Dalam bulan Ramadhan terdapatnya satu malam yang penuh kemuliaan, penuh keberkatan yang dinamakan Lailatul Qadar.
Pahala beribadat pada malam Lailatul Qadar menyamai pahala seribu bulan. Allah SWT menganugerahkan pahala yang besar itu sempena penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah.
Dari Baitul Izzah inilah al-Quran beransur-ansur diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril. Menurut sebahagian ulama, pada malam Lailatul Qadar itu Allah SWT menetapkan umur dan rezeki manusia.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam Lailatul Qadr, dan tahukah kamu apakah malam lailatulqadar itu?. Malam Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka. kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar."
Berdasarkan ayat di atas, apa yang menakjubkan mengenai malam yang penuh kemuliaan ini ialah para Malaikat yang diakui taat kepada Allah SWT itu juga berduyun-duyun membawa rahmat dari Allah SWT turun ke dunia untuk dikurniakan kepada orang yang soleh.
Persoalan besar timbul ialah apakah pengkhususan ibadat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada 10 terakhir Ramadhan yang amat wajar kita contohi?
Menurut beberapa hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang memetik penerangan Saiyidatina Aisyah R.A. katanya: "Di antara pengkhususan ibadat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah:
- Menghidupkan malam iaitu sekurang-kurangnya melaksanakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah di samping mengamalkan ibadat-ibadat yang lain seperti membaca al-Quran dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT.
- Bangun bersama ahli keluarga untuk turut membuat pengisian beribadat kepada Allah SWT.
- Mengikat kain iaitu merujuk kepada amalan Rasulullah SAW tidur berasingan dengan isteri pada 10 malam terakhir untuk memberi tumpuan beribadat kepada Allah.
- Rasulullah SAW mandi di antara Maghrib dan Isyak dan berpakaian indah serta berharum-haruman sepanjang 10 malam terakhir itu.
- Rasulullah SAW melakukan iktikaf di masjid. Baginda memasuki masjid sebelum waktu Maghrib. Beriktikaf bererti berada sesaat atau sepanjang malam di masjid untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pada waktu beriktikaf Rasulullah SAW memutuskan hubungan dengan manusia dan aktiviti lain bagi memenuhi hati bermunajat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT.
Ketika para malaikat, Rasulullah, sahabat-sahabat dan orang soleh memberi perhatian khusus beribadat pada 10 malam terakhir, terdapat sebilangan umat Islam tidak memberi perhatian berat dan mengambil kesempatan.
Mereka lalai dengan kesibukan urusan lain seperti membuat persediaan untuk menyambut hari raya.
Lazimnya, pada malam sepuluh terakhir Ramadhan, masjid-masjid menjadi lengang, para jemaah solat Tarawih semakin berkurangan, pasaraya-pasaraya menjadi tempat tumpuan, suri rumah pula sibuk dengan persediaan untuk hari lebaran seperti mengemas rumah, membuat kuih muih sehinggakan ada yang tidak berpuasa kerana keletihan. Bahkan ada juga yang sanggup melakukan maksiat pada waktu malam sehingga mendapat kemurkaan Allah SWT kerana berbuat maksiat di dalam keadaan mengetahui adalah lebih besar dosanya.
Suasana yang sebegini tidak sepatutnya dilakukan kerana pada tahap terakhir ini ibadat hendaklah dilipat gandakan dengan tidak mensia-siakan peluang yang ada kerana belum pasti lagi sama ada kita berpeluang untuk menyambut Ramadhan di tahun hadapan.
Dalam kesibukan kita beribadat dan membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Aidilfitri, janganlah lalai dan alpa tentang kewajipan yang perlu dilaksanakan iaitu membayar zakat fitrah.
Membayar zakat fitrah merupakan pelengkap ibadat puasa dan sebagai penutup kepada kecacatan-kecacatan yang terdapat sewaktu kita mengerjakan ibadat puasa. Jika zakat fitrah tidak dikeluarkan pahala ibadat puasa akan tergantung dan tidak dapat menjadi bekalan ke akhirat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Alaa ayat 14 - 15 yang bermaksud:
"Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang salih). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang."
Renungi dan hayati juga Firman Allah SWT di dalam surah al-Dukhaan ayat 3 - 6 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur'an itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara-perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Foto oleh Jain Mahmud
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment