Pengikut dan Ex-smgrian
Wednesday, July 20, 2011
Al-Quran dan As-Sunnah Merupakan Panduan Umat
Kehidupan Baginda Rasulullah SAW umpama intan permata yang berkerlipan dari segenap penjuru. Setiap kerlipan itu penuh dengan panduan dan pengajaran untuk dipelajari serta dihayati oleh umatnya. Kehidupan umat Islam akan menjadi indah dengan diwarnai oleh sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang bersumberkan wahyu Ilahi sebagaimana Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak."
Sesungguhnya Baginda Rasulullah SAW telah meninggalkan kita buat selama-lamanya namun kita amat bertuah kerana Baginda Rasulullah SAW telah meninggalkan dua perkara kepada umatnya sebagai panduan hidup iaitu kitab Allah dan sunnahnya sebagai pedoman bagi seluruh umatnya untuk dikaji, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.
Kitab suci al-Quran atau Kalam Allah diturunkan kepada Baginda Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril a.s. secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Penurunannya adalah mengikut suasana semasa yang berlaku ketika itu, yang memerlukan istinbat hukum.
Kandungan al-Quran itu merangkumi ayat-ayat yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup bermasyarakat, cara beribadat, pembahagian harta pusaka, urusan kekeluargaan, urusan pentadbiran dan pembangunan negara, urusan pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Kesemua kandungan ini tetap menjadi sumber rujukan yang unggul dan abadi sehingga ke hari kiamat.
Al-Quran merupakan wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah SAW. Ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah SWT. Selain daripada itu, al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi. Kunci kerahsiaan perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredhaan Allah SWT. Kita juga diwajibkan untuk mempercayai kitab al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada kesempurnaan rukun iman seseorang Muslim selain kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-RasulNya.
Sebagai umat yang mengaku beriman dengan kitab al-Quran, kita mestilah menjadikan al-Quran sebagai kitab bacaan dan rujukan utama dalam kehidupan. Menjadikan al-Quran sebagai benteng kepada godaan dunia serta sentiasa memohon dilindungi Allah SWT. Oleh yang demikian, dalam kesibukan harian, kita hendaklah berusaha sedaya upaya meluangkan masa diri dan keluarga kita untuk mencari keredhaan Allah SWT melalui pembacaan al-Quran.
Peninggalan nabi yang kedua ialah as-Sunnah. As-Sunnah membawa maksud apa-apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dari segi ucapan, perbuatan dan perakuan. Apa jua yang dilafazkan oleh Baginda Rasulullah SAW bukanlah terbit dari hawa nafsunya tetapi merupakan kata-kata yang berpandukan wahyu Allah SWT sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah an-Najm ayat 3 hingga 4 yang bermaksud:
"Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berbohong dengan Agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri, Segala yang diperkatakan itu (samada Al-Quran ataupun Hadis ) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepada-Nya."
Kita seharusnya merasa bangga jika mutiara as-Sunnah Rasulullah SAW yang merupakan khazanah peninggalan sentiasa menjadi bahan rujukan kepada setiap percakapan atau penulisan. Mengikut kepada suasana hari ini, terdapat orang yang lebih berbangga jika pengucapan atau penulisannya bersandarkan kepada pendapat sarjana-sarjana barat yang tidak diketahui asal-usulnya, sementara sangat sedikit usaha membawa hujah-hujah dan dalil-dalil yang bersandarkan as-Sunnah.
Al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi pegangan seluruh umat Islam di dunia ini adalah dua sumber utama perundangan Islam. Umat Islam wajib menerima kedua-duanya tanpa menolak salah satu darinya kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan di samping berupaya menangani pelbagai halangan, cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat.
Jadikan amalan membaca al-Quran setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat sehari dan mengikut kaedah yang betul bagi mengelak kesalahan pada makna sebenar. Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW, ia perlu diteliti supaya kita tidak tandus mencari panduan hidup. Dalam masa yang sama kita perlu merujuk kepada golongan pakar dalam kedua-dua bidang tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah faham. Ini adalah penting bagi memastikan apa yang disampaikan bertepatan dengan disiplin ilmu. Mudah-mudahan kita semua mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan dan pedoman hidup.
sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment