Bulan Ramadhan adalah bulan yang dipenuhi keberkatan. Walau bagaimanapun di dalam bulan ini terdapat satu hari yang paling suci iaitu malam Lailatul Qadar.
Pahala beribadah di malam ini menyamai seribu bulan iaitu lapan puluh tiga tahun. Bahkan sepanjang setahun, malam ini juga adalah yang terbaik dalam kehidupan manusia.
Sedarkah kita semua bahawa Allah SWT telah memuliakan kita pada malam ini. Malam Lailatul Qadar mempunyai kelebihan yang sangat besar kerana malam itu menyaksikan turunnya al-Quran al-Karim. Menurut pandangan sebahagian besar ahli tafsir, al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitullizah di langit kedua pada malam Lailatul Qadar. Manakala al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah SAW melalui perantara Jibril a.s. sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama 23 tahun.
Bagi orang yang beriman, pada malam itu adalah peluang untuk mereka mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah. Bahkan mereka berlumba-lumba untuk bangun di malam hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1 - 5 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar."
Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, maka marilah kita menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang mempunyai banyak kelebihannya. Lailatul Qadar adalah malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehinya dan rugilah siapa yang melepaskannya.
Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.
Firman Allah SWT melalui surah al-Dukhan ayat 3 - 6 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur'an itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara-perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Berdasarkan ayat di atas menurut sebahagian ulama, Allah SWT telah menentukan rezeki serta Qada' dan Qadar ke atas segala makhlukNya selama setahun. Justeru, bukanlah sesuatu yang pelik mengapa rahsia kedatangannya disembunyikan oleh Allah SWT kepada kita.
Menurut Imam al-Razi, antara rahsia yang disembunyikan malam Lailatul Qadar ialah:
- Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.
- Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat walaupun telah ditetapkan malam tertentu, atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya.
- Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.
- Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan bertemu dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya.
Lailatul Qadar menjadi kayu pengukur atas kekuatan iman dan taqwa umat Islam selama ini. Walaupun ulama berbeza-beza pendapat dalam menentukan waktunya, namun pendapat yang paling kuat terjadinya Lailatul Qadar itu ialah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A:
Mafhumnya "Cari malam Lailatul al-Qadr di malam ganjil 10 hari terakhir bulan Ramadhan." - (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Persoalan timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan Lailatul Qadar? Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa langkah kepada umatnya agar berusaha sedaya upaya mendapatkan Lailatul Qadar ini. Menurut Imam Bukhari dan Muslim bahawa Sayyidatina 'Aisyah meriwayatkan:
"Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w. apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah ) dan uzlah dari isteri-isterinya."
Berdasarkan mafhum hadis di atas, antara langkah-langkah untuk mendapatkan Lailatul Qadar itu adalah:
- Hendaklah seseorang itu tetap iman dan takwanya kepada Allah SWT.
- Hendaklah mengikhlaskan niat sepenuh hati memohon keredhaan Allah SWT.
- Meninggalkan sementara keseronokan dunia dengan beriktikaf di masjid sambil beribadat sepuas-puasnya.
- Mengajak ahli keluarga untuk sama-sama menghidupkan Lailatul Qadar.
Renungi Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 133 yang bermaksud:
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment