Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, March 7, 2012

Kewajipan menjauhi amalan rasuah


Rasuah menjadi penyakit dan jenayah yang telah menular dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Tidak ada pemimpin yang boleh mendakwa bahawa sesebuah negara itu bebas dari rasuah, cuma yang boleh dibezakan pada tempoh satu-satu masa hanyalah dari segi tahap keseriusan jenayah rasuah yang berlaku.

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram berdasarkan dalil yang qat'ie (dalil yang tiada maksud yang kedua) iaitu al-Quran, as-Sunnah dan ijmak ulama.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)".

Di Malaysia, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah terletak di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau dahulunya dikenali dengan nama Badan Pencegah Rasuah (BPR).


Sepanjang siasatan yang dijalankan SPRM tidak membezakan antara satu pihak dengan yang lain dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Setiap kesalahan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, SPRM akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka tanpa mengira pangkat atau taraf kedudukan seseorang itu.

Kesalahan rasuah tidak mengira golongan perasuah. Kesalahan rasuah bukan terletak kepada kecil atau besar saiz atau amaun transaksi yang terlibat. Kesalahan rasuah adalah terletak kepada perbuatannya, sama ada seseorang itu pemberi, penerima atau menjadi orang tengah kepada perbuatan rasuah tersebut.

Sabda Rasulullah SAW:

"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka." - Hadis Riwayat at-Thobarani.

Jika keadaan rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara. Namun, persoalan besar timbul ialah mengapa amalan jenayah rasuah berlaku?

Antara faktor utama menyebabkan berlaku rasuah ialah:
  • Bernafsu besar atau sifat tamak haloba
  • Sikap mahu hidup mewah
  • Memburu kekayaan dengan cepat
  • Tidak bersyukur
  • Terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Seseorang yang didorong oleh perasaan tamak haloba dan mementingkan diri sendiri amat cekap dan berani melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam pada hal perbuatan itu hanyalah boleh menyusahkan diri sendiri dan mengakibatkan punca pendapatan tidak halal.

Ingatlah bahawa setiap darah daging kita daripada hasil yang haram, maka api neraka adalah tempatnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Setiap daging yang tumbuh hasil dari makanan yang haram itu maka api neraka adalah lebih utama untuknya." - Hadis Riwayat al-Tarmizi.

Seperkara lagi yang mendorong berlakunya gejala rasuah ialah kurangnya penghayatan kepada sifat ihsan. Sifat ihsan bermaksud kita melaksanakan sesuatu perkara untuk mengabdikan diri kita kepada Allah SWT dengan perasaan yakin seolah-olah kita dilihat dan dipantau oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh Jibril tentang ihsan:

"Apakah ihsan itu?, sesungguhnya kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, tetapi jika kamu tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu." - Hadis Riwayat al-Bukhari

Berdasarkan pengertian sebenar sifat ihsan ini akan melahirkan mereka yang bertanggungjawab dan beristiqamah dalam melakukan tugasannya, sama ada ketika berhadapan dengan orang ramai atau di tempat yang sunyi, ketika bersama dengan majikan atau ketika ketiadaan majikan. Seseorang akan takut melakukan perbuatan keji, tercela seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, mencuri tulang, ponteng kerja dan perbuatan negatif yang lain.

Sedar ataupun tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat.

Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan dhaif yang lain yang tidak mengerti apa-apa tentang pengurusan harta negara.

Ingatlah semua wang kekayaan yang didapati dengan cara haram adalah wang dan harta yang tidak berkat. Kekayaan secara haram hakikatnya tidak membawa kesenangan dan kebahagiaan dalam hidup tetapi akan membawa kesengsaraan dan kecelakaan di dunia dan akhirat.

Jiwa manusia pada asalnya adalah sesuatu yang suci tetapi harta yang diperolehi secara tidak halal tidak mungkin dapat memberi ketenangan pada jiwa kita.

Satu lagi kesan buruk daripada jenayah rasuah ini ialah tertolaknya ibadah solat dan doa kerana menggunakan sumber yang haram. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan ini ibadah dan doa kita menjadi sia-sia justeru menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT.

Jika penyakit ini tidak dibanteras dengan segera nescaya akan terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 112 yang bermaksud:

"Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas."

Semua pihak perlu bersama-sama berusaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta.

Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dalam perkhidmatan.

Renungi firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: