Islam yang banyak menceritakan tentang penglibatan golongan belia dalam misi Rasulullah SAW menyampaikan dakwah. Nama-nama seperti Saidina Ali ibn Abi Talib, Saidina Osman ibni Affan, Usamah bin Ziad adalah merupakan golongan pemuda yang berjuang bersama-sama Rasulullah SAW untuk menegakkan syiar Islam.

Para belia juga tidak harus berpeluk tubuh seperti menantikan nasi disajikan di mulut. Sebaiknya para belia hendaklah menimba ilmu pengetahuan daripada golongan dewasa yang telah berpengalaman ibarat anak muda zaman dahulu yang sanggup merantau berbatu-batu jauhnya demi untuk mengisi kekosongan di dada.

Di zaman yang serba mencabar ini para belia hendaklah membuat persediaan yang rapi demi untuk sama bersaing umpama tertangkap di ikan kalang. Para belia haruslah bersikap jangan bijak terpijak, biarlah bodoh bersuluh. Tiada salahnya kita bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman demi untuk pengetahuan dan kebaikan diri kita sendiri.

Seandainya diberikan tanggungjawab, para belia hendaklah menjalankan amanah tersebut dengan penuh beretika laksana keras ditakik, lunak disudu dan janganlah bersikap seperti kayu lempung, ditebuk kumbang tembus-menembus. Selalulah mengadakan perbincangan seandainya terdapat sebarang kemusykilan dan sekiranya pendapat yang diberikan tidak dipersetujui oleh pihak lain, janganlah terlalu cepat melatah atau merajuk sebaliknya cari penyelesaian yang terbaik. Hilang kepala kura-kura ditelan oleh dadanya, bermaksud walaupun pendapat kita tidak diterima namun orang yang berilmu dan bijaksana tetap akan dihormati orang.

Belia juga perlu bersikap proaktif iaitu dapat menjangka masa depan. Untuk menjadi seorang yang proaktif, para belia harus peka dengan hal ehwal semasa. Ini selaras dengan pandangan penulis dan ulama tersohor Indonesia iaitu Allahyarham Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau dikenali sebagai Hamka yang menyifatkan bahawa belia hendaklah berfikiran dalam dan mempunyai inti fikiran.

Misalannya, peristiwa gempa bumi dan tsunami yang melanda negara Jepun pada 11 Mac 2011 yang lalu, meskipun peristiwa itu berlaku di negara matahari terbit yang jaraknya beratus-ratus batu daripada negara kita, namun kesannya tetap akan terasa hingga ke Malaysia.

Pertama sekali, kesan gempa bumi yang begitu dahsyat mengakibatkan Jepun sebagai sebuah negara industri dan pengeluar serta pembekal produk utama di dunia terpaksa menghentikan kegiatan industrinya untuk sementara demi untuk memulihkan semula negaranya yang telah hancur dimamah gempa. Kesan daripada penghentian pengeluaran produk tersebut menyebabkan beberapa negara di dunia terpaksa juga menghentikan pengeluaran produk mereka kerana tidak memperolehi alat-alat yang dikeluarkan daripada Jepun. Ia juga akan menjejaskan ekonomi dunia di mana negara Jepun adalah salah satu negara yang mempunyai kepentingan ekonomi yang tinggi di dunia.

Sebagai seorang belia yang proaktif, beberapa langkah-langkah perlu disediakan demi untuk menghadapi kesan daripada bencana yang melanda Jepun ini. Pertama sekali, krisis kenaikan harga barangan pasti akan berlaku berikutan beberapa makanan dan hasil laut daripada negara Jepun dikatakan tercemar akibat radiasi oleh kebocoran beberapa loji nuklear di Jepun. Meskipun Malaysia tidak begitu menumpukan pada hasil makanan dan sumber laut daripada Jepun, kejadian itu tetap menjadi alasan kepada peniaga untuk menaikkan harga barang.

Belia yang proaktif pasti telah merancang masa depan dengan menyediakan alternatif lain untuk mengatasi masalah ini. Antaranya seperti menanam sendiri sayur-sayuran agar tidak terlalu bergantung kepada peniaga yang mengambil kesempatan di atas krisis yang berlaku di negara luar. Para belia juga boleh memantau dan membuat kajian terhadap harga pasaran barang-barang yang dijual oleh para peniaga dan melaporkannya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) sekiranya harga yang dinaikkan itu melampau dan tidak menurut apa yang telah ditetapkan oleh KPDNKK.

Belia juga perlu bersedia dengan beberapa kemungkinan negara ini akan dilanda bencana berikutan gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Jepun. Kejadian tsunami pada tahun 2004 yang diakibatkan oleh gempa bumi di Aceh membuktikan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada menerima bencana meskipun keadaan negara ini agak terlindung kerana terletak di luar Lingkaran Api Pasifik.

Seandainya bencana berlaku maka tenaga para belia memang diperlukan untuk tujuan kerja-kerja menyelamat, merawat dan sebagainya. Para belia boleh menganggotai mana-mana pasukan beruniform di Malaysia seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Pertahanan Awam, Bomba Sukarela ataupun beberapa persatuan belia yang memang menyediakan perkhidmatan sukarelawan seperti Mercy Malaysia.

Dengan adanya sikap proaktif dalam diri seseorang belia serta motivasi yang tinggi, ketahanan dari segi rohani dan jasmani maka telah lengkaplah jati diri seseorang belia itu. Maka layaklah belia menjadi penyambung warisan pemimpin negara di masa hadapan.

No comments: