Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, January 26, 2012

Menjana Kekuatan Ekonomi Islam


Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat bagi semesta alam seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa' ayat 107. Bagaimanapun salah satu penyakit umat Islam yang menghalang bagi mencapai rahmat itu ialah kemiskinan dan kebodohan.

Di negara kita umat Islam mewakili 60% daripada penduduk tetapi mereka hanya menguasai 20% sahaja daripada kekayaan negara. Majoriti umat Islam pada hari ini hanya sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Persoalannya, bagaimana umat Islam berada di kedudukan terkebelakang dalam pencapaian ekonomi sehingga kemiskinan itu menjadi sinonim dalam kehidupan umat Islam?

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), unjuran kadar inflasi negara kita akan meningkat kepada paras 3.25 peratus pada tahun ini berbanding 2.9 peratus pada tahun 2010. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan harga keperluan asas iaitu harga makanan, kos pengangkutan serta kos pinjaman.


Pembangunan ekonomi adalah asas utama kepada keutuhan sesebuah negara. Oleh yang demikian, Islam juga sangat menganjurkan umatnya supaya membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan ke arah yang lebih maju dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan dari aspek keperibadian dan akhlak.

Kesan daripada rezeki yang diusahakan mengikut acuan syariah dan tadbir urus berdasarkan perundangan Allah SWT akan mendapat keberkatan dan limpahan rezeki dan kurniaan dari Allah SWT seperti mana firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 30 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Tuhanmulah Yang meluaskan rezeki bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan ia juga Yang menyempitkannya (menurut Yang demikian). Sesungguhnya ia Maha mendalam pengetahuannya, lagi Maha melihat akan hamba-hambanya."

Kegiatan ekonomi adalah merupakan suatu fardhu kifayah ke atas setiap Muslim seperti mana sabda Rasulullah SAW daripada Zubair bin al-Awwam RA yang bermaksud:

"Sesungguhnya seorang daripada kamu membawa seutas talinya dan pergi ke bukit lalu pulang dengan membawa seberkas kayu di atas bahunya. Kemudian ia menjualkannya, maka Allah akan memelihara kehormatannya, dan itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta manusia yang kadang-kadang diberi atau ditolak."

Dalam usaha untuk melonjakkan imej umat Islam maka dituntut umatnya bekerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan ekonomi dan kekayaan negara sejajar dengan tuntutan meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun(memperbaiki dan mempertingkatkannya)." - (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya berusaha dalam mencapai kebahagiaan kehidupan dengan cara yang selari menurut syariah dan meninggalkan segala yang bertentangan dengan ajarannya. Maka hasilnya, kita dapati pada akhir-akhir ini, sistem kewangan dan pengeluaran produk halal (Halalan Thoiyiban) yang berlandaskan Islam telah mendapat perhatian dan pilihan masyarakat.


Sistem dan produk Islam seperti pajak gadai Ar-Rahnu, akaun simpanan, pelaburan, pembiayaan, pensijilan produk halal dan lain-lain lagi. Bahkan bank-bank tempatan di seluruh Malaysia juga telah menjadikan sistem kewangan Islam sebagai salah satu produk mereka.

Transformasi yang berlaku ini, menunjukkan kepada kita bahawa acuan dan sistem ekonomi dan kewangan Islam telah menghasilkan impak yang besar demi memartabatkan ajaran agama Islam ke seluruh alam. Pada tahun 2010 sahaja, menurut Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menyenaraikan sebanyak 846 sekuriti yang patuh Syariah tersenarai di Bursa Malaysia.

Justeru, janganlah memandang ringan dengan urusan dan sistem muamalah yang terdapat di negara kita kerana ia merupakan suatu kewajipan yang mesti kita patuhi dan laksanakan bagi meningkatkan ekonomi umat Islam dalam kehidupan.

Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 152 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik, sehingga ia baligh; dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata maka hendaklah kamu berlaku adil, sekali pun orang itu ada hubungan kerabat; dan janji Allah hendaklah kamu sempurnakan. Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat."

Umat Islam perlu sedar bahawa untuk memantapkan dan mengukuhkan ekonomi umat Islam adalah tidak mudah. Walaupun kebanyakan negara-negara Islam kaya dengan sumber galian dan khazanah alam yang dianugerahkan oleh Allah SWT, kita lemah dalam memanfaatkan anugerah Allah SWT tersebut.

Justeru umat Islam perlu mengambil kesempatan ini dengan tidak lagi bergantung kepada sistem kapitalis dan sosialis yang bersifat tidak seimbang. Sistem ekonomi kapitalis menyebabkan kekayaan dikendalikan atau dikuasai hanya oleh segelintir pihak sahaja atau dapat dikatakan yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana dan terus berada dalam kepompong kemiskinan.

Dalam konflik yang sedemikian rupa, pastinya menjadikan implikasi negatif kerana menimbulkan banyak permasalahan yang rumit bagi masyarakat yang berada dalam penindasan dan kezaliman dimana mereka yang miskin akan terus dikalahkan oleh kelompok kaya yang menguasai sumber daya ekonomi lebih banyak.

Sheikh al-Imam Dr. Yusof Al-Qardawi pernah berkata bahawa:

"Kekuatan ekonomi Islam kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan paling subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita menyalahgunakan kekayaan, tidak berani berusaha di bumi sendiri dalam menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita. Maka jadilah kita dalam banyak keadaan adalah sebagai pengguna bukannya pengeluar, pengimport bukan pengilang atau pengeksport. Kadangkala kita menghasilkan produk yang tidak diperlukan dan tidak dapat dipasarkan. Dalam masa yang sama kita mengabaikan dalam menghasilkan barang atau produk yang sangat kita perlukan dan mempunyai permintaan yang tinggi. Kita sangat berbangga memiliki kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu pun untuk mengeluarkan basikal sebagai produk buatan sendiri."

Marilah sama-sama kita melaksanakan dan memastikan sistem dan pendekatan berlandaskan konsep syariah terus dipertingkatkan dan dimajukan. Dengan cara ini insya Allah ekonomi umat Islam dapat dipertingkatkan dan dapat melonjakkan imej umat Islam di mata dunia.

Percayalah bahawa sekiranya kita umat Islam ingin dilihat sebagai umat yang maju dan dihormati, maka kita harus bangkit dan berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Ini merupakan konsep 'jihad' yang mesti dipegang oleh umat Islam.

Kita juga perlu melihat kesan ekonomi individu Islam ke atas ekonomi umat Islam keseluruhannya. Sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi serta martabat umat Islam dan akibatnya memudahkan kita dieksploitasi dan dijajah oleh orang lain.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39-41 yang bermaksud:

"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya.Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepada-Nya pada hari kiamat kelak. Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: