Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.
APAKAH KECELARUAN PANIK?
Semua orang berasa takut dan gementar apabila berhadapan dengan situasi yang berbahaya seperti ketika sebuah kereta tiba-tiba muncul semasa kamu melintas jalan, anak kesayangan hilang di taman permainan atau terdengar jeritan "Api! Api!" di panggung wayang.
Perasaan panik seketika itu mengakibatkan jantung kita berdebar-debar, perut berasa tidak selesa dan memberi perasaan yang ngeri kepada kita. Tetapi tanda-tanda ini akan hilang apabila situasi yang bahaya sudah berlepas. Kita akan berasa lega kerana tragedi yang dahsyat tidak berlaku.
Bayangkan anda sedang berbual-bual dengan jiran di kedai runcit, tiba-tiba anda berasa sesuatu bencana akan melanda. Jantung anda berdebar-debar, badan berpeluh dan kepala berasa pening. Anda yakin bahawa anda akan pengsan, kehilangan akal, memperbodohkan diri dan mungkin mati. Perasaan sebegitu datang dengan tiba-tiba dan hilang sejurusnya. Kemudian, anda berasa letih, bingung dan tertanya-tanya adakah keadaan itu akan berulang? Anda sebenarnya telah mengalami serangan panik.
Kecelaruan Panik (Panic Disorder) adalah satu penyakit yang serius tetapi ia boleh dirawati. Individu-individu yang menghidapi PD (Kecelaruan Panik) akan mengalami serangan panik dan asyik bimbang serangan panik akan berulang. Serangan panik biasanya berlaku secara tiba-tiba dan mencapai puncak dalam beberapa minit. Kadangkala ia juga berlaku ketika seseorang sedang tidur.
3.5 peratus orang diramalkan akan mengalami PD pada masa tertentu dalam kehidupan mereka tetapi kira-kira 8 peratus akan mengalami gejala PD yang utama, iaitu serangan panik. Lebih banyak wanita daripada lelaki yang menghidap PD.
APAKAH 'AGORAPHOBIA'?
Sebahagian pesakit PD akan mengelakkan tempat/situasi di mana mereka pernah mengalami serangan panik kerana takut ianya akan berulang. Biasanya mereka akan menjauhkan diri daripada tempat yang sukar untuk melarikan diri seperti pusat membeli-belah, pengangkutan awam ataupun arena latihan. Pesakit-pesakit ini mempunyai 'agoraphobia'. Mereka sentiasa bimbang serangan panik akan berulang dan oleh itu dunia mereka menjadi semakin kecil. Satu pertiga pesakit PD mempunyai agoraphobia. Sebahagian daripada mereka hanya menggunakan jalan tertentu untuk berulang-alik dari tempat kerja dan rumah. Ada yang mencari teman untuk menemani mereka semasa mereka keluar. Manakala ada yang lebih selesa keluar berseorangan tanpa teman. Dalam kes yang amat teruk, pesakit agoraphobia tidak akan meninggalkan rumah kecuali mereka tidak mempunyai pilihan yang lain.
APAKAH PERBEZAAN ANTARA KERESAHAN BIASA DAN KECELARUAN PANIK?
Keresahan Biasa
- Berasa panik apabila pihak sekolah memberitahu anda bahawa anak anda cedera di sekolah.
- Berasa takut dan cemas semasa memandu berseorangan di jalan yang gelap pada larut malam.
- Berasa cemas semasa menunggu keputusan penilaian prestasi kerja.
Kecelaruan Panik
- Semasa berada di panggung wayang, tiba-tiba anda mengalami serangan panik. Anda seolah-olahnya tidak dapat mengawal diri dan mula menjerit.
- Sentiasa berasa bimbang bahawa serangan panik akan berulang atau jatuh pengsan ketika memandu tanpa sebab.
- Ketakutan yang tidak rasional kerana bimbang serangan panik akan berulang walaupun dalam keadaan yang tidak bahaya.
TENTANG KECELARUAN KERESAHAN
Keresahan merupakan sebahagian daripada kehidupan biasa kita. Ia adalah satu cara badan kita menunjukkan ketidakselesaan. Keresahan menjauhkan kita daripada bahaya dan membantu kita untuk bertindakbalas dengan cepat semasa menghadapi bahaya. Tetapi, bagi sesetengah orang, keresahan menjadi keterlaluan dan berpanjangan. Ia menjejaskan kehidupan seharian mereka dan menyusahkan mereka untuk menjalani aktiviti-aktiviti seharian. Keadaan itu mungkin tanda Kecelaruan Keresahan.
Kecelaruan Keresahan merangkumi Kecelaruan Keresahan Umum (GAD), Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD), Kecelaruan Panik (PD), Kecelaruan Stres Pasca-Trauma (PTSD), Kecelaruan Keresahan Sosial (SAD) dan fobia tertentu.
BAGAIMANAKAH KECELARUAN PANIK MENJEJASKAN KEHIDUPAN ANDA?
Kecelaruan Panik merupakan penyakit yang amat menakutkan dan mengganggu kehidupan pesakit kerana pesakit PD mengalami simptom-simptom serangan panik yang menggerunkan dan sentiasa takut serangan panik akan berulang. Banyak tanda-tanda penyakit ini menyerupai penyakit yang lain seperti sakit jantung, masalah tiroid dan gangguan pernafasan. Oleh itu, pesakit PD sering membuat kunjungan ke klinik atau bilik kecemasan, yakin bahawa mereka ada penyakit yang akan mengancam nyawa mereka. Biasanya, ia mengambil masa selama beberapa bulan atau tahun sebelum diagnosis PD dikenalpasti. Sesetengah pesakit PD takut atau malu untuk memberitahu sesiapa pun (termasuk doktor atau orang yang tersayang) tentang masalah mereka kerana mereka takut digelar seorang hipokondriak. Sebaliknya, mereka mendiamkan diri dan menjauhkan diri daripada rakan-rakan dan keluarga yang boleh membantu mereka.
PD sering berlaku bersama dengan gangguan mental dan fizikal yang lain seperti kecelaruan keresahan, kemurungan, sindrom gangguan usus, penyakit lelah (asma) dan penyalahgunaan ubat. Ini akan menyukarkan doktor untuk membuat diagnosis dan rawatan yang tepat.
APAKAH YANG MENYEBABKAN KECELARUAN PANIK?
Punca yang menyebabkan PD masih tidak diketahui. Penyelidikan mencadangkan bahawa faktor biologi/genetik, personaliti dan persekitaran turut terlibat.
APAKAH RAWATAN YANG SEDIAKINI?
Mujurlah kebanyakan individu yang mendapatkan rawatan untuk PD atau kecelaruan keresahan lain dapat melihat keadaan mereka bertambah baik dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.
Kini, terdapat banyak jenis rawatan termasuk terapi kognitif tingkah laku, terapi pendedahan, pengurusan keresahan dan ubat-ubatan. Salah satu atau kombinasi terapi yang tersebut akan dicadangkan kepada pesakit. Pesakit perlu faham bahawa tiada satu rawatan yang 'betul' dan rawatan yang berkesan untuk seseorang tidak semestinya sesuai untuk individu yang lain. Pakej rawatan patut dipilih supaya sesuai untuk individu tertentu. Sebelum memulakan rawatan, dapatkan penjelasan daripada doktor anda tentang sebabnya mengesyorkan rawatan tertentu, apakah terdapat pilihan rawatan yang lain dan apa yang patut diamalkan dalam proses pemulihan anda.
5 LANGKAH UNTUK MENGATASI KERESAHAN
Sama ada anda mengalami keresahan yang biasa atau menghidapi kecelaruan keresahan, langkah-langkah ini dapat membantu anda menghadapinya.
- Bersenam, bersiar-siar atau berlari, menari dan buat aktiviti yang menggerakkan badan anda.
- Bersembang dengan seseorang, suami/isteri, kawan-kawan, anak atau doktor.
- Tulis diari harian, kenalpasti unsur yang akan mencetuskan keresahan anda.
- Makan secara seimbang dan pada masa yang tepat, elakkan kafein yang akan menyebabkan gejala keresahan.
- Berjumpa dengan doktor keluarga anda. Biarlah doktor membantu anda.
Anda tidak keseorangan. Luahkan perasaan anda kepada seseorang - kawan-kawan, orang yang tersayang atau doktor. Cuba dapatkan bantuan. Kecelaruan keresahan adalah benar, serius dan dapat dirawat.
Untuk keterangan lanjut tentang masalah dan kesihatan psikologi, layari my.depnet.com, www.psychiatry-malaysia.org dan /www.irecover.com.
sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
No comments:
Post a Comment