Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, March 25, 2011

Berat sama dipikul ringan sama dijinjing


Negara kita memerlukan tanggungjawab daripada rakyat tentang semangat cintakan negara, demi membela maruah diri, bangsa dan negara di atas prinsip berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tugas mempertahankan negara amatlah besar ganjarannya seperti firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 95:

Maksudnya: “Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman selain daripada orang yang keuzuran dengan orang yang berjihad (berjuang) di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan dilebihkan Allah akan orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.”

Kekuatan menjaga negara bukan hanya terletak kepada berapa ramai anggota keselamatan dan kecanggihan senjata semata-mata namun yang lebih penting adalah keimanan, keikhlasan, jati diri, semangat berjuang, kekuatan mental jiwa dan rohani.

Sejarah membuktikan, kekuatan tentera Islam adalah berpunca dari keimanan yang kukuh dan semangat berjuang demi Allah SWT dan ketaatan kepada pemimpin. Sifat taat dan patuh kepada pemimpin dapat membentuk rasa bertanggungjawab dan semagat untuk berkorban.

Peristiwa keengkaran angkatan pemanah tentera Islam sewaktu Perang Uhud haruslah diteladani agar tidak diikuti oleh anggota keselamatan masa kini. Dalam peristiwa itu, angkatan pemanah tentera Islam telah melanggar perintah Rasulullah agar bertahan di lereng Bukit Uhud yang menyebabkan pertahanan tentera Islam dicerobohi dan ramai jiwa yang terkorban.

Suasana keamanan yang dinikmati pada hari ini adalah kerana usaha dan pengorbanan pasukan keselamatan seperti polis yang menjalankan tugas penuh tanggungjawab dan amanah.

Beberapa langkah telah diambil untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan polis kepada rakyat antaranya penerapan nilai-nilai Islam dan akhlak mulia di dalam pasukan polis agar dapat menguatkan integriti dan keimanan semasa menjalankan tugas kepada rakyat jelata.

Selain daripada itu masyarakat juga hendaklah turut sama bertanggungjawab dan bekerjasama bersama pihak polis memerangi jenayah dan perkara-perkara mungkar. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa di antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”( Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). - Surah al-Maidah: 2.

Marilah kita sama-sama memupuk semangat setiakawan, mengelakkan perpecahan dan menyelesaikan masalah dengan bijaksana dan penuh rasa mahabbah.

Firman Allah SWT:

"Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan satu pasukan maka teguhkanlah hatimu, dan ingatilah Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya." - Surah Al-Anfaal: 45

SELAMAT HARI ULANGTAHUN POLIS DIRAJA MALAYSIA KE 204

Dicernakan daripada Khutbah Jumaat Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing yang disampaikan oleh Ustaz Hj Abd Aziz bin Hj Ahmad di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, Perak Darul Ridzuan pada 25 Mac 2011.

No comments: