Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, May 10, 2011

Doa ibu membawa ke syurga


Tuntutan agar berbuat baik kepada ibu bapa adalah merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat serta menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita selama ini. Mereka telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 23:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

Ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita. Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14:

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."


Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu itu lebih dari seorang bapa. Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:

"Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya". - (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Menurut maksud hadis tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya kerana segala pengorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu beserta sokongan dari si bapa.

Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan Sabda Nabi Muhammad SAW:

"Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."


Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.

Janganlah sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati ibu bapa. Terutama kepada golongan remaja yang sering terlibat dengan masalah sosial di mana perbuatan dan perilaku tersebut boleh mengguris perasaan dan mengecewakan harapan ibu yang impikan setiap anak mereka menjadi insan berguna dan sentiasa menjaga nama baik keluarga, bukan dengan menjatuhkan maruah keluarga.

Terdapat kes-kes yang mengecewakan sering berlaku dan dipaparkan di dalam media seperti ibu bapa didera oleh anak sendiri, malahan ada yang sanggup membunuh ibu bapa apabila permintaan mereka tidak dipenuhi atau perbuatan mereka dihalang oleh ibu bapa. Perbuatan derhaka seperti ini adalah disebabkan telah hilangnya nilai keimanan dalam diri dan jiwa kerana telah dikuasai oleh syaitan serta kewarasan akal fikiran hilang disebabkan pengaruh pil khayal, dadah dan sebagainya. Mereka ini perlu bertaubat kepada Allah SWT dan memohon ampun di atas segala dosa-dosa yang dilakukan, mudah-mudahan hidup akan diberkati dan dijauhkan sari azab siksaan api neraka Allah SWT.

Bagi menghargai segala jasa ibu, maka berbagai cara perlu kita lakukan untuk menghiburkan hati mereka. Diantaranya, kita memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu, bercuti bersama-sama ibu, membawa ibu bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaannya, sentiasa mendoakan mereka dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati mereka sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu.

Persoalannya adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu kita? Adakah hanya sekadar bila tibanya Hari Raya atau Hari Ibu barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan si ibu? Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka amat kita kasihi ini ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka agar Allah SWT sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka.

Firman Allah SWT:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." - Surah al-Isra’ ayat 24

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: