Birch bercakap dengan angkuh di hadapan pembesar Melayu Perak.
Nama penuh J.W.W. Birch ialah James Wheeler Woodford Birch. Birch lahir pada 3 April 1826 dan dilantik sebagai Residen British yang pertama di negeri Perak pada 20 Januari 1874 ekoran termeterainya Perjanjian Pangkor.
Perlantikan Birch telah mengubah lanskap politik dan pemerintahan raja-raja Melayu di Perak.
Birch agak tergesa-gesa mahu melaksanakan sistem Barat di dalam urusan pentadbiran negeri Perak termasuk berkaitan kutipan cukai dan ini telah mencetuskan perasaan tidak puas hati para pembesar dan orang Melayu.
Sebelum sistem British diperkenalkan di negeri Perak, sultan dan pembesar negeri memainkan peranan penting dalam aspek pentadbiran termasuk mengutip cukai.
Sebanyak 10 peratus daripada kutipan cukai akan diserahkan kepada Sultan manakala baki yang lain disimpan dan diuuruskan oleh pembesar negeri.
Apabila Birch dilantik menjadi Residen Inggeris, dia telah menghapuskan kaedah itu yang mana semua hasil cukai diletakkan dalam Perbendaharaan.
Tindakan Birch ini telah menyebabkan Sultan dan pembesar Melayu marah kerana hak mereka dalam urusan mengutip cukai telah dirampas.
Kemarahan dan perasaan tidak puas hati semakin meluap-luap kerana sikap Birch sendiri yang tidak cuba mahu memahami budaya masyarakat Melayu.
Birch dikatakan bersikap angkuh dan sombong termasuk orang suruhannya Mat Arshad yang disifatkan seperti 'lebih sudu daripada kuah'.
Orang Besar-Besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung telah mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai termasuk menguasai hasil dalam jajahan masing-masing.
Mereka telah sepakat merancang untuk membunuh Birch serta para pengiringnya di Pasir Salak.
Birch dibunuh ketika sedang mandi di rumah rakit di Sungai Perak pada 2 November 1875. Dia diserang dengan lembing, tombak dan parang oleh Pandak Indut, Panjang Bur, Kulup Ali, Si Puntum dan Datuk Maharaja Lela di rumah rakit tersebut.
Dikatakan Birch terhumban ke sungai dalam keadaan berlumuran darah dan cuba berenang ke tebing tetapi direjam sehingga mati oleh para pejuang Melayu.
Ekoran itu, kesemua mereka yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditahan dan dibicarakan di mahkamah khas termasuk Sultan Abdullah yang dituduh oleh Inggeris terlibat sama dalam perancangan membunuh Birch.
Pihak Inggeris tidak melantik hakim daripada kalangan orang Inggeris sebaliknya mereka melantik Raja Idris untuk mengadili kes tersebut.
Muslihat ini dibuat untuk meletakkan tanggungjawab di bawah Raja Idris dan pihak Inggeris akan berlepas tangan atas semua hukuman yang dijatuhkan termasuk hukuman buang negeri ke atas Sultan Abdullah.
Setelah Sultan Abdullah dibuang negeri ke Pulau Seychelles, Inggeris telah melantik Raja Yusuf sebagai Sultan Perak yang ke-25 (1877 - 1887) dan bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah manakala Raja Idris yang menghakimkan perbicaraan kes pembunuhan J.W.W. Birch dilantik menjadi Raja Muda.
Raja Idris kemudiannya menjadi Sultan Perak ke-26 bergelar Sultan Idris Murshidul'azam Shah.
sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment