Pengikut dan Ex-smgrian

Saturday, November 12, 2011

Bagaimana hendak jadi SMART?

SMART membawa pengertian Sentiasa Mahu Ambil Risiko dan Tanggungjawab.  Huraiannya adalah seperti berikut:
  • S (Sentiasa) - Sentiasa membawa pengertian sesuatu yang dilakukan itu perlulah secara konsisten atau berterusan.  Kejayaan tidak boleh dicapai hanya dengan semalaman tetapi melalui ketekunan yang diamalkan setiap hari sedikit demi sedikit secara berterusan.  Pepatah Melayu ada mengatakan "sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit."  Usaha secara berterusan setiap hari dapat mengurangkan tekanan.  Tekanan akan terasa sekiranya sesuatu tugasan itu dibuat hasil daripada tangguhan kerja dari masa yang lalu.  
  • M (Mahu) - Kemahuan adalah punca segala kejayaan.  Ianya lahir dari jiwa yang suci.  Kemahuan juga ada kaitannya dengan matlamat hidup.  Seseorang yang mempunyai matlamat sama ada matlamat jangka panjang atau matlamat jangka pendek akan sentiasa bermotivasi dan berkeinginan untuk terus berusaha ke arah kejayaan bertepatan dengan pepatah Melayu berbunyi "di mana ada kemahuan di situ ada jalan."
  • A (Ambil) - Segala keinginan tidak akan tercapai sekiranya kita tidak melakukannya.  Dengan lain perkataan, sekiranya seseorang itu tidak mengambil inisiatif untuk melaksanakan segala yang diidamkan maka ianya akan wujud dalam imaginasi dan ilusi sahaja.  Oleh itu, tindakan harus diambil untuk merealisasikan matlamat yang menjadi hasrat dalam jiwa kita.  "Bulat tidak akan datang menggolek dan pipih tidak akan datang melayang" tanpa usaha yang gigih.
  • R (Risiko) - Risiko membawa maksud cabaran.  Kehidupan ini penuh dengan cabaran.  Seseorang yang inginkan kejayaan harus sanggup menghadapi cabaran.  Cbaran dapat menggerakkan kita ke arah kehidupan yang lebih dinamik.  Manusia ingin mendaki Gunung Everest kerana ianya penuh dengan cabaran.  Cabaran juga akan mematangkan seseorang itu dalam meniti usianya.
  • T (Tanggungjawab) - Tanggungjawab adalah sifat yang amat diperlukan pada setiap individu.  Seseorang yang bertanggungjawab akan berusaha untuk melakukan sesuatu tindakan yang dapat memberi faedah kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan negara.  Seseorang yang bertanggungjawab juga akan cuba mengelak membuat sebarang tindakan yang boleh mendatang kerugian serta keburukan.

Dari huraian yang ringkas di atas kita dapati seseorang yang SMART adalah mereka yang sentiasa mahu ambil risiko dan tanggungjawab. Sebagai seorang insan, anda perlulah sentiasa mempunyai keinginan untuk menimba ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu. Dalam proses menimba ilmu pengetahuan sudah tentulah anda akan menempuh pelbagai cabaran.

Oleh itu lakukan sesuatu tindakan itu dengan hati yang jujur dan ikhlas, tanpa dipaksa dan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Sesungguhnya seseorang yang takut pada risiko bukan sahaja membantutkan segala kreativiti yang ada pada diri mereka malah ianya merupakan penghalang ke arah proses anjakan paradigma.

Berdasarkan huraian di atas adakah anda seorang yang SMART? Buatlah satu refleksi diri sendiri berdasarkan ciri-ciri yang dihuraikan di atas.

No comments: