Pengikut dan Ex-smgrian
Monday, June 27, 2011
Isra' Mikraj penjana takwa
Kini kita berada di penghujung bulan Rejab 1432 Hijrah, bulan di mana berlakunya peristiwa isra' dan mikraj ke atas Nabi Muhammad SAW pada tahun kesebelas selepas kenabian Baginda SAW. Pada malam tersebut Allah SWT telah memperjalankan Baginda daripada Masjid Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Seterusnya Baginda diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT dan kembali semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Israa' ayat 1 yang bermaksud:
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepada-Nya tanda kekuasaan kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
Pengajaran besar yang didapati dalam peristiwa isra' dan mikraj ialah betapa tingginya kedudukan dan peranan masjid dalam kehidupan Muslim. Rasulullah SAW diperjalankan bermula dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, sebelum dimikrajkan ke langit bertemu Allah azzawajalla. Kedua-dua masjid tersebut iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa adalah rumah ibadah suci umat Islam yang menjadi simbol penyatuan ummah.
Kedatangan 27 Rejab setiap tahun menjadi pembakar semangat setiap Muslim untuk mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa yang kini dijajah oleh rejim Yahudi. Perkaitan Masjidil Aqsa dalam isra' dan mikraj ini menjadi peringatan agar janganlah kita lupa hak ke atas Masjidil Aqsa yang menjadi tanah wakaf kepada umat Islam.
Islam memandang mulia tanah Palestin. Ini disebabkan ramainya nabi dan rasul yang menjadikan Masjidil Aqsa sebagai pusat gerakan dakwah. Bahkan persinggahan nabi dilihat sebagai satu penghormatan kepada bani Israel itu sendiri dan membuktikan Islam adalah agama kesatuan.
Hakikat persinggahan Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa sebenarnya memberi kesedaran kepada bangsa Yahudi sekarang ini bahawa nabi-nabi mereka sebenarnya tidak pernah bermusuhan dengan Nabi Muhammad SAW. Bahkan rasul-rasul mereka bersetuju menjadi makmum dan Muhammad SAW sebagai imam yang memimpin solat berjemaah di Masjidil Aqsa beribadah kepada Allah Yang Maha Esa.
Satu lagi pengajaran besar dalam isra' dan mikraj ialah Allah SWT memerintahkan secara terus kepada Rasulullah SAW tanpa melalui Jibril a.s. mengenai fardhu solat lima waktu.
Anugerah ibadah solat adalah langkah paling tepat bagi kita. Ini kerana solat adalah satu sistem yang sangat lengkap ke arah membentuk modal insan soleh yang dikehendaki oleh Islam. Dengan solat seseorang mendapat ketenangan jiwa, menjadi perisai daripada terjebak melakukan dosa dan maksiat. Sesungguhnya ibadah solat menjadi penanda aras kekuatan ummah.
Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:
"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".
Menerusi ayat tersebut Allah SWT telah menegaskan bahawa ibadah solat dapat mencegah berbagai perbuatan keji dan mungkar dalam kehidupan harian. Namun apa yang nyata ialah masih ramai di kalangan kita yang gagal mengawal diri daripada perbuatan keji dan mungkar dalam kehidupan harian. Islam mengharamkan sifat boros, membazir dan melampau sekaligus menuntut kesederhanaan dan berjimat cermat. Namun kenyataannya masih ramai yang bersifat melampau, boros, membazir terutama dalam perbelanjaan harian.
Islam mengharamkan pembaziran dan mengsia-siakan nikmat ciptaan Allah di muka bumi ini. Nikmat air, kayu-kayan dan tanah-tanih dituntut supaya dimanfaatkan untuk kebahagiaan hidup, namun kenyataannya banyak sumber asli negara terutamanya tanah pertanian tinggal terbiar, dipersia dan dibazirkan. Akibatnya negara terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk mengimport bahan-bahan makanan, buah-buahan dan hasil perikanan. Alangkah baiknya kalau jumlah yang berbilion-bilion ringgit itu diusahakan oleh masyarakat kita sendiri agar dapat mengeluarkan bahan-bahan makanan tersebut. Kita dapati banyak negara maju yang menjadikan pertanian sebagai industri, bukan sahaja mampu memberi jaminan kepada rakyat agar rasa selamat, tidak bimbang dengan ancaman kebuluran, bahkan mampu menguasai pasaran dunia dan menentukan harga pasaran bagi sumber makanan dunia. Sehubungan itu, ternyata pekerjaan dalam sektor pertanian bukan sahaja kerja mulia di sisi agama bahkan mampu menaikkan taraf hidup kita jika dilaksanakan secara bersungguh-sungguh lagi profesional.
Marilah kita bersama-sama menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa isra' dan mikraj dengan mempertingkatkan iman dan takwa serta memperbanyakkan amalan soleh dan sekali gus meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah SWT.
sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment