Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.
Selain penyakit jantung koronari, penyakit angin ahmar atau strok merupakan salah satu penyebab kematian utama di Malaysia.
Menurut pakar kardiologi, penyakit darah tinggi merupakan penyebab utama berlakunya strok atau angin ahmar.
Saluran darah di mana darah mengalir keluar dari jantung ke seluruh organ dan anggota badan dikenali sebagai arteri.
Saluran darah ini tebal dan anjal (elastik) kerana ia diselaputi otot. Ia mampu menanggung tekanan darah yang tinggi dari jantung.
Darah yang kembali ke jantung dari organ dan anggota badan mengalir dalam saluran darah yang dikenali sebagai vena. Darah yang mengalir dalam vena mempunyai tekanan darah rendah.
Tekanan darah rendah yang dimaksudkan dalam penyakit darah tinggi ialah tekanan darah dalam arteri-arteri utama yang keluar dari jantung.
Secara umumnya, tekanan darah aras tinggi (sistolik) kurang dari 130 mmHg dan tekanan darah aras rendah (diastolik) kurang dari 85 mmHg dianggap sebagai tekanan darah normal.
Bagaimanapun, paras normal ini menjadi lebih tinggi sedikit ketika usia meningkat. Ini kerana keanjalan atau elastisiti arteri berkurangan dengan usia.
Selain dari sfignomameter, kini terdapat alat-alat elektronik yang boleh digunakan untuk mengukur tekanan darah.
Kaedah ini lebih mudah dan boleh digunakan oleh pesakit darah tinggi untuk menyukat tekanan darah mereka sendiri. Namun, ukurannya haruslah dipadankan dengan ukuran yang dilakukan dengan teknik biasa di klinik.
TANDA-TANDA DARAH TINGGI
Walaupun ramai berpendapat tekanan darah tinggi menyebabkan pening kepala atau sakit di bahagian tengkuk, keadaan ini tidak semestinya berkait secara langsung.
Kebanyakan pesakit darah tinggi mengadu tanpa apa-apa gejala. Bagaimanapun, ramai juga yang mengadu sakit kepala atau tengkuk tetapi tidak menghidap darah tinggi.
Sehubungan itu, mereka yang berada di usia pertengahan dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan darah.
Sesetengah individu yang sebelum ini tidak diketahui menghidap apa-apa penyakit, tiba-tiba diserang angin ahmar dan meninggal dunia secara mengejut bukan lagi khusus tertumpu di kalangan mereka yang berusia lanjut. Sebaliknya, fenomena seumpama ini kadangkala berlaku pada mereka yang masih muda.
Oleh kerana penyakit darah tinggi tidak menimbulkan apa-apa gejala seperti sakit atau ketidakselesaan, seringkali pesakit darah tinggi berhenti memakan ubat yang diberikan dengan alasan penyakitnya telah sembuh.
Kesannya, ramai pesakit mendapat komplikasi dari penyakit tersebut.
RISIKO PENYAKIT DARAH TINGGI
Dalam kebanyakan kes, darah tinggi tidak mempunyai sebab yang khusus. Bagaimanapun, terdapat beberapa penyakit yang boleh menyebabkan darah tinggi.
Penyakit buah pinggang misalnya, sering menyebabkan darah tinggi kerana meningkatnya hormon yang mengecutkan saluran darah. Penyakit-penyakit sistem endokrin, yang menyebabkan kelebihan hormon tertentu seperti phaeochromocytoma, Conn's syndrome, Cushing disease, carcinoid syndrome dan lain-lain yang boleh menyebabkan darah tinggi.
Biasanya, ujian darah dan air kencing serta pemeriksaan buah pinggang dilakukan untuk memastikan penyakit-penyakit ini bukan puncanya.
Penyakit darah tinggi, yang tidak berpunca dari kerosakan atau kelainan organ seperti yang disebutkan darah tinggi primer atau primary hypertension. Hampir 99 peratus pesakit darah tinggi tergolong dalam jenis ini.
Faktor utama yang menyumbang kepada darah tinggi ialah kesempitan saluran arteri. Antara faktor-faktor yang menyumbang ialah :
Berat badan berlebihan atau kegemukan.
Tekanan darah berkait secara langsung dengan berat badan.
Peningkatan berat badan boleh mengakibatkan bertambahnya bebanan terhadap jantung dan menyebabkan arteri kurang anjal.
Kegemukan juga dikaitkan dengan diabetes yang juga meningkatkan risiko penyakit darah tinggi.
Menghisap rokok
Bahan kimia yang terdapat pada asap rokok boleh meresap ke dalam aliran darah.
Bahan kimia seperti tar dan nikotin dipercayai boleh merosakkan dinding arteri dan mengurangkan keanjalannya.
Ia juga boleh menyebabkan kolesterol yang berlebihan untuk menyumbat arteri.
Minum minuman keras berlebihan.
Perbuatan ini boleh memberi kesan yang sama terhadap saluran darah dan boleh meningkatkan risiko terjadinya strok atau angin ahmar.
Makan makanan mengandungi garam berlebihan.
Makanan yang mengandungi sodium (garam biasa) dan kalium yang berlebihan boleh meningkatkan isipadu darah dan menyebabkan tekanan darah meningkat.
Sekiranya keadaan ini berterusan, dinding arteri boleh menjadi rosak.
Kurang bersenam dan makan makanan yang mengandungi lemak berlebihan.
Kedua-dua faktor di atas saling berkait rapat dalam meningkatkan paras kolesterol yang boleh menyumbat arteri atau menjadikannya sempit dan mengakibatkan darah tinggi.
Faktor-faktor lain:
Pesakit kencing manis mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit darah tinggi. Ini kerana paras gula yang tinggi dalam aliran darah boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah.
Sesetengah berpendapat personaliti tertentu dikaitkan dengan darah tinggi. Sifat mudah melenting atau cepat marah dipercayai dapat meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.
Mereka yang berperibadi anxious atau mudah panik juga mudah didapati menghidap penyakit darah tinggi. Bagaimanapun, mereka yang mempunyai darah tinggi berisiko untuk mendapat penyakit yang sama.
KOMPLIKASI
Tekanan darah tinggi boleh merosakkan beberapa organ penting antaranya :
Otak.
Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan saluran darah ke otak menjadi sempit dan tersumbat. Sebaliknya ia juga boleh mengakibatkan saluran darah tersebut pecah sehingga berlaku pendarahan dalam otak. Kedua-dua masalah ini boleh menyebabkan strok atau angin ahmar.
Jantung
Jantung seseorang yang menghidap penyakit darah tinggi terpaksa mengepam darah dengan kuat untuk mengatasi tekanan darah tersebut.
Kesannya otot jantung akan menebak dan akhirnya kegagalan jantung berlaku.
Pesakit yang mendapat kegagalan jantung selalunya akan tercungap-cungap kerana kurangnya bekalan darah yang keluar dari jantung.
Buah pinggang
Saluran darah ke buah pinggang juga boleh menjadi rosak akibat tekanan darah tinggi.
Kerosakan buah pinggang mengakibatkan gejala yang amat berat sehingga boleh mengakibatkan perlunya pemindahan buah pinggang atau dialisis yang berterusan.
KEROSAKAN SALURAN DARAH
Tekanan darah tinggi merosakkan saluran darah ke anggota-anggota badan. Kesannya, bekalan darah ke anggota-anggota badan berkurangan dan boleh menyebabkan rasa sakit terutamanya di bahagian betis dan hujung kaki apabila berjalan atau berlari.
MATA
Saluran darah dalam mata boleh menjadi rosak dan pendarahan dalam mata boleh berlaku sekiranya tekanan darah tinggi tidak terkawal.
RAWATAN
Amalan cara hidup sihat amat digalakkan kepada pesakit yang menghidapi penyakit buah pinggang. Pemakanan sihat, tidak berlebihan dan senaman berkala boleh membantu mencegah pelbagai penyakit.
Pesakit dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan garam dan gula dalam masakan sebagai langkah pencegahan. Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan harus berusaha mengurangkannya.
Ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuk senaman dan kawalan pemakanan. Lebih penting lagi, pesakit darah tinggi dinasihatkan meningkatkan pengetahuan, kesan darah tinggi serta komplikasi yang terjadi.
Melalui maklumat yang diperolehi, sekurang-kurangnya pesakit sentiasa berwaspada dan rajin mendapatkan rawatan. Ini kerana hampir semua pesakit darah tinggi memerlukan rawatan dan penjagaan rapi seumur hidup.
TEKANAN DARAH RENDAH
Individu yang mempunyai tekanan darah rendah boleh mengalami beberapa gejala seperti :
- Pening
- Pitam atau
- Pengsan terutama apabila berdiri untuk jangka masa panjang atau berubah kedudukan secara tiba-tiba.
Punca yang khusus untuk keadaan ini jarang ditemui tetapi isipadu darah rendah atau kandungan garam galian yang kurang dalam darah sering dikaitkan dengan tekanan darah rendah.
Ada pakar perubatan perpendapat, ini mungkin disebabkan oleh saluran darah yang kurang sensitif terhadap rangsangan saraf.
Saluran darah yang tidak mengecut apabila dirangsang mengakibatkan darah berkumpul di kaki akibat tarikan graviti. Kurangnya darah yang kembali ke jantung dan kurangnya darah yang dipam ke otak boleh mengakibatkan pening, pitam dan pengsan.
Mereka yang menghidap gejala tersebut boleh mendapatkan rawatan untuk meningkatkan tekanan darah atau cuba menambah kadar garam galian dalam makanan mereka.
Kaum wanita dikatakan lebih kerap mengalami masalah tekanan darah rendah berbanding kaum lelaki.
sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment