Kedaifan ekonomi umat Islam pada hari ini, sebahagiannya berpunca dari kegagalan umat Islam itu sendiri yang tidak menghayati ajaran Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap lagi sempurna. Sebagai umat Islam kita tidak perlu menjadi miskin dengan mengabaikan tuntutan hidup di dunia hanya kerana mahukan kehidupan yang bahagia di hari akhirat semata-mata, sedangkan kehidupan di dunia adalah jambatan untuk kehidupan di akhirat.
Oleh itu, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai sumber kehidupan untuk mencapai kebahagiaan selagi ianya tidak bertentangan dengan kehendak syarak. Sebagai contoh, usaha meningkatkan ekonomi diri dan keluarga serta memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak merupakan satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam.
Justeru itu, Islam tampil sebagai model terbaik menjadi panduan kepada manusia dalam mencari kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Pengukuhan dan penguasaan ekonomi untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara merupakan suatu tuntutan dan keutamaan dalam Islam. Pembangunan ekonomi menjadi agenda penting bagi kehidupan umat Islam, kerana kukuhnya ekonomi sesuatu umat itu akan menyebabkan ia dihormati dan disanjungi. Malangnya terdapat segelintir umat Islam yang memandang remeh dan menganggap bahawa usaha mengukuhkan ekonomi tidak penting dan bukan kerja yang dituntut serta tiada hubungkait dengan ibadah.
Ini merupakan satu tanggapan dan pemahaman yang salah kerana Islam bukanlah suatu agama yang hanya cenderung kepada kehidupan hari akhirat dan hubungan dengan Allah SWT semata-mata, bahkan kita sebagai umat Islam diseru supaya memenuhi tuntutan dunia.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba2 Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan".
Kita semua sedar bahawa dalam dunia yang semakin bersaing, hanya orang yang benar-benar berkebolehan dan mempunyai semangat juang yang tinggi sahaja mampu meningkat dan mengukuhkan penguasaan ekonomi dengan lebih sempurna.
Maka dalam hal ini kita dapat melihat bahawa pihak kerajaan begitu serius dan komited dalam membangunkan negara untuk masa depan rakyat. Dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) usaha-usaha ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan dengan memberi penekanan terhadap aspek meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara, meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi serta memupuk minda kelas pertama, menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan, meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.
Justeru, dalam menjalankan kegiatan ekonomi, kita perlu berwaspada agar ianya dilaksanakan berdasarkan syariat Islam yang telah menggariskan etika dan peraturan yang perlu dipatuhi dalam menjalankan kegiatan ekonomi. Islam amat menitik berat soal keadilan dalam semua perkara, dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 29 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu".
Kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT kerana dilimpahkan rahmat dan rezeki yang secukupnya disamping boleh menjalani kehidupan dengan sempurna dengan selesa. Berbanding negara lain, di mana umat Islamnya tidak begitu bernasib baik seperti kita, mereka sering dihina dan dipandang sebagai mundur dan tidak bertamadun. Tanggapan itu tidak harus dipandang begitu sahaja bahkan kita hendaklah mengambil peluang ini untuk meningkatkan ekonomi agar imej Islam dipandang mulia, dihormati dan dicontohi sepanjang masa. Salah satu jalan yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan ekonomi umat Islam adalah melalui perniagaan iaitu berusaha menjadi usahawan yang berjaya. Seruan ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Sembilan persepuluh punca rezeki itu adalah melalui bidang perniagaan".
Walau apa pun usaha yang dilakukan untuk berjaya dalam bidang perniagaan, kita sama sekali tidak boleh lupa kepada Allah SWT bahkan wajib mensyukuri nikmat kurniaan-Nya mudah-mudahan pernigaan sentiasa mendapat keberkatan dan menghasilkan keuntungan yang berterusan, akhirnya dapat disalurkan kepada umat Islam lain melalui pengeluaran zakat, sedekah dan seumpamanya kerana kita tahu bahawa dalam Islam zakat cukup berperanan membangun ekonomi umat Islam di samping memperlihatkan betapa indahnya agama Islam.
Sebagai contoh, generasi pertama Islam seperti Abdul Rahman bin Auf, Zubair Ibnu A'wwam, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi bukan sahaja menjadi usahawan yang berjaya tetapi mereka turut memainkan peranan penting dalam penyebaran dan pengembangan dakwah Islam. Olah itu semangat, etika dan keperibadian para sahabat ini perlu dicontohi oleh peniaga atau pengusaha pada hari ini.
Justeru itu, mengiktiraf semua kegiatan ekonomi yang dilaksanakan berdasarkan nilai dan etika Islam, di antaranya:
- Mengelakkan diri daripada berurusan dengan barangan atau perkhidmatan yang haram.
- Menanam dalam diri sifat jujur dalam jual beli, menjauhi amalan riba' dan mengelak daripada unsur-unsur perjudian.
- Mengelakkan diri dari mengamalkan penipuan, seperti menipu di dalam timbangan, sukatan dan maklumat mengenai sesuatu produk barangan.
- Jangan tamak dan mempunyai hasad dengki terhadap kejayaan orang lain sebaliknya jadikan kejayaan orang sebagai dorongan untuk berjaya.
Namun begitu, dalam konteks dunia moden hari ini, peningkatan ekonomi tidak semestinya bergantung melalui kegiatan perniagaan sahaja. Pekerjaan lain yang berbentuk kepakaran dan kemahiran juga mampu meningkatkan taraf ekonomi seseorang atau sesebuah keluarga. Oleh itu, disamping menceburi perniagaan, umat Islam juga perlu menguasai ilmu serta kepakaran tertentu seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan, kewangan, pelaburan dan sebagainya kerana hasilnya kita boleh meningkatkan ekonomi diri dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam dan negara.
Kesimpulannya, sekiranya kita umat Islam ingin dilihat sebagai umat yang maju dan dihormati, maka kita harus bangkit dan berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Ini merupakan konsep jihad yang mesti dipegang oleh umat Islam. Kita juga perlu melihat kesan ekonomi individu Islam ke atas ekonomi umat Islam keseluruhannya. Sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi serta martabat umat Islam dan akibatnya memudahkan kita dieksploitasi dan dijajah oleh orang lain.
Sebagai penutup, renungilah firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 114 yang bermaksud:
"Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah akan Dia semata-mata".
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment