Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, March 11, 2011

DPMM mahu kerajaan negeri memulihkan Super Kinta

Bangunan Pasar Besar Ipoh yang menempatkan pasaraya Super Kinta dan beberapa kedai kecil.

Dahulunya Super Kinta merupakan pusat membeli-belah popular di bandaraya Ipoh sekitar pertengahan 90'an, tetapi kini pusat membeli-belah Super Kinta bagaikan dilupakan.

Ditutup sekitar tahun 2006, bangunan Pasar Besar Ipoh yang menempatkan pasaraya Super Kinta dan beberapa kedai kecil itu memerlukan pembaikan dan pengubahsuaian yang menelan belanja hampir RM5 juta.

Terdapat cadangan untuk memulihkan bangunan tersebut dan menjadikan ia sebagai pusat IT seperti Plaza Lau Yat di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Perak (DPMM) mahu kerajaan negeri mengambil tanggungjawab membaik pulih bangunan tersebut dan menjadikannya sebagai pusat mempromosi produk yang dihasilkan penduduk Perak.

Presiden DPMM, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata bangunan itu harus dipulihkan dan dijadikan hab untuk menjual dan mempamerkan produk daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Bangunan itu juga haruslah menjadi tempat yang akan menyediakan platform bagi peniaga-peniaga menjual produk-produk mereka.

Katanya selepas penutupan kompleks membeli-belah, peniaga-peniaga kecil tidak dapat memasarkan barangan mereka di tempat lain manakala para pembeli pula beralih kepada pusat membeli-belah yang lain seperti Ipoh Parade, Kinta City dan Tesco yang menyediakan lebih banyak pilihan untuk membeli-belah, makanan dan hiburan.

Para pembeli juga beralih daripada Super Kinta ke premis perniagaan lain kerana bau busuk daripada pasar menjual ayam dan itik yang berhampiran bangunan tersebut.

Muhammad Muhiyuddin terlebih dahulu bersama satu pasukan yang terdiri daripada ahli-ahli DPMM dan pegawai-pegawai kerajaan melawat kompleks tersebut. DPMM akan menjalankan satu kajian untuk mengembalikan kompleks itu seperti zaman kegemilangannya dahulu.

"Kami akan berbincang dengan Dewan Perniagaan India dan Cina serta Organisasi Bukan Kerajaan mengenai cara-cara membantu ahli-ahli mereka dan para peniaga yang berniaga di kompleks tersebut," kata Muhammad Muhiyuddin dan menambah bahawa masalah tempat letak kereta di kawasan itu juga perlu diselesaikan.

Sebaik sahaja dibaikpulih, kompleks membeli belah itu akan mempunyai ruang seluas 12,077.4 meter persegi.

Diterjemahkan daripada sini.

No comments: