Pengikut dan Ex-smgrian
Wednesday, August 10, 2011
Ramadhan bulan pemutihan akhlak
Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa berbanding bulan-bulan yang lain. Ia menjadi istimewa kerana di dalamnya terkumpul hampir semua ibadat khusus seperti solat tarawih, solat witir, tilawah al-Quran, beriktikaf, berzakat, sedekah dan amalan kebajikan yang lain.
Setiap ibadat khusus ini pula mempunyai kelebihan pahala tertentu yang menjadi rangsangan untuk kita menjadi insan soleh. Selari dengan keberkatan bulan suci ini, maka Allah SWT menjanjikan rahmat, pengampunan dan jaminan syurga. Berdasarkan ganjaran pahala yang hebat ini maka Rasulullah SAW sendiri merasa gembira setiap kali kedatangan bulan ini dan kegembiraannya disampaikan pula kepada para sahabat Baginda.
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardukan ke atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan."
Persoalan besar timbul ialah puasa bagaimanakah yang mampu meraih ganjaran pahala yang hebat itu?
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
Taqwa adalah buah dan hasil yang diharapkan dari amalan puasa. Buah tersebut akan menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar diri manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan.
Bagi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT, ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan. Dia hanya melakukan sesuatu yang dituntut dan diperbolehkan Allah. Dia hanya berada di tempat yang mendatangkan keredhaan Allah dan menjauhi tempat yang mendatangkan kemurkaan Allah.
Abu Umamah berkata, Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa mengambil hak seorang muslim, maka Allah Taala mewajibkannya masuk ke dalam neraka dan mengharamkaannya masuk ke dalam syurga. Seorang bertanya , meskipun dari sesuatu yang sangat remeh, wahai Rasulullah’. Ya meskipun barang itu hanya sepotong kayu sugi."
Demikian sabda Rasulullah bahawa hanya sepotong kayu sugi yang diambil tanpa izin pun masuk neraka.
Dengan demikian menurut hadis di atas, kita mesti berwaspada mengenai mengambil hak-hak orang lain atau melanggar amanah yang ditetapkan dan perbuatan yang diharamkan. Di dalam al-Quran disebutkan bahawa mereka yang bertaqwa akan dimasukkan ke dalam syurga secara berkumpulan dan pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya.
Taqwa yang menjadi tujuan utama kita berpuasa bukanlah perkara mudah yang hendak dicapai. Bahkan para sahabat pun melahirkan kerisauan membentuk sebenar-benar taqwa sehingga turun ayat al-Quran dalam surah at-Taqhaabun ayat 16 yang bermaksud:
"Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (dijalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya."
Seorang Muslim itu adalah orang yang taat kepada Tuhan dan tidak mengikut perintah hawa nafsu. Pertembungan kepentingan antara taqwa dan kehendak gelojak hawa nafsu manusia sentiasa menimbulkan konflik dalam diri manusia. Pertembungan ini akan menentukan halatuju dan status fitrah kehidupan kita. Untuk mencapai kecemerlangan taqwa ini seseorang itu memerlukan penglibatan diri dalam perjuangan, kesabaran dan jihad melawan nafsu. Jika gagal maka kita akan mengikut telunjuk hawa nafsu.
Salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadhan. Puasa adalah ibadat yang sukar dan menjadi perjuangan secara senyap melawan hawa nafsu. Perjuangan ini juga adalah rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya kerana gerak geri amalan puasa tidak dapat dinilai oleh orang lain.
Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum tetapi seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa.
Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah yang lain dengan mengisi ruang-ruang yang ada seperti bersolat tarawih, bertadarus, bersedekah, membaca al-Quran, beriktikaf, menuntut ilmu dan sebagainya.
Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadhan ini memberi tumpuan letih tubi pembersihan hati, pembersihan dalaman, mendisplinkan anggota badan, mengukuhkan akhlak mulia dan mencegah penyakit.
Oleh sebab terdapat dua penanda aras atau pengukuran menilai prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadhan kita semata-mata menahan lapar atau kita berpuasa dan dalam waktu yang sama mengambil berat juga aspek pembersihan hati dan akhlak kita.
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." - (Riwayat Bukhari)
Selari dengan prinsip keluarga bertaqwa dan soleh yang bermula di rumah, maka para ibu bapa serta seluruh umat Islam hiasilah, bentuklah ahli keluarga kita menjadi insan bertaqwa dengan amalan latih tubi puasa wajib dan digilap pula dengan amalan-amalan sunat siang dan malam serta memilih makanan dan premis yang halal di sepanjang Ramadhan.
Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hambaNya yang hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin bagi tahun yang mendatang kita tidak merasainya lagi.
Sebagai penutup hayati dan renungilah Firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:
"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment