Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, May 10, 2011

Generasi belia ulul albab penyelamat negara


Belia adalah aset yang amat berharga. Merekalah tonggak kekuatan generasi serta pewaris kepimpinan masa depan negara. Menurut Kementerian Belia dan Sukan, golongan belia adalah merujuk kepada mereka yang berumur diantara 15 hingga 40 tahun. Pada masa ini golongan belia dianggarkan seramai 11.9 juta orang atau 41.5% daripada keseluruhan penduduk negara ini yang berjumlah seramai 28 juta orang (menurut statistik tahun 2010).

Berdasarkan peratusan yang besar ini dan selari dengan wawasan belia pemacu pembangunan satu ummah dan satu Malaysia, maka amat wajar golongan ini diasuh, dididik dan dibimbing menjadi generasi belia ulul albab. Secara umumnya generasi belia ulul albab adalah merujuk kepada belia yang bertakwa, memiliki akal fikiran sempurna, berilmu, kreatif lagi berupaya menyelamatkan dirinya dari pengaruh hidup budaya berdosa serta mampu menjadi pemangkin agar orang lain juga berubah ke arah yang sedemikian. Persoalan besar timbul ialah bagaimana usaha untuk melahirkan generasi belia ulul albab ini?

Berdasarkan sejarah Islam, penglibatan pendakwah negara berjiwa besar memberi sumbangan sangat bererti dalam membentuk remaja dan belia ulul albab. Soalnya, siapakah sebenarnya pendakwah negara ini? Rasulullah SAW selain sebagai pemimpin umat, adalah seorang ketua pendakwah negara yang memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka sentiasa taat beribadah kepada Allah, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, kebersihan jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan peribadi.

Bimbingan ini akan mencorakkan jati diri yang beramanah dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng” - (Hadis Riwayat Ahmad.)

Berdasarkan hadis ini, pemuda soleh adalah individu yang menerima amanah paling baik sehingga kelihatan coraknya pada akhlak mereka. Generasi pemuda soleh ini terus lahir seperti Khulafa' al-Rasyidin, pemimpin tentera, pemimpin kerajaan di zamannya juga bertindak sebagai pendakwah negara. Mereka berdakwah, mentarbiah dan temu-mesra dengan kumpulan sasar serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat khususnya para belia.

Sejarah juga telah merakamkan tentang kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abasiyah dan kepimpinan awal kerajaan Othmaniah Turki untuk menawan kota Constantinople (Istanbul) tetapi gagal. Namun satu ketika tampil seorang anak muda iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh, Sultan Kerajaan Othmaniah Turki bangkit menghidupkan cahaya dakwah. Dalam usia 21 tahun baginda berjaya menawan semula kota Constantinople daripada Rom. Antara penyebab kejayaan tersebut ialah tertanamnya kekuatan bijak, pintar dan kreatif.

Kota tersebut menjadi laluan dan menjadi pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata keramat baginda kita melancarkan percubaan akhir pada hari ke-53 kepungan untuk menawan kota Constantinople ialah "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku". Menurut riwayat, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh lagi. Demikianlah contoh kepimpinan pendakwah negara dimana kekuatan rohani tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka sebagai pemimpin.

Jangan dibiarkan api mendekati minyak kerana ia akan menyemarakkan lagi api tersebut. Begitu juga dengan penyebaran budaya menyemarakkan gelojak nafsu dan syahwat. Lebih-lebih lagi pada era dunia tanpa batas dan teknologi media elektronik, internet atau CD/DVD yang sangat mudah diperolehi dan murah pula harganya. Ingatlah dan insaflah bahawa hawa nafsu dan syahwat merupakan ujian yang besar untuk manusia, lebih-lebih lagi kepada golongan remaja dan belia. Jika punca dan tempat yang menaikkan nafsu tidak dibendung atau ditutup, maka selagi itulah gejala keruntuhan akhlak dan moral akan terus berleluasa. Penglibatabn dengan dadah, berzina, pembuangan bayi, minum arak dan penglibatan dalam gejala sosial lainnya adalah berpunca daripada kegagalan mengawal gelora syahwat dan hawa nafsu.

Kehendak nafsu yang berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan ia boleh menjatuhkan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang. Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan Sabdanya:

“Rebutlah lima perkara sebelum kamu di datangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati” - (Hadis Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah).

Selain itu, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 13 dan 14:

“Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk Dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Sesungguhnya agama Islam berkehendakkan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain. Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam Sabdanya:

"Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain." - (Hadis Riwayat Al-Tabarani)

Hadis ini menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi ulul albab inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk membentuk belia yang kreatif, pencetus dan pembina tamadun Islam yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

Marilah kita khususnya golongan belia memastikan kehidupan kita di dunia ini mendapat perlindungan Allah SWT. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. mafhumnya:

"Bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah SWT pada hari akhirat iaitu :

  1. Pemimpin yang adil.
  2. Pemuda yang hidup dalam beribadah kepada Allah SWT.
  3. Orang yang mengingati Allah SWT ketika bersendirian lalu menitiskan air matanya.
  4. Orang yang hatinya bergantung kepada masjid.
  5. Orang yang saling berkasih sayang kerana Allah SWT semata-mata.
  6. Lelaki yang digoda oleh perempuan cantik tetapi mengatakan aku takut kepada Allah SWT.
  7. Orang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan.

Firman Allah SWT:

“(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". - surah Al-Kahfi ayat 10)

SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: