Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, March 25, 2011

Biografi Ringkas Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah. Tunku merupakan putera ketujuh Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan Kedah ke-24 dan Che Manjalara.

Tunku Abdul Rahman mendapat pendidikan awal di Sekolah Debsurin, Bangkok, Thailand dan Penang Free School.

Atas biasiswa Kerajaan Negeri Kedah, Tunku melanjutkan pelajaran ke Kolej St. Catherine, Universiti Cambridge, di mana beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Sejarah pada tahun 1925.

Pengalaman pertama dengan diskriminasi perkauman oleh pihak pentadbir kolejnya telah mencetuskan semangat kepada Tunku untuk berjuang menuntut keadilan dan membebaskan tanahairnya daripada penjajah iaitu Inggeris.

Bakat kepimpinannya juga menyerlah di England. Menyedari pelajar Melayu tiada wakil dari mana-mana organisasi, beliau menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Association of Great Britain) dan menjadi setiausaha pertamanya.

Setelah pulang ke tanahair, Tunku berkhidmat di Pejabat Penasihat Undang-Undang dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di Kedah. Tunku tidak begitu popular di kalangan pegawai-pegawai British kerana kelantangannya dan kecenderungannya memperkenalkan reformasi dalam meningkatkan taraf orang Melayu.

Tunku terpaksa menghentikan pelajarannya di Inner Temple, England pada tahun 1938 setelah meletusnya Perang Dunia Kedua. Tunku menyambung kembali pengajiannya lapan tahun kemudian dan kembali ke tanahair pada tahun 1949.

Tunku memperolehi kesedaran politik setelah bergaul dengan rakan-rakan dari pelbagai negara di England dan telah dilantik sebagai pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) apabila pulang ke tanahair. Pada 26 Ogos 1951 Tunku menjadi Presiden UMNO menggantikan Dato' Onn Jaafar. Tunku menjelajah ke seluruh negeri berjumpa dengan rakyat jelata untuk menggalakkan perpaduan. Usahanya dalam mengatasi masalah politik tanahair dengan menggabungkan kerjasama antara pelbagai kaum telah membawa kepada penubuhan Parti Perikatan pada tahun 1955.

Di bawah kepimpinan beliau, Perikatan memenangi pilihanraya umum pertama negara pada bulan Julai 1955. Tunku kemudiannya dilantik sebagai Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Pada tahun 1956, Tunku mengetuai satu rombongan ke London untuk satu perbincangan dengan kerajaan Britain berkenaan kemerdekaan Malaya. Pertemuan itu telah membawa kepada suatu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Merdeka dan ditandatangani di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956 dan seterusnya kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957. Tunku dipilih menjadi Perdana Menteri Malaya yang pertama dan memimpin Parti Perikatan ke arah kemenangan pada pilihanraya umum tahun 1959, 1964 dan 1969.

Tunku telah menyarankan pembentukan gagasan Malaysia pada bulan Mei 1961 yang merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei. Kesemua negeri-negeri tersebut kecuali Brunei menyertai gagasan tersebut pada 9 Julai 1963. Pada tahun 1965, Singapura telah menarik diri dari gagasan Malaysia. Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan pada 22 September 1970 dan digantikan oleh Tun Abdul Razak. Tunku Abdul Rahman meninggal dunia pada 6 Disember 1990.

Sumber: www.pmo.gov.my.

No comments: