Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, June 29, 2011

Bersama Menangani Sifat Tercela Dalam Masyarakat


Manusia adalah makhluk Allah yang terbaik kerana dicipta dengan sebaik-baiknya berbanding makhluk Allah yang lain. Di kalangan manusia ini pula, umat Islam adalah yang terbaik kerana pada dasarnya menganut agama dan akidah yang sahih. Berdasarkan Islam sebagai agama yang sahih ini, maka sewajarnya umat Islam menjadi model dan contoh terbaik kepada penganut-penganut agama lain dalam mempamerkan kualiti hidup yang terpuji.

Bagaimanapun kualiti Islam sebagai agama yang sahih dan umat Islam sebagai manusia yang terbaik telah tercemar kerana terdapat umat Islam mengamalkan sifat-sifat yang tercela atau keji. Malah amalan sifat-sifat tercela berlaku di masjid seperti pembaziran penggunaan iar, pembaziran dalam pengambilan makanan, memandu laju di jalan raya, menipu pengguna dan sifat-sifat keji yang lain.

Satu lagi perbuatan tercela yang sering berlaku ialah melaporkan berita tidak tepat seperti membuat panggilan kebakaran palsu kepada Jabatan Bomba. Fenomena sebegini seringkali dialami oleh Jabatan Bomba Malaysia yang melaporkan pada tahun 2007 sebanyak 685 kes panggilan kebakaran palsu yang sengaja dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kegiatan tersebut bukan sahaja menggugat keberkesanan pengurusan pasukan bomba, malah turut membazir masa, tenaga dan wang negara, di samping boleh mendatangkan kesan buruk kepada mangsa kebakaran yang benar-benar memerlukan khidmat pasukan bomba.

Setiap tahun, kes-kes kebakaran agak tinggi di negara kita. Sepanjang tahun 2007 sebanyak 20,225 kes kebakaran telah berlaku dan sejumlah 11,319 mengalami kematian. Manakala kerugian ditaksirkan berjumlah RM865,289 juta.

Berdasarkan kes-kes kebakaran, ternyata Jabatan Bomba telah menjalankan amanah dan tanggungjawab terpuji dalam usaha menyelamatkan nyawa dan harta benda mangsa-mangsa kebakaran. Bagi membantu keberkesanan peranan Jabatan Bomba, maka ibu bapa perlu mendidik anak-anak dan bekerjasama dengan masyarakat menjauhi perbuatan membuat panggilan-panggilan palsu tersebut.

Apa yang nyata apabila kita mengamalkan sifat-sifat terpuji bererti kita memelihara iman dan Islam. Salah satu akhlak mulia yang dituntut oleh Islam ialah berbuat baik atau tidak membuat sesuatu yang membawa mudarat dan kerosakan.

Ibu bapa, pendidik dan pemimpin mestilah berusaha membentuk anak-anak mereka, murid-murid mereka dan pengikut mereka supaya membuat perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain atau tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:

"Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan".

Sebenarnya dorongan kita untuk mengamalkan sifat-sifat terpuji adalah sebagai usaha mengukuh hubungan baik dengan Allah SWT kerana kebaikan yang Allah beri kepada kita amat banyak. Hubungan baik manusia dengan Allah SWT bermula apabila kita miliki iktikad dan kepercayaan yang benar terhadapnya. Dialah satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Keyakinan dan iktikad terhadap Allah hendaklah benar-benar dibersihkan daripada fahaman dan amalan syirik serta kufur.

Sebagai umat Islam yang terbaik maka sewajarnya kita sentiasa bersifat terbuka untuk meningkatkan keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT, bagaimanapun kita perlu ingat bahawa كإيمانن boleh berkurang dan menjadi lemah dengan perlakuan maksiat atau melakukan perbuatan keji.

Hakikatnya wajib ke atas setiap manusia berusaha untuk memelihara keIslamannya dan menguatkannya dengan mengerjakan segala perintah Allah. Salah satu daripada akhlak terpuji manusia yang disayangi oleh Allah SWT ialah mereka yang membalas kejahatan orang lain dengan kebaikan. Sikap seperti ini umpama api yang menyala dan membakar akan terpadam apabila disirami air. Demikianlah kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan membuat hati yang keras menjadi lembut dan menimbulkan keinsafan tentang kejahatan yang dilakukan.

Renungi firman Allah SWT di dalam surah Fussilat ayat 34 dan 35 yang bermaksud:

"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melayankan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat".

foto oleh Jain Mahmud 


sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: