Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, April 27, 2011

Dunia dirasa, akhirat dicari


SEMAKIN jauh perjalanan, semakin luas pengalaman. Satu ungkapan kata yang benar malah akan lebih memberi erti sekiranya perjalanan serta pengalaman itu dapat dikongsi bersama demi kebaikan.

Baik buruk kita jadikan teladan dan iktibar di masa depan. Itu tujuan Dia (Allah) memberikan akal dan fikiran untuk berfikir dan menilai. Kita semua tidak akan hidup menongkat langit. Hadapi segalanya dengan akal dan ilmu-ilmu dunia dan akhirat.

Maafkan sekiranya ada rangkaian kata-kata yang menyinggung perasaan. Berkata seorang ulama biarlah kakiku yang sakit asalkan jangan hatiku yang sakit, kerana sekiranya kakiku yang sakit, aku hanya tidak dapat berjalan. Tetapi sekiranya hatiku yang sakit, aku akan hilang kebahagiaan.

Berawas-awaslah menjaga diri kerana sungai pun adakalanya berubah. Inikan pula hati manusia yang sering pudar manakala mendapat sesuatu yang baru, cantik, mulia ataupun lebih berharga daripada apa yang ada di negara sendiri.

Kita semua sama daripada segi penciptaan. Cuma yang berbeza adalah hati dan perasaan, akal dan fikiran. Inilah yang menentukan kesempurnaan dalam penghidupan.

Bukan kesempurnaan dalam kecantikan, harta benda, kesenangan, kaya, mewah dengan wang ringgit bukan itu ukuran di mata Tuhan. Kecantikan akan dimamah usia, kekayaan, harta benda akan musnah disebabkan putaran alam.

Kita merancang, Tuhan menentukan. Kerana itu tidak dewasa seseorang itu jika tidak menemui kegagalan. Kita semua tahu erti kekecewaan, kecewa boleh membawa kehancuran dalam penghidupan dan betapa peritnya untuk menyambung hidup dengan kekecewaan.

Di samping itu kita juga perlu ingat, segala apa yang kita ada hari ini atau esok adalah pinjaman dari Dia. Oleh itu tidak ada sebab mengapa kita hendak mendabik dada dengan apa yang kita ada.

Teringat saya akan kata-kata Imam At-Tabari: ''Bahawa naluri manusia terhadap dunia sebenarnya adalah sama, yakni ingin mempunyai banyak lagi tanpa menyedari bahawa dia tidak akan kekal bersama hartanya itu. Dan hartanya itu pula tidak akan kekal bersamanya.''

Kita hidup di dunia ini antara dua tangisan. Tangisan pertama sewaktu kita dilahirkan, tangisan kedua sewaktu kesakitan apabila malaikat maut mencabut nyawa.

Oleh kerana itu pergunakan umur ini untuk beramal sebaik mungkin. Kerana kita lahir tidak membawa apa-apa dan mati pun demikian juga.

Kesimpulannya wahai teman-teman, dunia kita rasa, akhirat kita cari. Itulah dia kesempurnaan dalam penghidupan. Insya-Allah, pastinya ada kebahagiaan.

Dari arkib Utusan Malaysia

No comments: