Kombinasi pengambilan makanan yang tidak teratur dan pengambilan alkohol berlebihan yang digelar sebagai 'drunkorexia' dilihat boleh membawa kepada masalah kesihatan jangka panjang dalam kalangan remaja dan pelajar kolej.
Penemuan itu hasil daripada satu kajian yang dijalankan oleh pasukan penyelidik di Universiti Missouri, Amerika Syarikat.
Pasukan penyelidik mendapati sebanyak 16 peratus daripada kaji selidik menunjukkan kelompok berkenaan menahan daripada menambah kalori dalam badan mereka bagi memberi ruang kepada minuman keras yang diambil.
Menerusi respoden yang terlibat, golongan wanita yang terlibat dalam 'drunkorexia' tiga kali ganda lebih banyak daripada lelaki.
Secara umum, 'drunkorexia' dirujuk sebagai tingkah laku mengawal berat badan, menjadi mabuk dengan lebih cepat serta berupaya menjimatkan wang dan dibelanjakan untuk makanan bagi membeli alkohol.
Menurut Penolong Profesor di Bahagian Kesihatan Awam dan Kerja Awam, Victoria Osborne, 'drunkorexia' mampu menjadikan individu berkenaan berdepan dengan masalah kognitif yang berbahaya termasuk tingkah laku dan fizikal.
Lebih teruk lagi, katanya, ia membuatkan seseorang itu menghadapi masalah pengambilan makanan yang serius dan risiko ketagihan teruk.
"Mengambil pemakanan tidak mencukupi serta meminum alkohol dengan banyak mengundang bahaya.
"Ia boleh mengakibatkan masalah kognitif untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang termasuk kesukaran untuk fokus, belajar dan membuat keputusan," ujarnya.
Dalam pada itu, kelompok yang terlibat dalam gejala tersebut turut berisiko untuk melakukan keganasan, tingkah laku seksual di luar kawalan, keracunan alkohol serta penyalahgunaan dadah.
Tambah Osborne lagi, wanita dilaporkan berdepan dengan risiko yang lebih tinggi dalam gejala disebabkan kadar metabolisme mereka yang berbeza dengan lelaki.
Ini bermakna, wanita mudah jatuh sakit dan menderita kerosakan organ lebih awal daripada yang dijangkakan berbanding lelaki.
Justeru, terlibat dengan 'drunkorexia' adalah ibarat seseorang itu meletakkan diri mereka dengan risiko diserang sawan, koma dan kemudian ditahan di hospital.
Jika tingkah laku ini berterusan, kegagalan organ, hati, buah pinggang dan gastro usus boleh berlaku.
"Kebanyakan responden yang terlibat dalam kaji selidik itu adalah daripada kalangan mahasiswa.
"Langkah seterusnya dalam kajian kami adalah untuk melihat jika trend itu berterusan seumur hidup," jelasnya.
Sementara itu, seorang mahasiswa di Kolej Komunikasi, Camille Parker berkata, kebanyakan pelajar yang terlibat dengan gejala ini merupakan remaja bawah umur yang mencuba untuk merasai kesan alkohol dalam diri mereka.
"Mereka tidak sedar betapa bahayanya gejala itu nanti," katanya.
Bagi pelajar di Kolej Pengurusan Perniagaan, Steven Mark mengakui pernah melihat rakan-rakannya mengehadkan pengambilan makanan semata-mata untuk menjimatkan wang untuk membeli minuman keras.
Katanya, ia adalah perkara biasa terutama selepas dewan makan ditutup.
Ted Marshall dari kolej sama berkata, apabila seseorang pelajar itu menggantikan kalori dengan alkohol, mereka sesungguhnya tidak memikirkan tentang akibat yang bakal menimpa mereka. Itu sangat bahaya," katanya.
Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 15 Februari 2012
No comments:
Post a Comment