Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik rupa dan kejadian. Allah SWT juga telah memuliakan manusia berbanding makhluk-makhlukNya yang lain.
Firman Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat 4 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
Berdasarkan ayat tersebut, para ulama bersepakat mengatakan bahawa kemuliaan manusia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain adalah disebabkan kemampuan manusia menguasai kebijaksanaan dengan akal fikiran dimana akal fikiran manusia mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk atau di antara yang hak dengan yang batil.
Namun begitu kemuliaan dan keagungan tersebut tidak datang begitu sahaja, sebaliknya ia perlu dipenuhi dengan syarat-syaratnya iaitu manusia perlu beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya serta mengerjakan amal soleh.
Sebaliknya jika manusia tidak beriman dan tidak berpegang dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, maka ia akan dicampakkan ke tempat yang serendah-rendahnya iaitu azab api neraka. Malahan manusia tidak berhak untuk menerima gelaran kemuliaan tersebut.
Firman Allah SWT dalam surah at-Tin ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:
"Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), kami kembalikan dia keserendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus."
Menyedari hakikat kemuliaan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia begitu tinggi, maka seharusnya kita bersyukur dan sentiasa berusaha menjaga kemuliaan tersebut, terutamanya menjaga nikmat akal dan nikmat tubuh badan. Kerana itu sebagai tanda syukur dan berterima kasih, kita perlu menggunakan kedua-dua nikmat tersebut dengan betul dan sebaik-baiknya. Disamping mensyukuri, kita juga dituntut untuk memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri dan tanggungjawab terhadap Allah SWT.
Dengan memahami tanggungjawab terhadap diri sendiri atau dengan menjaga amanah diri, iaitu mengetahui serta sedar bahawa segala anggota badan seperti mata, telinga, tangan, kaki dan anggota-anggota yang lain merupakan amanah Allah SWT. Begitu juga menjaga akal, menjaga kebersihan diri, menjaga kesihatan, menutup aurat dan sebagainya merupakan sebahagian daripada amanah yang telah ditetapkan oleh Islam.
Memelihara setiap anggota dan pancaindera dari digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT menjadi tanggungjawab dan tuntutan yang terkandung dalam pengertian amanah yang perlu dijaga dan dipelihara bagi tujuan kebaikan serta mendapat keredhaan daripada Allah SWT sepanjang masa.
Bagi mereka yang tidak menjaga akal dan tubuh badan dengan sempurna dan ditambah lagi dengan menggunakan bahan-bahan terlarang seperti meminum arak, menyalahguna dadah, terlibat dengan pil ecstasy, pil kuda, ubat batuk dan sebagainya. Bukan sahaja boleh merosakkan akal fikiran malahan boleh memudaratkan tubuh badan serta mengundang kemurkaan Allah SWT.
Apabila manusia tidak menggunakan akal fikiran atau terlibat dengan bahan-bahan yang boleh merosakkan akal fikiran seperti penyalahgunaan dadah dan pil khayal, maka ketika itu manusia tidak layak lagi menjadi makhluk Allah yang paling mulia. Hal ini sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 179 yang bermaksud:
"Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti-bukti kekuasaan Allah), dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat) ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai."
Dari ayat tersebut, jelaslah bahawa apabila manusia mengabaikan akal fikiran serta tidak digunakan mengikut fitrah ia diciptakan oleh Allah, maka manusia ketika itu tidak layak lagi dimuliakan bahkan martabatnya menjadi lebih rendah dari binatang ternak.
Mereka yang terlibat dengan penagihan dadah, bukan sahaja mengakibatkan akalnya menjadi rosak bahkan tubuh badannya turut menjadi rosak, lebih-lebih lagi akan dijangkiti HIV atau AIDS yang akhirnya membunuh diri sendiri akibat perkongsian jarum suntikan.
Penyakit AIDS amat membimbangkan kita semua kerana sehingga kini masih tiada kaedah perubatan atau penawar berkesan yang boleh mengubatinya.
Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar perubatan terdapat 3 faktor utama yang menyebabkan berlakunya AIDS atau dijangkiti HIV positif iaitu:
- Disebabkan oleh hubungan seks sejenis atau homoseksual di antara lelaki dengan lelaki.
- Disebabkan oleh seks bebas iaitu bertukar-tukar pasangan.
- Disebabkan oleh penyalahgunaan dadah dengan cara bertukar atau berkongsi jarum suntikan.
Janganlah kita membenarkan diri dan akal fikiran kita terjebak dengan unsur-unsur maksiat atau dirosakkan oleh bahan-bahan perosak seperti dadah dan sebagainya yang akan menghentikan sama sekali fungsi akal dan menjatuhkan martabat diri dan keluarga dalam kehinaan.
Kekuatan iman dan akidah yang mantap perlu ditanam di dalam diri setiap muslim kerana kekuatan ini sahajalah cara yang boleh menyelamat kita sama ada agama, akal, nyawa, keturunan, maruah dan harta benda. Tanpa keimanan yang kukuh kita akan gagal menikmati kesejahteraan dan keselamatan hidup yang hakiki.
Berusahalah menjadikan diri dan keluarga serta masyarakat agar sentiasa berada di dalam rahmat dan pertolongan Allah SWT sepanjang masa. Bersama-sama mempertingkatkan hubungan dengan Allah SWT seperti:
- Sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan melakukan ibadah wajib dan ibadah sunat serta menjauhi segala laranganNya.
- Berusaha membina keimanan yang mantap serta jiwa yang kental, kerana melalui keimanan kepada Allah SWT sahajalah yang dapat mengawal dan mencegah kemungkaran.
- Bertanggungjawab mendidik anak-anak dan mereka yang dibawah jagaan kita terutamanya memastikan setiap makanan yang diberikan dari sumber yang halal, bersih dan berzat serta menjauhi dari sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba', penipuan dan sebagainya.
- Peranan masyarakat juga penting terutama mengambil tahu hal-hal yang berlaku di sekeliling di samping membantu perkara-perkara yang baik serta berusaha mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menimbulkan masalah dalam masyarakat.
- Hidupkan budaya amar ma'ruf nahi mungkar dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat, menjauhi perkara-perkara tidak berfaedah serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.
Sebagai penutup, renungi dan hayatilah firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 27 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."
Foto koleksi Jain Mahmud
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment