Pengikut dan Ex-smgrian

Sunday, January 29, 2012

Berjimat cermat amalan mulia


Islam adalah agama yang mengatur segala kehidupan umatnya yang merangkumi pelbagai aspek antaranya ialah dari sudut ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Hal ini adalah bersesuaian dengan asas-asas yang menyentuh persoalan untuk mengurus kehidupan agar ianya lenih sempurna teratur dan sesuai dengan keperluan semasa.

Agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya:
  1. al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak.
  2. al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati.
  3. al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik
  4. al-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap

Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat.

Menurut Imam as-Syatibi bahawa:

"al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar."

Sebagai seorang Islam tentunya kita menyedari bahawa dalam menjalani kehidupan ini Allah SWT telah mengurniakan berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya sama ada dalam bentuk keamanan, kesejahteraan, kesihatan, kebahagiaan, kekayaan, umur yang panjang dan sebagainya.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 18 yang bermaksud:

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat menghitungnya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Namun begitu, kadang kala dengan nikmat yang melimpah ini menyebabkan seseorang itu lupa dan lalai bahawa sebahagian itu adalah ujian dari Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Sebagai umat Islam kita dituntut agar mensyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita hendaklah mengurus segala perbelanjaan untuk keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa sama ada di waktu senang, lebih-lebih lagi di waktu susah.

Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup boleh menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.

Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya berbelanja tetapi agama Islam mendidik umatnya tentang kaedah berbelanja secara berhemah iaitu dengan memberi keutamaan dan mendahului kepada perkara-perkara penting sahaja.

Dalam hal ini Profesor Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa:

"Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun."

Perlu difahami gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir. Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji.

Islam menyifatkan perbelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin. Jika dasar berhemah ini diambil kira, maka hak-hak serta kebajikan fakir dan orang miskin dapat ditunaikan sepanjang masa.

Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut kehendak nafsu. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 27 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini, bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau menggunakan harta benda bukan pada tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.

Rasulullah SAW sendiri hidup dalam keadaan yang amat sederhana, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada di sekitarnya pernah ditawarkan agar ianya dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan tetap memilih cara hidup yang sederhana.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas'ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Apakah kedudukan aku di dunia ini? Tidakkah aku di dunia ini melainkan seumpama seorang pengembara yang berteduh di bawah pokok kemudian berlalu meninggalkannya."

Diriwayatkan juga bahawa dapur Rasulullah SAW hampir 60 hari tidak berasap. Baginda dan isteri-isterinya hanya menjamah buah tamar dan air. Bukan kerana tidak mampu tetapi Rasulullah SAW suka untuk hidup dalam keadaan sederhana dan tidak melakukan pembaziran serta berbelanja mengikut hawa nafsu.

Dalam penjimatan penggunaan sumber tenaga, Rasulullah SAW menyeru umat Islam supaya tidak membazir dalam pengambilan wudu' atau air sembahyang. Rasulullah SAW bersabda kepada Saad bin Abi Waqqas RA ketika beliau berwudu':

"Daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘As bahawa Rasulullah SAW lalu berdekatan Saad yang sedang berwudhuk. Sabda Baginda: Pembaziran jenis apakah ini, wahai Saad? Maka Saad berkata: Dalam wuduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW menjawab: Ya, walaupun kamu berwuduk dalam sungai yang sedang mengalir." - (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

Bagaimanapun dalam dasar hidup berhemah ini kita juga hendaklah menjauhi sifat bakhil dan kedekut. Dengan mengamalkan sifat bakhil dan kedekut ini melambangkan bahawa kita tidak bersyukur kepada Allah SWT dan tidak menunaikan tanggungjawab serta amanah Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqaan ayat 67 yang bermaksud:

"Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah betul sederhana."

Sebagai manusia yang beriman dan berintegriti, kita hendaklah mengamalkan sikap berjimat cermat serta menjauhi sifat membazir agar mendapat keberkatan dari Allah SWT. Malahan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan mendatangkan banyak faedah kepada diri kita dalam banyak perkara di antaranya, kita akan mendapat pahala dan keberkatan dari Allah SWT.

Kita juga akan terselamat dari muflis akibat hutang dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu serta kita juga akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita di saat menghadapi kesusahan.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 20 yang bermaksud:

"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak sebarang pengetahuan atau petunjuk; dan tidak berdasarkan Kitab Allah yang menerangi kebenaran."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: